“Terbaik buat mereka, belum tentu terbaik buat kita. Indah bagi kita belum tentu indah bagi mereka. Jurang itu kita yang cipta. Setelah penat berlari, lepaskan lelah seketika sebelum meneruskan langkah baru”

Percutian yang pada asalnya bermula daripada Kuala Lumpur ke Chiang Mai, Thailand selama 4 hari bertukar menjadi satu percutiaan yang tidak dijangka. Tiket yang ditempah awal seperti biasa bersama tiga rakan sukarelawan yang lain berubah tanpa ada perancangan rapi. Aku dan salah seorang rakan nekad untuk berhenti kerja semata mata ingin melenyapkan segala kekususutan dan
tekanan yang telah sekian lama terpendam selama berkhidmat di sebuah syarikat swasta.

VS Cover New
HYPE
Victoria’s Secret Buat Jualan ‘Gila’ Sempena Black Friday
Baca lagi →

Berada dalam bidang kejuruteraan, sangat memberi tekanan yang besar lebih lebih lagi pengalaman di dada hanyalah suam suam kuku sahaja. Waktu ini kami membuat keputusan drastik untuk meletakkan kami dalam ‘cooling zone’ ataupun tempoh bertenang sebelum memikirkan hala tuju nanti. Aku kira ini satu peluang untuk mencabar diri, dan pulang nanti dengan semangat yang baru. Dua lagi rakan akan mengikut perancangan awal seperti yang direncanakan dan berpisah di Chiang Rai, Thailand.

Titik Mula Sebuah Pengembaraan:

Sekitar Bandar Chiang Mai

Chiang Mai, Thailand

Chiang Mai merupakan wilayah ke dua terbesar di Thailand yang terletak dibahagian utara. Ia juga merupakan pusat agama Buddha dan tidak hairanlah kota ini dipenuhi dengan kuil. Berbekalkan basikal yang disewa berhampiran dengan guesthouse kami menginap, Perkampungan muslim menjadi sasaran utama.

Selepas solat dan makan di sekitar Masjid Hidayah kami ke Wat Suplan
untuk melihat dengan sendiri adat istiadat keagamaan mereka. Antara lokasi wajib dikunjungi adalah Chiang Mai Gate atau dikenali sebagai Tha Pae Gate dan juga Wat Dai Parathhap. Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Night Market, rambang mata wuuuu….

Wat Dai Parathap

White Temple, Chiang Rai

Chiang Rai, Thailand

Wat Rong Khun atau dikenali dengan White Temple merupakan sebuah kuil Buddha yang berwarna putih serta dihiasi dengan cermin yang memantulkan efek cahaya. Banyak sekali ukiran dan bangunan unik yang dapat dilihat diolah seperti gambaran syurga dan neraka antaranya kolam replica tangan, jambatan yang dijaga oleh sepasang ular raksasa yang memiliki wajah dan badan
manusia.

Jika anda ingin menemukan makanan halal, boleh didapati di sekitar kawasan Muslim Street juga terletak berhampiran Darul Aman Masjid. Night Market di sini juga tidak kurang meriahnya, Fuhh semua nak!

Golden Triangle, Chiang Saen

Chiang Saen, Thailand

Di sini terletaknya Golden Triangle, dimana sempadan tiga buah Negara iaitu Thailand, Laos dan Myanmar. Dari jauh kita akan melihat Negara tersebut dan boleh menyeberangi dengan menaiki perahu dan akan merentasi Sungai Mekong.

Visa tidak diperlukan jika ke Dansao, Laos dan Mae Sai, Myanmar. Patung Buddha yang sangat besar berwarna emas merupakan tarikan utama.

Sekitar Kawasan Perkampungan Huay Xai

Huay Xai, Laos

Ini merupakan sempadan Chiang Kong diantara Thailand dan Laos. Bas ke Luang Prabang dari Chiang Rai tidak bergerak setiap hari dan hanya pada hari tertentu sahaja. Jika saya terpaksa menunggu 3 hari seterusnya jika ingin ke menaiki bas terus Ke Luang Prabang.

Demi tidak membuang masa dan ingin mencuba pengangkutan air, kami putuskan untuk ke Luang Prabang melalui Huay Xai. Sejujurnya perjalanan seterusnya tidak rancang, malah kami hanya mengikut kaki melangkah
berpandukan peta dan info di internet sahaja, tidak memikirkan kemana destinasi seterusnya dan terakhir tetapi ingin melakukan pegembaraan kali ini dengan santai.

