Baru dua hari Datuk Seri Najib menjalankan hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa bekas perdana menteri keenam itu menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, sudah pelbagai cerita yang kita dengar. Daripada ‘gosip’ layanan istimewa yang diberikan dan kini ditambah pula satu ‘ugutan’ yang dibuat oleh seorang wakil penyokong Najib.

Semalam, laporan berita Says menyebut bahawa hampir 300 orang penyokong Ahli Parlimen Pekan telah berkumpul di hadapan Istana Negara untuk menyerahkan memorandum pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya selepas sehari bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di depan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagi para penyokong Najib, mereka melihat anak sulung Tun Abdul Razak ini tidak mendapat keadilan sepanjang kes beliau dibicarakan di mahkamah. Tambah mereka lagi, ketidakadilan ini dapat dilihat apabila permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan tidak dilayan dan ditambah pula keengganan mahkamah untuk menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan bagi memberi lebih masa kepada peguam Najib untuk mempertahankan beliau.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian orang ramai adalah mesej ‘ugutan’ yang dibuat oleh wakil kumpulan penyokong Najib, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz yang mahu Najib diberikan pengampunan atau akan ada himpunan yang lebih besar. Selain Yang di-Pertuan Agong, Imran turut turut memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendesak agar Najib diberikan pengampunan diraja.

“Jangan sentuh sorang pun ahli kami. Kami akan bersurai secara baik, tapi kami mohon jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Datuk Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi. Saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri campur tangan dan pemimpin negara, pemimpin UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan sekarang. Kerajaan campuran sekarang memang betul-betul tak guna,” katanya seperti yang dilaporkan oleh The Reporter.

Beliau yang mengaku sebagai ahli UMNO turut mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin parti yang tidak turun ke Istana bagi menunjukkan solidariti terhadap Najib yang juga bekas Presiden UMNO yang tumbang pada pilihanraya umum yang berlangsung pada 2018. Bagi beliau, jika setiap ketua bahagian membawa 100 orang, kemungkinan satu himpunan besar dapat diadakan di hadapan Istana Negara.

“Ada tak satu pemimpin Umno yang hadir? Tak ada satu pun pemimpin Umno hadir hari ini. Daripada 191 ketua bahagian, jika setiap ketua bawa 100 orang hari ini, ada 19,000 rakyat di sini. Satu bahagian pun tak gerak. Apa nak jadi dengan Umno? Jika, hari ini presiden Umno tak berkeras, PM tak buat sesuatu, saya selaku ahli Umno isytihar untuk keluar Umno sekarang,” katanya.

Selain itu, sebuah video yang menunjukkan Imran mengeluarkan kenyataan mendesak agar Najib diampunkan juga tular di media sosial Twitter selepas dimuat naik oleh Dr. Rais Hussin. Video itu telah mendapat reaksi bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan yang berkata bahawa terdapat prosedur yang perlu diikuti sebelum seseorang itu mendapat pengampunan diraja, “Bukan boleh sesuka hati mengikut kehendak orang ramai,” katanya.

Untuk rekod, Selasa lalu, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini. Menurut laporan Utusan Malaysia, Dengan keputusan itu, di akhir prosiding ini, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa Selasa lalu.

Sebelum ini pihak Datuk Seri Najib Razak mahu panel hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu ditetapkan untuk mendengar rayuan akhirnya bagi mengetepikan tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya, berdasarkan maklumat baharu membabitkan suami Ketua Hakim Negara.

Najib mengemukakan permohonan itu melalui notis usulnya yang difailkan supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim, menarik diri daripada mendengar rayuan berkenaan, kerana mendakwa suami kepada pengerusi panel terbabit menerbitkan hantaran di laman Facebook berhubung dirinya.

Bagaimanapun, barisan lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sendiri, berkata pihak pembelaan tidak memberikan sebab-sebab munasabah kenapa beliau patut menarik diri.

Najib Razak kekal jalani hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta. Rujuk pautan dibawah untuk membaca.

Najib Razak Kekal Jalani Hukuman Penjara 12 Tahun, Denda RM210 juta

Adakah Najib Dapat Layanan VIP Di Penjara Kajang? Ini Jawapannya