Menunaikan haji di usia muda bukanlah satu pengalaman yang dapat dirasai oleh semua orang. Namun begitu jika sudah rezeki dan masanya telah tiba, tiada apa yang dapat menghalang.

Inilah yang telah dilalui oleh Cik Nadia Rahmat yang berpeluang menunaikan haji sewaktu berusia 21 tahun. Ikuti perkongsian Cik Nadia melalui temubual Vocket bersama beliau di bawah.

Vocket: Hi Nadia. Terima kasih sudi berkongsi pengalaman dengan Vocket. Boleh berikan nama penuh, pekerjaan, pendidikan dan usia?

Nadia: Nama saya Nadia Rahmat. Pekerjaan sebagai Esekutif Kewangan dan merupakan graduan dari jurusan Perakaunan.  Sekarang sudah berusia 27 tahun.

Vocket: Difahamkan Nadia telah menunaikan ibadah haji pada usia yang masih muda. Boleh kongsikan pada umur berapa?

Nadia: Ya. Pada tahun 2009 (1430H), ketika berumur 21 tahun.

Tarikh saya berangkat, 21 Oktober 2009. Penerbangan awal yakni, penerbangan ketujuh (KT07) pada hari ketiga jemaah Malaysia diterbangkan (kumpulan pertama bagi TH Travel & Services).

Menaiki pesawat Saudi Airlines (SV007) mendarat di Madinah untuk 40 waktu di Madinah, sebelum bertolak ke Mekah.

tunai-haji-usia-muda-1

Malam bertolak ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Rumah dipenuhi tetamu, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan. Suasana sungguh syahdu diiringi laungan azan.

tunai-haji-usia-muda-2

Selamat mendarat di bumi Madinah, penerbangan SV007 Saudi Airlines Boeing747.

tunai-haji-usia-muda-8

Buku nota haji yang masih tersimpan rapi sehingga sekarang. Nota persiapan pergerakan masyai’er Arafah-Muzdalifah-Mina.

tunai-haji-usia-muda-9

No bilik dan no tilam untuk di Arafah-Muzdalifah-Mina

Vocket: Adakah Nadia tunaikan haji kerana telah sampai giliran atau atas sebab-sebab lain?

Nadia: Sebenarnya, ibu bapa saya yang sepatutnya menunaikan ibadah haji berdua, setelah beberapa kali menangguhkannya atas sebab kewangan.

Beberapa bulan sebelum berangkat, ibu menyatakan niat kepada ayah untuk membawa saya bersama sebagai teman (kerana ibu ada masalah kesihatan).

Dari segi aturan, bukanlah giliran saya, malah saya sendiri tiada perancangan untuk menunaikan ibadah haji seawal itu (niat ada). Kalau nak diikutkan sebenarnya, tahun giliran saya ke haji adalah ketika umur saya 37 tahun.

Tetapi dari segi Islam, Iman, kepercayaan qada’ & qadar, inilah rezeki saya. Tibanya masa saya dijemput untuk menjadi tetamu-Nya yang istimewa. Sebagai hamba, dan sebagai anak yang memegang tanggungjawab menjaga ibu.

Vocket: Nadia pergi tunaikan haji berapa orang?

Nadia: Bertiga. ibu, ayah dan saya. Saya anak kedua dari 5 beradik.

Ramai yang bertanya, mengapa bukan Abang sulung saya yang pergi? Wallahualam. Jawapan sama seperti di atas. Qada’, qadar & rezeki. Urusan Allah.

Vocket: Bagaimana pula dengan simpanan dan perbelanjaan? Adakah pada waktu itu Nadia telah mula bekerja?

Nadia: Saya tiada simpanan. Ketika ibu menyuarakan niat untuk membawa saya bersama, ketika itulah baru ayah bawa saya ke bank, membuka akaun Tabung Haji dan seterusnya mendaftar untuk haji.

Perbelanjaan adalah sepenuhnya dibawah tanggunggan kedua ibu bapa saya kerana ketika itu saya belum bekerja. Masih belajar di UiTM Shah Alam.