Tukaran matawang dibuat setibanya di Imigresen Chiang Kong. Tukaran daripada USD kepada Laos Kip dibuat terlebih dahulu bagi memudahkan urusan seterusnya. Huay Xai merupakan sebuah Bandar kecil yang di pinggir sungai. Suasana yang sangat sunyi pada waktu malam dan pengangkutan yang sangat mahal memaksa kami untuk hitchhike, Untuk ke pecan kecil ini dari stesen bas mengambil masa sekitar 15 minit.

Kami berikan buah baulu dari Malaysia sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang menumpangkan kami. Disini tiada makanan halal, jadi apa yang saya sarankan bawa bekalan sendiri. Kami hanya meminjam periuk nasi dari
guesthouse untuk merebus nasi himpit. Selain itu juga, saya hanya megambil zat melalui buah buahan sahaja. Saya berkesempatan meninjau suasana pekan Huay Xai pada waktu malam yang meriah dengan permainan seperti di Fun Fair.

Perhentiaan Bot Pak Beng, inilah bot yang kami naiki selama 2 hari

Pak Beng, Laos

Untuk ke Luang Prabang, kami menaiki bot di hujung kawasan kampung yang akan berlepas pada setiap hari pada jam 11.30 pagi. Harus diingatkan untuk ke sana mengambil masa 2 hari perjalanan merentasi Sungai Mekong. Tiada pilihan lain, bot akan berhenti bermalam di Pak Beng dan kita terpaksa menginap di guesthouse yang mempunyai akses internet, elektrik dan air yang sangat
terhad.

Bot akan bergerak keesokan harinya ke Luang Prabang pada jam 8 pagi.
Luang Prabang, Laos. Pengamatan saya, Laos merupakan Negara yang sangat nyaman dan bersih. Saya sungguh terpegun dengan lukisan alam yang sedang terhampar di mata sepanjang perjalanan saya disini.

Bermula dengan Kuang Xi Waterfall yang sangat memukau dengan keindahan air terjun bertingkat. Air yang jernih dan terdapat beberapat kawasan di atas yang dibenarkan untuk mandi membuatkan aku teruja. Wajib datang weh walaupun hanya sekali! Selain itu juga, peminat matahari terbenam boleh melihat keindahan di Mount Phousi.

Kuang Xi Waterfall

Bahagian Atas Kuang Xi Waterfall

Kena mendaiki tangga sekitar 20 minit dan anda akan dihidangkan dengan suasana yang cukup indah matahari terbenam dan sungai Mekong yang sangat luas. Apa yang yang saya suka mengenai Luang Prabang juga, adalah Night Market yang sangat besar dan panjang.

Pelbagai barangan unik dan sesuatu yang melambangakan Laos terdapat di sini.
Mengenai makanan halal, usah risau and boleh dapatkan di beberapa kedai India Muslim di kawasan sekitar.

Vang Vieng, Laos

Menaiki bas sekitar 7 jam perjalanan menyelusuri gaung dan curam membuat aku tidak lena dari tidur. Tayar bas hampir-hampir saja dengan gaung apabila berselisih dengan kenderaan lain. Fuh, ngeri beb! Setibanya di Vang Vieng, eh kat korea ke ni? Tempat ini di penuhi dengan warga Korea.

Eh! Rupanya ini destinasi popular warga korea, dengar cerita dahulunya sekumpulan lelaki korea dihantar kesini untuk menjalani aktiviti lasak berbentuk reality show. Oleh dek keindahan tempat ini terus menjadi popular dikalangan remaja korea. Di Laos saya hanya menyewa motosikal untuk ke satu satu tempat dan harganya jauh lebih mahal dan sangat mahal daripada Negara Thailand. Jalan
yang berbatu sepanjang menuju ke Blue Lagoon membuat perjalanan kami perlahan.

Blue Lagoon, Vang Vieng

Dihamparkan sepanjang perjalanan dengan gunung dan sawah padi yang memukau. Jatuh cinta beb dengan Laos! Sebelum mandi kami mendaki Phua Kham Cave yang terletak bersebelahan dengan Blue Lagoon. Pada sebelah petang kami meneroka kawasan kampung yang dipenuhi dengan padi sambil merentasi Sungai Namsang, siap kena toll lagi nak lalu okay!

Patuxay Monumen

Vientiane, Laos

Sebuah Bandar ala ala kawasan di France, kebanyakan kedai dan bangunan menyerupai kota Perancis. Terdapat banyak kedai kopi dan roti disekitar Bandar ini. Kami menyelusuri Bandar ini dengan hanya berjalan kaki, memandangkan jarak dari satu tempat ke satu tempat tidaklah terlalu jauh.

