Dolly si pembuat teh dari India telah mencipta fenomena di internet dengan gaya uniknya semasa membancuh teh untuk pelanggannya di bahagian kaki lima. Videonya yang dimuat naik di laman Facebook mahupun TikTok sering mendapat jutaan tontonan dari masyarakat seluruh dunia.

Bukan sahaja terkenal dengan gayanya membancuh teh, Dolly juga selalu mendapat perhatian dengan gayanya mencucuh rokok kepada para pelanggan yang hadir ke warungnya.

Seorang rakyat Malaysia, Fakhrul Aizat yang bekerja sebagai jurugambar dan pemandu pelancong telah berpeluang untuk berjumpa dengan Dolly Chaiwala yang berada di Nagpur, daerah yang terletak sekurang-kurangnya 1129km dari bandar Kalkota.

Dalam satu hantaran terbaharu di Facebook, Fakhrul berkongsi gambar dan menyatakan bahawa dia adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah bertemu dengan Dolly, si pembuat teh dari India yang terkenal kerana gayanya.

“Masa PKP semua orang bosan kat rumah, kebetulan pula si Dolly tengah tular kat media sosial. Lepas sempadan bukak, AirAsia ada buat tawaran harga murah pergi Kalkota. Tiba-tiba teringat Dolly, itu yang terus study alamat dia dan ngam pula Nagpur ini dekat dan boleh sampai dari Kalkota naik kereta api,” katanya ketika mencerita perjalanannya bertemu Dolly bersama The Vocket.

Bagaimanapun, Fakhrul akui bahawa dia sedikit kecewa apabila sampai di warung Dolly, kedainya tutup dan diberitahu bahawa Dolly datang bekerja selalunya jam 12 tengahari.

“Masa itu kecewa dan serabut sebab dah beli tiket balik ke Kolkata semula pagi tu jam 11 pagi. Tapi tak lama lepas tu, saya terus buat keputusan untuk burn kan tiket tu dan cari tiket baru lewat petang semata-mata untuk jumpa Dolly tengahari itu.”

Penantian Fakhrul untuk berjumpa Dolly sebenarnya berbaloi, dia teruja apabila dipersembahkan dengan gaya membuat teh seperti yang beliau sering tonton di Facebook atau media sosial yang lain.

“Dari segi penampilan, cara dan gaya dia buat teh, cara dia serve pada pelanggan semua penuh gaya. Kedai dia paling ramai orang berbanding kedai teh yg ada sekitar dia dan rasa teh? padu dan pekat. Manis dia pun sedap-sedap tekak, dia pakai susu cair khas untuk minumannya,” katanya.

Memetik laporan India.Com, gaya yang ditampilkan oleh Dolly sebenarnya diilhamkan daripada filem-filem Bollywood, terutamanya filem lakonan Rajinikanth yang diminati olehnya. Namun disebabkan penampilannya dengan berambut panjang dan berkumis tebal, dia juga sering dipanggil ‘Jack Sparrow of India’.

Dolly mula popular apabila sebuah kumpulan Facebook dengan nama Street Food Recipes memuat naik video Dolly membuat teh di internet. Sejak itu, Dolly telah menjadi sensasi buat pengguna maya.

11 tips travel solo ke India untuk wanita. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

11 Tip Travel Solo Ke India Untuk Wanita

20 Tips Anda Perlu Tahu Sebelum Melancong Ke India

Bagaimana Artikel Vocket Jadi Penyelamat Ketika Saya Disyaki Sebagai Taliban Di India