Malah sebenarnya, ketika mendapat surat (confirmation) keputusan waktu dan tarikh penerbangan haji, saya baru sahaja pulang dari membayar yuran peperiksaan (saya mengambil jurusan professional dari UK dimana pembayaran saya tidak boleh dikembalikan kerana alasan haji bukanlah alasan yang mereka boleh terima).

tunai-haji-usia-muda-3

Ziarah disekitar Madinah. Di Masjid An-Nabawi dan Masjid Quba’.

tunai-haji-usia-muda-4

tunai-haji-usia-muda-5

Turut didalam gambar adalah Jemaah dari Turki bersama ibu.

tunai-haji-usia-muda-6

tunai-haji-usia-muda-7

Umrah Haji dari Madinah ke Mekah bermula, selepas 8 hari (40 waktu) di Madinah. Ibu di tempat miqat, Bir Ali dan ayah ketika di salah satu hentian rehat.

(Di Mekah, tidak banyak aktiviti bergambar dilakukan kerana, masing-masing fokus kepada ibadah. Hanya selepas haji, sebelum ke Jeddah baru saya berkesempatan berjalan dan mengambil gambar di sekitar Mekah)

Vocket: Apakah perasaan Nadia dapat tunaikan haji di usia muda?

Nadia:  Saya tidak pernah menunaikan ibadah umrah jua sebelum ini. Maka, umrah dan haji adalah benda baru dan asing bagi saya.

Perasaan itu bercampur baur. Gembira, teruja, sedih, gementar dan sebagainya. Gembira kerana diusia semuda itu saya dijemput. Sedangkan umur 21 tahun itu kata orang, kunci kebebasan baru diberikan.

Gementar kerana memikirkan adakah benar saya layak menjadi tetamu-Nya? Saya seorang pendosa. 21 tahun, hidup saya penuh dosa-dosa kecil dan besar. Saya lalai, lupa, alpha dan leka.

Adakah saya layak memijak tanah haram dan melihat Kaabah? Bermacam-macam yang bermain diminda dan hati.

Jujur saya katakan, selepas mendapat pengesahan, itulah permulaan, pertama kali, saya menunaikan solat sunat taubat, tahajjud dan dhuha. Saya hamba-Nya yang jahil dan hina.

Vocket: Sepanjang tunaikan haji, ada peristiwa yang tak dapat dilupakan berlaku?

Nadia: Ada beberapa perkara, dimana jika cerita ini diulang banyak kali pun, saya akan bercerita sambil menitiskan air mata.

1. Hujan rahmat Allah.

Sepanjang sebulan, berkampung di Kota Mekah, tiada setitik hujan pun yang jatuh kebumi. Pada hari bertolak ke Arafah selalunya jemaah Malaysia tidak digalakkan untuk bersolat subuh di Masjidil Haram.

Kami digalakkan bersolat di dalam bilik masing-masing, bersedia untuk dipanggil tingkat demi tingkat.

Pagi itu, tidak seperti pagi-pagi lain. Suasana bilik yang menempatkan kami, enam orang, sunyi. Selepas bersolat subuh, kami sama-sama setuju untuk membaca surah Yaasiin bersama.

Itulah suasana subuh yang paling syahdu dalam hidup saya. Bacaan kami diiringi air mata dan tangisan. Di luar pula, awan mendung mula berarak dan tidak lama kemudian, hujan lebat membasahi bumi Mekah.

Hati ini berbisik, menenangkan diri sendiri, “InsyaAllah, ini hujan Rahmat Allah”.

Tingkat saya adalah kumpulan pertama dipanggil untuk bergerak ke Arafah.

2. Peristiwa tawaf haji.

Dugaan saya ketika melakukan ibadah haji adalah kitaran haid. Di mana, pengiraannya jatuh pada hari wuquf. Bagi melaksanakan rukun wajib haji dalam keadaan suci, saya perlu melakukan Nafar Awal. Yakni, selepas melontar dan lepaslah sebahagian ihram, saya perlu pulang semula ke Mekah bagi melaksanakan tawaf haji.

Dugaan ini kuat kerana, pergerakan pulang ke Kota Mekah adalah atas risiko sendiri tetapi dengan pengetahuan pihak Tabung Haji.

Vocket: Bagaimana pula dari segi pengalaman lain yang mungkin ingin dikongsikan di sepanjang kerjakan haji (jika ada) terutama dari segi pengajaran atau teladan?

Nadia:  Sabar itu sebahagian daripada iman.

tunai-haji-usia-muda-24

tunai-haji-usia-muda-25

Berkampung di Mina selama 3 hari bagi melaksanakan rukun haji, melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyriq.

tunai-haji-usia-muda-26

Melalui terowong Muassim untuk ke Jamrah. Terowong sepanjang 900m meter ini masih meninggalkan kesan pahit dimana ramai yang terbunuh akibat rempuhan pada awal tahun 90an.

tunai-haji-usia-muda-27

Suasana melontar di Jamrah, Mina.

tunai-haji-usia-muda-28

tunai-haji-usia-muda-29

tunai-haji-usia-muda-30

tunai-haji-usia-muda-31

tunai-haji-usia-muda-32

Suasana melontar di Jamrah, Mina.

tunai-haji-usia-muda-33

Vocket: Ada perkara lain yang ingin Nadia kongsikan juga?

Nadia: Ye ada.

1. Bermabit di Muzdalifah.

Diantara tempat bermabit antara Arafah, Muzdalifah dan Mina, bermabit di Muzdalifah adalah tempat bermabit yang paling saya suka. Ianya adalah pengalaman yang sukar digambarkan keseronokannya.

Setelah selesai masuk waktu wuquf di Arafah, pergerakan jemaah adalah ke Muzdalifah bagi mengutip anak-anak batu untuk aktiviti melontar di Mina.

Muzdalifah adalah satu kawasan tanah, berbukit, tiada khemah mahupun tempat duduk disediakan. Di tanah yang lapang dan berbukit itulah, jemaah akan bentangkan tikar dan bermabit.

Tidur beralaskan tikar di tanah, berbumbungkan langit yang luas, berselimutkan telekong atau kain ihram. Suasana dan perasaan itu sangatlah indah.

Bayangkan saya bersama ibu dan ayah, tidur bersama di atas tikar berbumbungkan langit. SubhanAllah. Sukarnya saya nak menterjemahkan perasaan indah itu!

tunai-haji-usia-muda-21

tunai-haji-usia-muda-22

Bermabit di bumi Muzdalifah. Disini batu-batu melontar dikutip dan disini saat paling indah, tidur beralaskan tikar, berbumbungkan langit dan berselimutkan telekong dan kain ihram.

2. Pertalian dengan ibu dan ayah makin kuat.

Saya merupakan anak kedua dari 5 beradik. Dari segi fakta, anak kedua sifatnya bebas, pandai berdikari tanpa bantuan ibu bapa. Jadi, hubungan saya dengan ibu dan ayah, adalah biasa sahaja.

Namun, inilah yang dikatakan Rahmat Allah. Sesungguhnya, perancangan Allah itu Maha Hebat. Ada hikmah, mengapa saya dijemput bersama-sama untuk menunaikan ibadah haji bersama ibu dan ayah.

Hubungan saya bersama ibu dan ayah mula erat sejak haji. Ibu, saya layan dan jaga bagai permaisuri. Kelengkapan harian, saya sediakan.

Buka dan pakai sarung kaki dan kasut, saya yang lakukan. Dan benda yang paling saya rindu untuk lakukan bersama ibu adalah, memeluk ibu untuk tidur, dibawah satu selimut. (Nangis,  21 tahun hidup tak pernah saya buat itu untuk ibu. Saya akan tidurkan dia dahulu sebelum saya yang tidur).

tunai-haji-usia-muda-36

Ini gambar terbaik yang saya dapat ambil dari tingkat paling atas, setelah selesai semua rukun wajib haji. Sebelum bertolak ke Jeddah dan pulang ke Malaysia, saya mengambil kesempatan melawat disekitar Mekah dan mengambil gambar.

tunai-haji-usia-muda-10

Suasana pergerakan ke Arafah diiringi laungan azan yang syahdu oleh Ustaz bertugas.

tunai-haji-usia-muda-11

tunai-haji-usia-muda-12

tunai-haji-usia-muda-13

Pergerakan ke Arafah setelah terpaksa berpatah balik dan perjalanan ditangguhkan akibat banjir di Arafah dan Mina.

tunai-haji-usia-muda-14

Pagi di bumi Arafah.

tunai-haji-usia-muda-15

Pagi di bumi Arafah.

tunai-haji-usia-muda-16

tunai-haji-usia-muda-17

Jemaah haji kecil dari Indonesia.

tunai-haji-usia-muda-18

Selepas Asar di Arafah. Waktu paling afdhal berdoa dia antara waktu asar dan maghrib. Memasuki waktu wuquf. Jemaah digalakkan berada di luar khemah tanpa berselindung di bawah apa-apa. Dikatakan waktu afdhal berdoa ini, langit terbuka luas, 70000 malaikat turun ke bumi dan mengangkat terus doa naik ke atas.

tunai-haji-usia-muda-20

Selepas waktu wuquf, menunggu giliran untuk ke Muzdalifah.

tunai-haji-usia-muda-23

Selepas subuh, menunggu giliran pergerakan ke Mina.

Vocket: Apakah kesan dan perubahan dalam diri Nadia selepas kembali ke Malaysia daripada menunaikan haji?

Nadia: Manusia sering ingin berubah ke arah kebaikan. Bilamana kita sudah berada pada satu tahap yang menjadi kayu ukur, segala tingkah laku kita akan diperhatikan dan dipersoalkan.

Untuk saya, yang orang lihat pulang dari ibadah haji – seorang “hajjah”. Gerak geri laku saya diperhatikan. Tapi bukanlah kerana saya takutkan manusia yang menyebabkan saya ingin berubah. Semuanya terpulang pada diri sendiri.

Bagi saya, bukan semua orang menikmati apa yang saya rasa pada usia semuda itu. Jadi, mengapa saya perlu sia-siakan 45 hari saya di Madinah-Mekah-Arafah-Muzdalifah-Mina-Jeddah dengan tidak berubah ke arah kebaikan?

Ketika melontar di Mina. Untuk setiap lontaran itu saya niatkan untuk membuang segala sifat-sifat jahil dan negatif yang ada dalam diri saya.

Permulaan sebenar haji adalah ketika kita pulang ke Tanah Air. Di situlah segalanya diuji. Dan setiap kali diuji itulah, saya akan cuba kenang kembali moment-moment haji.

Itu antara yang menguatkan saya. Saat-saat betapa istimewanya saya di jemput menjadi tetamu Dia. Perasaan kerdil dan insaf itu wujud setelah berada di sana.

Kita berihram, memakai pakaian yang sama. Tanpa mengira warna kulit, umur, bangsa, negara, harta kekayaan, pangkat dan darjat, kita berkumpul dengan satu tujuan yang sama.

Sujud mengharapkan keampunan dan keredhaan yang sama. Maka, siapalah kita untuk menongkat dunia, sedangkan udara percuma ini juga adalah pemberian Dia?

Bukan semua orang dapat mengalami pengalaman saya pada usia semuda saya. Usia yang dianggap tidak layak oleh sesetengah pihak.

Ditambah pula, saya dikenali sebagai seorang yang sangat aktif, tidak duduk diam, rugged dan sebagainya. Dari situ saya cuba niatkan di hati untuk berubah kerana Allah SWT, bagi menangkis tomahan dan tuduhan manusia.

Saya dikenali oleh mereka yang rapat dengan saya, sebagai seorang yang suka memakai stoking berjari (trademark saya).

Pada awalnya, cara saya dipersoalkan, mengapa memakai stoking dengan selipar? Berpantangkah? Saya akan jawab dengan senyuman dan tenang menerangkan bahawa, kaki jua adalah aurat.

