Pagi-pagi lagi kita dikejutkan dengan berita Duta Rusia ke Turki ditembak mati ketika berucap di Ankara oleh polis Turki bernama Mevlut Mert. Ramai yang membuat spekulasi bahawa Perang Dunia Ketiga akan bermula, ada yang sudah tak sabar membuat hashtag “Pray for Turkey” (padahal yang mati kena bunuh ialah orang Rusia).

Mereka risau Rusia akan menyerang Turki atas perkara tersebut. Yang pasti, perang tidak akan berlaku di antara Rusia dan Turki. Peristiwa penembakan pesawat tempur Rusia oleh Turki pada November 2015 tidak membawa kepada perang di antara dua negara tersebut, walaupun hubungan kedua-dua negara ketika itu lebih tegang berbanding hari ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ramai melihat persamaan di antara kejadian hari ini dengan peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand pada Jun 1914 yang membawa kepada Perang Dunia Pertama. Al-kisahnya, Franz Ferdinand iaitu putera mahkota Empayar Austria-Hungary telah dibunuh di Sarajevo, Bosnia oleh nasionalis Serbia.

Austria mengugut untuk menyerang Serbia. Rusia backup Serbia dan mengugut untuk menyerang Austria. Sekutu Austria iaitu Jerman pula backup Austria. Perancis nampak Jerman sudah masuk gelanggang, lalu ia pun mengisytiharkan perang ke atas Jerman juga. Maka berlakulah Perang Dunia Pertama (WW1).

Dalam menjadikan sejarah sebagai alat analogi, adalah penting untuk kita mengambil kira juga perkembangan dan perubahan semasa. Pada tahun 1914, kuasa-kuasa besar di Eropah sudah bersedia untuk berperang, yang tinggal cuma alasan untuk berperang sahaja.

Selain itu, kuasa-kuasa besar ketika itu boleh berperang sesuka hati kerana senjata yang dimiliki ialah senjata konvensional. Kewujudan senjata nuklear sejak 1945 membuat perang di antara kuasa besar hampir tidak mungkin berlaku.

Bukan kerana pemimpin sayangkan nyawa rakyatnya, cuma negara-negara pemilik senjata nuklear masing-masing mempunyai keupayaan serangan balas (second-strike capability) yang membuat perang nuklear sesuatu yang sia-sia.

Jadi opsyen yang lebih baik ialah berperang melalui proksi. Dalam kes hari ini, Rusia ialah pemilik senjata nuklear manakala Turki mendapat naungan payung nuklear (nuclear umbrella) dari NATO, dan sesungguhnya Turki dan Rusia telah pun ‘berperang’ melalui proksi-proksi mereka di Syria.

Ramai yang membuat kesimpulan akan jadinya perang kerana mereka menaruh persepsi silap (misperception) terhadap Rusia. Mereka anggap Rusia negara yang agresif tak tentu pasal. Sebenarnya, setiap tindakan Putin dibuat dengan perhitungan berhati-hati untuk mempertahankan kepentingan Rusia, bukan dengan emosi atau sekadar menunjuk kuasa.

Putin tidak akan mensia-siakan percaturan Rusia di Timur Tengah yang semakin hari semakin mendapat momentum. Jadi, walaupun Putin marah, dia tetap akan tenang dan berkata: “Perkara ini tiada kena mengena dengan pemimpin Turki, ia adalah perbuatan teroris yang cuba melaga-lagakan Rusia dan Turki.”

Erdogan pula akan berkata: “Perkara hari ini sungguh menyesalkan. Saya harap kerjasama Turki dan Rusia diketatkan lagi untuk kebaikan umat di Syria. Tangan-tangan jahat Gulen tidak akan sesekali menjatuhkan perjuangan kita. Allahu Akbar!”

Jadi, apa penjelasan lain untuk peristiwa ini? Antaranya ialah:

1. Kerja ISIL/teroris

Mereka yang kena belasah dengan Rusia sungguh berdendam dengan Rusia. Jadi mereka membalas dendam dengan membunuh orang besar Rusia. Namun harus ingat pembunuh ialah seorang polis, agak sukar bagi ISIL/teroris untuk menyamar sebagai seorang polis kerana pergerakan duta melibatkan protokol keselamatan yang ketat.

2. Kerja CIA

Penjelasan yang berbunyi konspirasi. Ada logiknya kalau kita menganggap US berkepentingan untuk mensabotaj hubungan Turki dan Rusia. Tetapi harus ingat, tindakan CIA tertakluk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (National Security Council) US. Obama sudah tiada ‘mood’ untuk merancang macam-macam. Sekarang dia nak merancang hidup selepas bersara saja. Presiden baru pula seorang yang pro-Rusia.

3. Kerja Erdogan

Penjelasan sebegini akan menyinggung penyokong Erdogan. Tidak dinafikan peristiwa hari ini akan membenarkan Erdogan untuk terus membanteras penyokong Gulen.

4. Kerja individu

Penjelasan yang lebih logik bagi saya. Ramai di kalangan orang Turki sangat anti Assad dan sekali gus membenci Rusia yang menyokong Assad. Jadi ini merupakan tindakan ‘lone ranger’ yang bersimpati dengan Aleppo, tidak dirancang oleh siapa-siapa. Sama seperti kes wartawan Iraq membaling kasut kepada Bush.

Jadi, kesimpulannya, perang dunia belum bermula lagi. Harap anda dapat bersarapan dengan tenang.

https://www.youtube.com/watch?v=O5BkEuGcLIU

Video di atas menunjukkan polis muda menembak duta Rusia dan melaungkan kata-kata ini:

We die in Aleppo, you die here