Arahan kerajaan agar Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyalurkan RM10 juta kepada pesawah miskin menjelang bulan ini dan RM50 juta lagi tahun depan tidak bertujuan untuk memusnahkan empayar perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, lapor New Straits Times.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi membantu pesawah padi miskin termasuk di Kedah yang disifatkannya antara orang Melayu termiskin di negara ini.

Baca Juga:

“Saya berbincang dengan Syed Mokhtar, dan dia bersetuju. Selagi keuntungan dicatatkan, dia akan membantu petani.

“Beliau bersetuju dengan saya mengenai perkara ini dan kita akan berunding semula dengan Kementerian Kewangan tentang bagaimana Bernas boleh memastikan keadilan dan keselesaan kepada petani padi yang miskin. Apa yang perlu dipolitikkan?” Anwar berkata demikian pada sidang media selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan di sini, hari ini.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai berikutan rundingan dengan Syed Mokhtar, sambil menambah bahawa beliau boleh mengaut lebih banyak keuntungan melalui perniagaannya dalam sektor lain, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas yang berpangkalan di Johor.

Anwar berkata kementerian Kewangan dan Pengangkutan juga akan mengkaji untuk menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi oleh pelabuhan di negeri ini.

“Saya tidak faham mengapa ini menjadi masalah, kerana isu ini telah berlarutan selama bertahun-tahun, dan ini adalah kali pertama saya berkata, ‘cukuplah’.”

Semalam, Anwar dilaporkan turut menegur jutawan itu kerana memonopoli import beras ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertamanya.

Beliau berkata Syed Mokhtar telah bersetuju untuk memperuntukkan RM10 juta untuk pesawah padi miskin bulan ini dan Bernas akan memberi RM50 juta tahun hadapan.

“Jeritlah sekuat mana pun Melayu dan Islam, tapi nasib orang Melayu yang miskin itu tidak terbela, tidak ada makna bagi saya,” kata Anwar sebelum mengakhiri sidang media di Kementerian Kewangan, hari ini.