Ini antara sebahagian perubahan-perubahan saya setelah pulang. Selain cuba untuk meneruskan amalan-amalan selama 45 hari disana. Amalan-amalan ini, apabila kita sudah biasakan, dan apabila kita mula meninggalkan walau sekali, kita akan berasa gelisah dan tidak tenang.

Bagi mereka yang biasa bermusafir bersama saya, yang pernah tidur sebilik, sebantal dengan saya, mereka ini tau apakah rutin saya di dalam bilik, walaupun ketika bermusafir.

Saya rasa, sekiranya saya meninggalkan segala-galanya setelah pulang dari haji atau tanpa melakukan sebarang perubahan diri, ibarat saya tidak bersyukur di atas pemberian-Nya. Wallahualam.

tunai-haji-usia-muda-34

Maktab kami dan menunggu giliran untuk pulang ke Mekah.

tunai-haji-usia-muda-35

tunai-haji-usia-muda-37

Hari terakhir sebelum ke Jeddah, kami dibawa bersiar-siar oleh saudara di sana untuk membawa pulang barangan.

tunai-haji-usia-muda-38

Hari bertolak ke Jeddah. Bergambar kenangan bersama bekas CEO TH Travel & Services, Tn Hj Major Ramli B Othman, guru dan pembimbing agama, Ustaz Zamri Zainal Abidin, Ustaz Zahari (Ayahanda), dan Ustazah Yaminah (Bonda).

tunai-haji-usia-muda-39

Sebahagian Jemaah kumpulan KT07 bergambar kenangan di lobi hotel Jeddah sebelum bertolak ke Terminal Haji, Lapangan Terbang Jeddah.

tunai-haji-usia-muda-40

Gambar terakhir sebelum pulang ke Malaysia.

tunai-haji-usia-muda-41

Wajah-wajah suci yang gembira untuk pulang ke dalam pelukan keluarga di Malaysia

Vocket: Ada pesanan yang ingin Nadia sampaikan buat mereka yang berkeinginan tunaikan haji di usia muda seperti Nadia?

Nadia: Niat adalah benda paling utama. Doa adalah senjata paling hebat. Kalau berkemampuan, kumpul lah wang sedikit demi sedikit. Saya sangat menggalakkan pergi pada usia muda.

Mengapa?
1. Ajal tidak mengenal usia.
2. Ibadah haji benar-benar memerlukan tenaga dan kudrat.
3. Agar kita yang muda ini dapat membantu para jemaah yang berumur dan uzur.

Ada orang pernah berkata pada saya, “Umrah kita boleh buat banyak kali, tetapi tak sama seperti haji. Wuquf itu yang membezakannya”. Benar. Itulah yang saya rasakan setiap tahun.

Menghitung hari wuquf. Sama debarnya dengan para jemaah di sana. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata akan perasaan ini. Sebab itu saya nak semua orang rasa perasaan wuquf itu.

Sejak pulang dari ibadah haji, setiap tahun, saya tanpa jemu menghantar email kepada Lembaga Tabung Haji, dengan menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan petugas haji pada setiap musim haji.

Ini kerana, saya ingin diri saya tidak lupa akan suasana itu. Namun, permintaan saya, ditolak kerana petugas-petugas haji hanyalah daripada kalangan kaki tangan Tabung Haji itu sendiri.

Namun begitu, siapa sangka, rezeki saya kini di TH Hotel & Residence, anak syarikat kepada Lembaga Tabung Haji. Saya baru bekerja di sini 2 bulan.

InsyaAllah, panjang umur, dimurahkan rezeki, saya juga akan menjadi petugas tabung haji bagi musim-musim haji akan datang.

tunai-haji-usia-muda-19

tunai-haji-usia-muda-42

Setelah pulang baru perasan, kami tiada gambar bertiga. Hanya ini sebagai kenangan.

Vocket mengucapkan terima kasih kepada Cik Nadia atas perkongsian ini. Semoga impian Cik Nadia untuk menjadi petugas tabung haji bagi musim-musim haji akan datang tercapai hendaknya.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

0 KOMEN

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