Penemuan fosil dinosaur bukanlah sesuatu yang biasa di negara kita dan mungkin ramai yang beranggapan dinosaur sebenarnya tidak pernah wujud di Malaysia.

Bagaimanapun, penemuan oleh sekumpulan pengkaji daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini pasti akan mengejutkan anda.

Menurut laporan Berita Harian, penyelidik daripada Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi berjaya menemui kesan tapak kaki dinosaur yang dianggarkan berusia puluhan hingga jutaan tahun di Kelantan.

Lebih tepat lagi, kesan tapak kaki itu dipercayai berasal daripada spesies Sauropod dan ditemui di Bukit Panau di Tanah Merah, Kelantan.

Camarasaurus
Salah satu dinosaur spesies Sauropod, Sumber Gambar: ScienceMag.Com

Sauropod adalah sejenis reptilia berkaki empat yang tergolong dalam kategori herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan.

“Berdasarkan bukti tapak kaki dijangka haiwan ini memiliki tubuh besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 hingga 40 tan dan spesies dinosaur ini dikenal sebagai haiwan terbesar hidup di muka bumi ini,” jelas Arham Muchtar Achmad Bahar yang mengetuai operasi itu.

Tambah beliau lagi, penyelidikan untuk mengesan kewujudan dinosaur di Kelantan bukanlah sesuatu yang baru di Kelantan dan telah bermula sejak Mei 2017.

Pihak mereka kemudiannya berjaya menemui fosil tapak dan laluan trek dinosaur daripada subkumpulan Sauropod di Bukit Panau.

“Kami menemui tujuh tapak kaki fosil berukuran purata 72 sentimeter panjang dan lebar dengan purata 66 sentimeter yang tercetak di atas batu pasir kuarsa dari formasi Panau seluas 60 meter persegi.

“Penemuan ini membuktikan satu masa dulu, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan,” katanya dalam kenyataan media seperti dilaporkan Berita Harian.

Kewujudan dinoasur di kawasan terbabit menurut beliau bagaimanapun sudah dijangka oleh ramai ahli geologi kerana kerana struktur muka bumi kawasan tersebut dikaitkan dengan kawasan di Selatan Thailand yang mempunyai fosil haiwan prasejarah itu.

“Mengikut geologi Bukit Panau ini, dinosaur Saurapod ini hidup di persekitaran daratan khususnya berdekatan sungai berliku, bagaimanapun secara terperinci kami masih perlukan kajian mendalam kerana data yang diperlukan belum mencukupi,” katanya.

Penerokaan dan penyelidikan di Kelantan itu bagaimanapun menurut beliau bukanlah sesuatu yang baru kerana mereka sudah melakukan pelbagai kajian sejak 2016 dan telah menghabiskan lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejaki dinosaur di negeri itu.

Baca juga perkongsian kami sebelum ini mengenai kanak-kanak dari Texas yang berjaya menemui fosil dinosaurnya sendiri sebelum ini di pautan di bawah. 

Mengejutkan, Kanak Kanak Lelaki Berusia 5 Tahun Ini Menjumpai Dinosaur

Cara Unik Google Sambut Ulang Tahun Ke-10 ‘No Internet Dinosaur’

Sumber