Gerard Butler, wajah yang biasa anda lihat dalam filem-filem aksi Hollywood seperti 300, Olympus Has Fallen, London Has Fallen, Den Of Thieves dan banyak lagi kembali untuk filem aksi terbaru beliau, Hunter Killer. Gerard tampil berbeza apabila aksinya kali ini bukan sahaja di atas permukaan bumi, tetapi juga beribu kaki di bawah laut!

Berdasarkan novel Firing Point oleh George Wallace, Hunter Killer mengisahkan kapten Joe Glass (Gerard Butler) yang perlu keluar daripada persaraan untuk mengemudi kembali sebuah kapal selam Hunter Killer. Beliau ditugaskan dalam sebuah misi khas untuk menyiasat kehilangan sebuah kapal selam di perairan Rusia.

Namun, apa yang Joe Glass tidak tahu adalah mereka kini terlibat dalam secara tidak langsung dalam satu konspirasi untuk menggulingkan presiden Rusia. Daripada satu misi menyiasat, misi mereka bertukar menjadi misi untuk menyelamatkan presiden Rusia, Zakarin.

Di Amerika Syarikat, Admiral Charles Donnegan (Gary Oldman), Rear Admiral John Fisk (Common) dan wakil dari NSA Jayne Norquist (Linda Cardellini) menugaskan satu pasukan Navy SEAL terbaik untuk membantu Hunter Killer dalam misi menyelamat ini. Misi mereka semakin ‘mustahil’ apabila misi menyelamat ini akan dilakukan di kubu askar paling kebal di Rusia.

Ini adalah plot ringkas untuk filem Hunter Killer ini. Disebabkan banyak pilihan filem yang akan ditayangkan pada minggu ini, adakah berbaloi untuk menonton filem Hunter Killer di pawagam? Kami kupaskan kekuatan filem ini dalam bentuk point.

1. Pengalaman 22 Tahun George Wallace Dalam Bidang U.S.Navy Submarine

Hunter Killer adalah sebuah filem yang diinspirasikan daripada sebuah novel yang ditulis George Wallace, seorang veteren perang yang pernah berkhidmat untuk U.S. Navy Submarine selama 22 tahun. Jadi setiap perkataan, terma dan ayat dalam filem ini adalah tepat dan digunakan oleh askar yang bertugas di dalam kapal selam.

Dalam filem ini anda akan belajar tentang sistem pertahanan pihak tentera dalam mengawal pengairan mereka antaranya kawalan secara sonar dan banyak lagi. Jadi, dari segi terma, bahasa askar yang betul digunakan dan tidak dibuat-buat.

Pada tahun 2016, Gerard Butler sendiri membuat lawatan 3 hari ke kapal selam USS Houston untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana kapal selam berfungsi dan menjadikan filem ini realistic as possible. Begitulah betapa dedikasinya Gerard Butler untuk watak Joe Glass dalam filem ini.

2. Filem sub-genre yang jarang dihasilkan

Genre filem perang kapal selam ini sangat jarang dihasilkan dan hanya beberapa filem berkenaan kapal selam dihasilkan sebelum ini. Dalam tahun 1990an dan 2000, antara filem lain yang mengisahkan kapal selam adalah U-571, K-19: The Widowmaker, Crimson Tide dan The Hunt For Red October.

Mengapa jarang dibuat filem dalam genre ini? Yang pasti kerana ianya susah untuk dihasilkan dan memerlukan skrip yang kuat supaya anda tidak bosan untuk menontonnya. Bagi kami, filem ini digarap dengan baik kerana mengikut jalan cerita novel Firing Point tulisan George Wallace. Jadi ianya jadi lebih ‘logik’ dan make sense dengan aksi hebat di atas darat dan juga di dalam laut.

3. Perasaan Cemas Ibarat Berada Di Dalam Kapal Selam Yang Sebenar

hunter killer 1

Di dalam filem ini, anda akan menyusuri hidup askar yang berkhidmat di dalam kapal selam. Anda yang takut kepada ruang kecil (claustrophobic) pasti akan merasa ‘lemas’ apabila menonton filem ini. Tetapi itulah realiti sebenar askar yang bekerja di dalam kapal selam.

Untuk pengetahuan anda, kapal selam tidak selalu timbul ke permukaan dan adakala sehingga berminggu-minggu mereka perlu berada di dalam laut demi menjalankan tugas. Jadi pekerjaan di dalam kapal selam ini bukan untuk semua dan perlu memiliki kekuatan mental yang tinggi.

4. Peringatan Tentang Perang Dunia Ketiga

us submarine 1

Filem ini turut memberi peringatan kepada penonton bahawa perang boleh tercetus dalam apa cara sekali pun. Dalam Hunter Killer, peperangan berlaku di dasar laut yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Dalam Hunter Killer, Amerika Syarikat juga cuba untuk ‘menayang’ keupayaan mereka untuk mempertahankan negara di samping menjaga keamanan dunia dengan askar dan kapal perang yang mereka miliki.

Kekuatan filem ini adalah dari segi authenticity atau keupayaan menceritakan keadaan sebenar tugasan di dalam kapal selam ketika keadaan normal dan juga ketika berperang. Walau apa pun yang terjadi, arahan kapten adalah yang paling utama walaupun ada anak kapal yang tidak menyokong. Ini adalah antara mesej yang cuba disampaikan dalam Hunter Killer.

Aksi dalam filem ini juga teratur dan anda tidak mungkin akan ‘terlena’ jika menonton Hunter Killer. Tetapi adegan antara Presiden Rusia dan generalnya sedikit terganggu kerana mereka bercakap dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Rusia. Itu sahaja ralat yang kami dapat lihat dalam filem ini.

Apa yang akan terjadi sekiranya anda gabungkan pelakon 300 (Gerard Butler) dan produser filem Fast & Furious dalam satu filem? Sebuah filem ‘kejar-mengejar’; cuma bezanya ianya dilakukan di bawah laut. Kalau anda enjoy menonton filem Paskal, anda akan enjoy menonton filem ini.