Mungkin kedengaran agak janggal namun bermula 23 April, rakyat Malaysia kini berpeluang untuk menonton perbicaraan kes mahkamah secara langsung menggunakan platform livestream yang dibekalkan di laman www.kehakiman.gov.my.

Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia seperti dilaporkan beberapa portal berita tempatan hari ini.

Sebelum ini, bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Badan Kehakiman Malaysia juga telah menjalankan pendengaran kes-kes tertentu secara dalam talian.

“Bagi melengkapkan dan menyokong pendengaran kes secara dalam talian ini, Badan Kehakiman Malaysia maju selangkah lagi dengan melaksanakan projek perintis iaitu tayangan langsung pendengaran kes secara dalam talian.

“Ini bagi membolehkan orang awam untuk melihat secara langsung pendengaran kes yang dijalankan seperti di Mahkamah Terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut Malaysiakini yang memetik Bernama, perbicaraan yang akan ditayangkan secara langsung itu akan membabitkan pendengaran rayuan melibatkan tiga perayu iaitu – Zhoa Fangliang, Jin Haifang dan Zhu Cunhua terhadap Syarikat Pengangkutan Satu Hati Sdn Bhd.

Jadi kepada anda yang sering tertanya-tanya bagaimanakah situasi dalam mahkamah ketika sesuatu perbicaraan dijalankan, anda boleh menyaksikan sendiri prosiding tersebut pada jam 10 pagi esok.

Landskap kehakiman di negara kita nampaknya tidak pernah ketinggalan dalam mengadaptasi teknologi baru. Sebelum ini Mahkamah Sabah turut mengumumkan mereka akan menggunakan kaedah AI. Klik pautan di bawah untuk membaca lebih lanjut. 

Mahkamah Sabah Bakal Cipta Sejarah Jatuhkan Hukuman Menggunakan Teknologi ‘AI’

CCTV Dengan ‘Face Recognition’ Bakal Bantu Kurangkan Jenayah Di Selangor