Travel memang menyeronokkan, tapi harus diingat, bukan sepanjang masa ketika travel itu seronok. Dalam erti kata lain, travel itu bukan sentiasa yang indah-indah sahaja. Kadang-kala anda juga berhadapan dengan situasi kurang menyenangkan. Apa pun cabaran, itulah sebenarnya sebab utama kenapa travel itu sangat seronok.

Jika anda merancang untuk travel bersama kawan atau berkumpulan, ia tidak sama seperti anda travel secara solo. Ada beberapa perkara yang harus dipertimbangkan terlebih dahulu supaya perjalanan anda berjalan lancar seperti yang dimahukan. Persefahaman dan kerjasama sangat penting jika travel berpasangan, barulah tak spoil mood semasa travel nanti.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Gambar Sekadar Hiasan

Ini adalah 5 soalan utama yang perlu diajukan kepada bakal pasangan anda sebelum buat keputusan untuk travel bersama.

1. Bajet

Pertama sekali, tanya terlebih dahulu berapa anggaran kos atau bajet yang diperlukan. Kos perbelanjaan mestilah seimbang, jangan sampai salah seorang mengeluarkan kos yang lebih banyak.

Kadang-kala semasa travel ada beberapa kos yang terkeluar dari bajet yang dirancangkan. Bila ia terjadi, anggaran tidak seimbang dikhuatiri bakal merosakan mood travel anda apatah lagi jika salah seorang terpaksa berhutang.

2. Makan

Soal makan ini pun penting juga, ada orang selesa makan di kaki lima atau kedai makan tepi jalan sahaja. Ada orang agak cerewet dan memilih dalam bab makan, ini terpulang sebab tidak semua perut orang boleh terima makanan yang sama. Jadi, pastikan perkara ini turut diambil kira.

3. Jadual Perjalanan

Sudah semestinya bila merancang untuk travel anda sudahpun merancang untuk pergi ke tempat-tempat tertentu. Pastikan bertanya jadual perjalanan mesti diikuti seperti yang dirancangkan atau bebas menukar waktu, masa atau tempat. Sebab kadang-kala tidak semestinya apa yang dirancangkan berjalan dengan baik. Takut ada yang kecil hati pula.

Muka pun nampak lebih masam dari cuka, travel pun jadi tak best.

4. Keinginan

Yang ini pun penting juga. Tanya terlebih dahulu keinginan atau selera travel pasangan. Ada orang suka travel ke pulau, ada yang suka ke pergunungan, atau ada yang suka ke bandar merayap dijalanan. Pastikan minat dan keinginan travel anda sama, baru banyak perkara baru dapat diteroka nanti.

5. Bergerak berpasangan atau sendiri-sendiri

Ada orang suka pergi travel bersama, tapi menghabiskan waktu secara bersendirian. Contohnya, bila tiba sahaja tempat yang dituju, masing-masing akan buat hal sendiri dan berjumpa semula pada waktu yang ditetapkan. Ia lebih selesa bergerak sendiri dari berpasangan. Banyak juga orang seperti ini, jadi bincangkan juga perkara ini supaya tidak terjadinya salah faham.

Ada satu ungkapan orang lama berbunyi, tidak semestinya kawan baik adalah pasangan travel yang baik. Petikan emas pula pernah menyebut, nak tahu macam mana perangai sahabat anda, ajak dia bermusafir bersama.