Sepanjang laluan untuk ke Patuxay anda akan melalui Don Chan Palace, The Presedential Palace dan That Dam. Patuxay merupakan kota pertahanan yang dibina oleh Pihak tentera Perancis dan senibinanya sama seperti monumen yang berada di Perancis. Anda boleh mendapatkan makanan halal di kawasan Jamia Masjid.

Nong Khai, Thailand
Merupakan sempadan dimana Negara Thailanda dan Laos, terdapat satu jambatan yang dikenali sebagai Friendship Bridge yang memisahkan dua Negara ini. Selepas urusan imigrasi di Nong Khai immigration, saya terus ke Stesen kereta api Nong Khai untuk ke Bandar Bangkok. Train yang beroperasi hanya sekali sehari pada jam 6 petang memakan masa selama 13 jam untuk tiba ke
Bangkok.

Hard Seat Train ke Bangkok dari Nong Khai selama 16 jam.

Bangkok, Thailand

Kami memilih untuk santai santai di kota Bangkok, sebelum meneruskan perjalanan yang belum pasti arahnya. Kawasan Kaosan Road menjadi pilihan kami untuk menginap kerana berhampiran dengan Banglampoo Road dan ia merupakan tapak night market, jadi cuci mata dulu! Kami menaiki bas awam untuk ke meninjau sekitar kota Bangkok dan kami menonton wayang MBK Mall.

Terdapat banyak warung di tepi jalan berhampiran Chang Kong Masjid, sedap. Lama tak rasa keenakan nasi. Yummy.. Kemana hala tuju selepas ini?

Sekitar Kaosan Road, Bangkok

Ko Tao, Thailand

Megambil peluang untuk menikmati pulau yang terdapat di sekitar Thailand. Kami mengambil Joint ticket daripada Songserm Company, dimana tiket merangkumi perkhidmatan bas dan feri untuk ke Ko Tao.

Menaiki bas selama 10 jam perjalanan menuju ke Chumporn Pier, dan 40 minit perjalanan menuju ke Ko Tao menaiki feri. Ko Tao merupakan kepulauan kecil yang dikelilingi pulau pulau lain yang berhampiran. Jadi apabila sampai disini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pulau lain disekitarnya.

Kami menyewa motosikal untuk pergi ke pulau sekitar seperti Mango Bay, Ko Nang Yuan, Hing Wong Bay, Sairee Beach dan Mae Haad Bay. Pulau di sini sungguh Awesome. Lawa terukk!

Top View Ko Tao yang lawa teruk.

Sairee Beach

Krabi, Thailand

Joint ticket daripada Seatran menjadi pilihan untuk ke Krabi. Feri yang dinaiki merupakan dua tingkat dimana bahagian dek bawah memuatkan barang dan kenderaan manakala di bahagian dek atas dilengkapi dengan katil untuk keselesaan para penumpang.

Laut bergelora sangat kuat, nak tidur? sumpah kecut perut. Setibanya di Surat Thani main land, minivan telah menanti untuk membawa kami Ke krabi. Kami melakukan aktiviti santai sahaja memandangkan kami pernah ke Phuket sebelum ini.

Aktiviti food porn dan berjalan menikmati pemandangan sepanjang Pantai Ao
Nang dijadikan rutin bagi melepaskan lelah. Jangan ketinggalan juga untuk ke Krabi Night Market, meriah.

Muara Krabi

Seatran Feri untuk ke Surat Thani

Sekitar pesisir pantai Ao Nang

Pulau Pinang, Malaysia

Perhentiaan Terakhir kembara IndoChina Menaiki minivan ke Penang selama 16 jam untuk pulang ke tanah air. Benar kata pepatah “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”.

Misi mencari makanan diteruskan sebelum berangkat ke Kuala Lumpur dan seterusnya pulang ke kampung halaman Terengganu. Pengembaraan selama lebih kurang 23 hari kesemuanya, yang bermula di Chiang Mai-Chiang RaiChiang
Saen-Huay Xai-Pak Beng-Luang Prabang-Vang Vieng-Vientiane-Nong Khai Bangkok-Ko TaoKrabi dan berakhir di Penang memberi aku seribu satu rasa, pengalaman baru, semangat yang baru dan sejauh mana kaki melangkah jiwa aku masih mahukan Malaysia.

Artikel di atas disumbangkan oleh Fais Taib. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka