Nota Editor: Tips ini adalah bahagian kedua tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesar dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga mempunyai kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 beradik ini dan tips pertama di sini. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy kerana sudi berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti tips-tips daripada mereka di laman web kami dari Isnin hadapan.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Asuhan Ibu Lebih Barakah

Assalamu’alaikum wbt

1. Perkataan SAHM, acronym bagi ‘Stay-At-Home-Mother’, adalah golongan wanita yang memilih untuk tidak keluar bekerjaya sebaliknya berkorban untuk memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga dan rumahtangga. Begitu juga WAHM atau ‘Working-At-Home-Mother’ yang merupakan kategori wanita yang tidak kurang hebat yang memilih untuk bekerjaya dari rumah dengan hasrat dapat menjaga dan mendidik anak secara total.

2. Saya termasuk dalam kategori wanita yang menjadi SAHM pada awalnya ketika anak-anak masih kecil. Saya telah dianugerahkan oleh Allah swt dengan kehadiran anak-anak selang setahun untuk 3 anak yang pertama dan selang 3 tahun dan 2 tahun untuk anak-anak yang berikutnya.

3. Cabaran memiliki 5 anak kesemuanya lelaki dengan jarak usia yang rapat serta aktif, ditambah dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah menambah tekad saya untuk mengasuh sendiri anak-anak.

4. Satu fakta yang harus diterima ialah wanita-wanita SAHM / WAHM sebahagian besarnya bukan sebarangan orang tetapi golongan pintar yang berpendidikan tinggi yang rela untuk tidak berada di mercu kerjaya dalam bidang profesional dengan pangkat dan gaji yang tinggi di bilik berhawa dingin milik syarikat-syarikat korporat dan multinasional. Mereka adalah khalayak yang merasakan sumbangan mereka dalam pembangunan keluarga adalah lebih penting daripada kepuasan kerjaya sendiri.

5. Saya mempraktikkan ‘Maslow Hierarchy of Need’s Theory’ yang menekankan susun lapis kepuasan diri ke peringkat maksima.

“Maslow describes the Need’s Theory as the desire to become more and more what one is, to become everything that one is capable of becoming. For example one individual may have the strong desire to become an ideal parent….”

6. Pada pendapat saya, tiada kompromi, seorang ibu perlu berada di rumah untuk memberi tumpuan pada anak-anak semasa mereka masih kecil dan memerlukan perhatian, belaian kasih sayang dan pendidikan sepenuhnya. Cukuplah ayah sahaja yang keluar untuk mencari rezeki dan fokus pada kerjaya.

7. Saya amat yakin ibu memainkan peranan penting dalam memastikan penyediaan makanan anak-anak dimasak dengan penuh ikhlas, penuh kasih sayang, disertai doa dan menyuapkan makanan ke mulut anak-anak dengan tangan ibu sendiri. Ibu juga harus menjadi orang pertama yang akan mendengar cerita, kesedihan dan pengalaman-pengalaman mereka. Sekiranya ibu-ibu bekerjaya contohnya sempat memasak dahulu sebelum keluar ke pejabat, tetapi suapan ke mulut anak-anak terpaksa dilakukan oleh pengasuh atau bibik, ini pada saya masih gagal menepati kriteria ibu menyediakan makan minum untuk anak-anak.

8. Rahsia bonding ibu dengan anak-anak berasaskan didikan, kasih sayang, perhatian dan doa yang tercipta sejak kecil akan menjadi begitu utuh dan dapat mengikat hati anak-anak sehinggakan dalam bab mencari calon isteri pun akan dipastikan mendapat restu ibu.

9. Masyarakat seharusnya memberi sokongan padu kepada golongan wanita seperti ini kerana apa yang mereka korbankan itu insyaAllah adalah sepadan dengan hasil yang bakal mereka perolehi.

10. Tinjauan rambang mendapati kebanyakan anak-anak yang runtuh akhlaknya adalah daripada latar belakang ibu bapa yang sibuk dan tiada masa terhadap anak-anak. Tugas pendidikan akademik dan sahsiah diserahkan sepenuhya kepada guru di sekolah. Urusan makan pakai anak-anak diambil alih oleh bibik sementara masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti yang tiada nilai tambah.

11. Anak-anak di bawah asuhan ibu-ibu suri rumah atau ibu-ibu bekerjaya dari rumah akan mendapat pantauan secara langsung dan rapi. Tambahan lagi dengan ibu yang terpelajar dapat menyalurkan ilmu kepada anak-anak bertambah barakah lagi kehidupan sekeluarga. Pastinya ibu yang mengajar sendiri anak-anak mereka akan memastikan anak itu berjaya. Saya sendiri sanggup belajar kembali subjek-subjek yang pernah dipelajari di sekolah 20-30 tahun dahulu seperti Matematik Tambahan, Sains atau Sejarah hanya semata-mata untuk mengajar anak sendiri.

12. Tiada balasan yang diharapkan selain doa daripada anak yang soleh dan solehah agar menjadi bekal ibu bapa di barzakh nanti. Semoga anak yang lahir dari didikan sempurna ibubapa mampu berdoa…

“Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku kepada roh kedua ibubapaku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya, hapuskanlah kesalahannya dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih”.

Ikuti sambungan tips ini pada Isnin hadapan.

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Profesional (Bahagian 1)

BACA Lagi: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 3)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram