Nota Editor: Tips ini adalah bahagian ketiga tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesar dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian kedua. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy kerana sudi berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami pada esok hari.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 3: Abang Long ‘the Trendsetter’

Assalamu’alaikum wbt

1. Perkongsian saya dalam penulisan bersiri ini adalah terbit daripada experiment yang telah saya lakukan terhadap anak-anak sendiri dalam perancangan menjadikan mereka sebagai Profesional Huffaz (PROFAZZ). Setelah saya yakin akan keberhasilannya, barulah saya bersedia untuk menjadikannya sebagai panduan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui kaedah yang telah saya gunapakai.

2. Untuk siri kali ini, saya ingin menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh anak sulung dalam sesebuah keluarga. Saya juga ingin tunjukkan betapa pentingnya ibubapa memastikan perancangan rapi dilakukan sejak dari anak pertama lagi. Abang Long adalah panggilan yang lazim kita dengar untuk anak pertama. Tetapi di sebalik panggilan yang mengingatkan kita tentang kedudukan Abang Long di dalam susunan keluarga, anak sulung sebenarnya memainkan peranan yang dapat membantu mencorakkan kehidupan adik-adik di bawahnya.

3. Pertamanya ialah Abang Long bertindak sebagai ‘the Role Model’ yang akan menjadi benchmark kepada adik-adik. Apabila anak sulung berjaya dari segi akademik dan akhlak, kecenderungannya adalah adik-adik akan turut mengikuti jejak mereka untuk sama-sama berjaya. Nasihat dan bimbingan Abang Long kepada adik-adik akan menitipkan inspirasi dari sudut yang berbeza jika dibandingkan dengan ibubapa sendiri. Ia seakan memacu adik-adik ke satu destinasi yang lebih meyakinkan dengan hasil yang terbentang luas di depan mata.

4. Di sini saya coretkan sedikit pengalaman sendiri dalam rangka merencana kejayaan akademik dan keperibadian anak-anak. Ia bermula daripada anak sulung di mana saya perhatikan hasrat untuk sentiasa mendapat keputusan cemerlang telah ada dalam diri beliau sejak dari sekolah rendah lagi. Abang Long akan sentiasa memastikan persediaan rapi dibuat sebelum peperiksaan, alatan menulis lengkap di hari peperiksaan, tangan ibu dicium sebelum keluar rumah dan membaca doa sebelum membuka kertas peperiksaan.

5. Apabila keputusan peperiksaan keluar, Abang Long akan mengingatkan dan memastikan saya pergi ke sekolah untuk mendengar sendiri dari guru-guru kelas tentang prestasi pelajaran beliau dan adik-adik serta aktiviti lain di sekolah.

6. Tatkala Abang Long bertegas hendak memasuki Maahad Tahfiz sepenuh masa selepas PMR, saya pada mulanya agak gusar takut-takut dia terkandas dalam pelajaran atau lambat hendak mengejar balik bidang akademik. Tetapi Abang Long memujuk kami untuk merestui hajatnya kerana khuatir akan menjadi terlalu lewat bagi dirinya melengkapkan diri sebagai seorang huffaz. Jadi saya membuat permohonan kepada pihak sekolah untuk menangguhkan sementara pembelajaran akademiknya bagi memberi tumpuan 100% kepada hafazan al-Quran. Ketika itu usia Abang Long sudah 16 tahun. Sebaik sahaja tamat menghafaz 30 juz al-Quran Abang Long kembali semula meneruskan pembelajaran di sekolah biasa.

7. Abang Long menjadi ‘the Trendsetter’ dan keputusan serta tindak tanduk beliau telah berjaya diikuti oleh adik-adiknya di mana seorang demi seorang mengikuti jejak langkah Abang Long mereka dengan menjadi huffaz selepas PMR ketika berusia 16 tahun. Alhamdulillah syukur tidak terhingga saya dengan hasil yang diperolehi terbit daripada ketegasan Abang Long tadi.

8. Program hafazan yang disediakan di Maahad Tahfiz adalah selama 2 tahun, tetapi memandangkan anak-anak saya berjaya menghabiskan hafazan lebih awal, mereka dapat mengulangi hafazan tersebut beberapa kali untuk lebih mantap. Abang Long berjaya menjadi huffaz dalam masa 10 bulan, adik-adiknya ada yang 5 bulan, 8 bulan dan setahun lebih.

9. Yang menariknya mereka hafaz al-Quran beserta dengan terjemahan sekali. Saya dapati keberkesanan dalam hafazan berserta pengertian mendalam ayat-ayat al-Quran sangat bermanfaat kerana mereka dapat aplikasikan di dalam kehidupan seharian dan menjadi hujah kepada banyak isu dan permasalahan yang melanda.

10. 2 tahun berada di Maahad Tahfiz, ini bermakna Abang Long dan adik-adiknya akan turun batch 2 tahun berbanding rakan-rakan sebaya mereka. Tetapi syukur ke hadrat Illahi, memandangkan Abang Long dan adik-adiknya dapat menghabiskan hafazan mereka lebih awal, saya telah menyerapkan mereka semula ke sekolah biasa untuk menduduki Tingkatan 4 di pertengahan tahun dan dapat mengejar balik sesi pembelajaran yang telah mereka tinggalkan. Dengan kata lain, saya cuba memastikan Abang Long dan adik-adiknya turun batch hanya satu tahun saja.

11. Sesungguhnya Allah Maha Agung. Apabila seseorang anak itu mengalir dalam darahnya al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, Allah memudahkan segala urusan. Dalam keadaan kawan-kawan mereka yang lain telah menghabiskan setengah tahun silibus persekolahan, Abang Long dan adik-adiknya dapat mengejar balik pelajaran yang tertinggal sekian lama dan memperolehi keputusan cemerlang di hujung tahun. Saya kira otak mereka sudah menjadi seperti sponge yang meresap segala bentuk ilmu dengan mudah sekali. Pada tahun berikutnya di Tingkatan 5 kesemua mereka mendapat kejayaan gilang gemilang  dalam peperiksaan SPM dengan mendapat straight A’s.

12. Sebaik sahaja tamat tingkatan 5 dan sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, Abang Long menyatakan hasrat untuk mendalami bahasa Arab di negara Arab. Kami mulanya mencadangkan beliau belajar di Kelantan sahaja memandangkan kos tidak berapa tinggi, tetapi Abang Long kata 5 hingga 6 bulan tidak mencukupi kalau hendak memantapkan Bahasa Arab di Malaysia kecuali pergi ke negara yang bahasa ibundanya Bahasa Arab. Jadi, berangkatlah Abang Long ke Sana’a, Yemen mengikuti kelas Bahasa Arab di Universiti Iman dan sekembalinya beliau ke Malaysia 6 bulan kemudian, lancar sungguh Bahasa Arabnya.

13. Seperti diduga langkah Abang Long sebagai ‘the Trendsetter’ telah diikuti oleh adik-adik yang lain. Kesemua mereka berangkat ke Sana’a, Yemen sebaik habis Tingkatan 5 dan belajar Bahasa Arab di sana dalam lingkungan 5-6 bulan sehingga keluar keputusan peperiksaan SPM. Bersyukur sungguh bila saya dengar mereka berbahasa Arab dengan faseh serta dapat berkomunikasi dengan orang Arab di sana. Sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka memilih bidang-bidang yang menjadi pilihan sendiri seperti undang-undang, perubatan, perakaunan dll. Yang penting mereka ingin menjadi Professional Muslim yang boleh berbahasa Arab dan di masa yang sama seorang huffaz, Alhamdulillah. Dan yang menggembirakan walaupun Abang Long dan adik-adiknya turun batch 1 tahun, mereka masih lagi berjaya menerima biasiswa daripada JPA dan MARA untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, tidak seperti yang dikhuatiri oleh segelintir ibubapa lain.

14. Di samping pencapaian akademik yang selalu ditekankan oleh ibubapa, saya ingin ulangi sekali lagi tentang peri pentingnya kita lengkapkan pembelajaran Bahasa Arab dan hafazan berserta terjemahan kepada anak-anak yang akan menjadi bekal mereka sepanjang hayat. Anak-anak yang ada al-Quran di dalam diri mereka akan sentiasa terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Apabila sampai masa untuk mereka menjadi pekerja dalam pelbagai bidang, mereka akan bekerja dengan ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab. Kalau boleh kita hendak semarakkan minat menghafaz al-Quran ke seberapa ramai anak-anak agar dapat menghasilkan seramai mungkin Professional Huffaz di Malaysia.

15. Saya harap perkongsian kali ini dapat menjadi inspirasi kepada ibubapa di luar sana untuk mengetahui betapa pentingnya kita merancang dengan sebaik mungkin perjalanan, pendidikan dan hala tuju kehidupan anak-anak sedari kecil agar mereka menjadi insan soleh wa musleh. Tiada jalan pintas dalam menghasilkan PROFAZZ dan ia juga tidak terhasil melalui ‘magic wand’ atau kaedah ‘Touch & Go’.

16. Anak adalah anugerah kurniaan Allah swt yang sungguh bernilai kepada kita. Jika kita tidak menjaganya dengan baik, apakah jawapan dan alasan yang akan kita persembahkan di hadapan Allah swt di akhirat kelak? Sebagai penutup kata, saya ingin memetik satu hadith yang berbunyi:

“Barangsiapa membuat sunnah yang baik di dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang setelahnya yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun daripada pahala-pahala mereka. Dan barangsiapa membuat sunnah yang buruk di dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang setelahnya yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun daripada dosa-dosa mereka.” [HR. Muslim]

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 2)

BACA Lagi: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 4)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram