Nota Editor: Tips ini adalah bahagian keempat tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesarkan dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian dua dan bahagian tiga. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy atas kesudian mereka berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami pada esok hari.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 4: Anak ‘Melayu’ di Bumi Orang

Assalamu’alaikum wbt

1. Sebaik-baik pembentukan peribadi anak-anak adalah pembentukan yang diacu mengikut adunan agama. Dalam proses mendidik anak-anak, ibubapa harus selalu berlembut dalam semua perkara kecuali hal-hal yang membabitkan aqidah dan akhlaq. Seringkali ibubapa cuba menutup sebelah mata jika perlakuan anak-anak agak keterlaluan atau sekali sekala menyebelahi mereka dek kerana belas ehsan atau kasih sayang berlebihan sehinggakan membuat anak-anak tidak cuba memperbaiki diri atau mengembangkan bakat dan potensi diri.

2. Realitinya ibubapa tidak sanggup melihat anak-anak mengalami kesulitan, walhal jika anak-anak tersebut berjaya mengharungi segala kepayahan, karakter mereka akan menjadi lebih kuat dan semangat mereka lebih tinggi.

3. Begitu juga halnya dalam usaha menjadikan anak-anak sebagai huffaz. Kadangkala ibubapalah yang sebenarnya tidak sampai hati untuk membiarkan anak-anak mereka dalam keadaan tekun menghafaz al-Quran sepanjang hari mulai dari terbit hingga terbenam matahari. Ibubapalah yang sebenarnya asyik membayangkan betapa anak-anak mereka akan melalui kehidupan yang begitu membosankan. Ibubapalah yang sebenarnya tidak tergamak untuk melihat anak-anak mereka tidak sempat bermain PlayStation, ber’ipad’, ber’whatsapp’ dan menonton ‘movie’ kegemaran.

4. Hakikatnya ketenangan dan kesyahduan yang dirasai anak-anak ketika muraja’ah dan mentasmik hafazan adalah satu nikmat yang tidak tergambar oleh kata-kata sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas.

5. Dalam penulisan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman ketika mendidik anak-anak di bumi orang. Pada pandangan saya walau di mana pun kita berada tiada istilah lepas tangan oleh ibubapa. Tanggungjawab mendidik anak tetap menjadi tugasan utama ibubapa sehinggalah anak-anak tersebut mencapai akil baligh, yakni dapat membezakan di antara yang haq dan yang batil.

6. Pengalaman saya bersama anak-anak semasa kecil mengikut ayah mereka ke U.K. untuk menyambung pengajian di peringkat PhD sedikit sebanyak menguji ketabahan seorang ibu dalam rangka menyemai benih Islam ke dalam sanubari anak-anak. Dengan ketiadaan banyak bahan bacaan berunsurkan Islam, kekurangan ustaz/ustazah yang boleh membantu mengajar tentang ad-Deen dan berleluasanya unsur-unsur jahiliyah di bumi asing adakalanya menyebabkan kita goyah dan cenderung untuk hanyut sama dalam persekitaran.

7. Ketika itu anak-anak saya seramai 3 orang berusia 3, 4 dan 5 tahun. Kami menetap di U.K. selama 3 tahun. Ini bermakna menjelang balik ke Malaysia, anak-anak saya akan menginjak ke usia 6, 7 dan 8 tahun. Dua lagi anak saya lahir di sana tetapi saya tidak terlalu bimbang kerana mereka masih lagi kecil. Saya cuba untuk tidak membiarkan anak-anak tanpa pendidikan asas solat dan mengaji al-Quran.

8. Saya sendiri mengajar mereka secara konsisten setiap hari agar mereka tahu tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Selagi mereka tidak menyudahkan bacaan beberapa halaman al-Quran setiap hari, selagi itulah mereka tidak dibenarkan untuk bermain atau membuat aktiviti lain. Selagi mereka tidak menyempurnakan ibadah solat dengan mengikut bacaan-bacaan yang saya ajarkan dengan jelas di tepi mereka, selagi itulah ‘rotan’ bergoyang di tangan.

9. Rotan perlu ada di rumah bukan digunakan untuk tujuan penderaan, tetapi sebagai simbolik untuk menyatakan bahawa kita sebagai ibubapa serius untuk mendidik mereka menjadi insan sempurna. Dengan lima orang anak lelaki yang aktif dan ‘degil’ mana mungkin saya dapat disiplinkan mereka jika tiada alat yang memudahcarakan proses tersebut. Kalau rotan ada dirumah dan disimpan di bilik stor sekalipun sudah memadai asalkan di setiap rumah harus ada menyimpan rotan sebagai alat mendidik dan anak-anak perlu tahu bahawa ada rotan di simpan di dalam rumah tersebut.

10. Rata-rata penuntut peringkat PhD di U.K. akan menetap selama 3-4 tahun di sana. Saya perhatikan kebanyakan para ibu yang menemani pasangan masing-masing akan membawa bekal buku-buku teks Bahasa Melayu, Matematik, Sains dll agar anak-anak mereka dapat membuat latihan supaya mudah mereka menyambung pelajaran sekembalinya ke Malaysia nanti. Saya mempunyai pendirian yang berbeza. Saya hanya membawa bekal buku-buku Iqra’ dan Muqaddam untuk mengajar anak-anak mengenal alif, ba, ta dan membaca al-Quran. Buku-buku lain tidak begitu diberi keutamaan kerana saya yakin masih boleh dipelajari kemudian.

11. Sistem pendidikan Barat yang sekular dan berorientasikan pembangunan kendiri tidak memungkinkan seseorang anak kecil dapat mengenal diri dan tuhannya. Pra-sekolah dan sekolah rendah di sana hanya menitikberatkan pembentukan mental dan kognitif dengan pelbagai simulasi yang bersandarkan upaya kanak-kanak dengan sedikit bimbingan dari guru. Hasilnya anak-anak begitu berminat untuk ke sekolah kerana mereka bebas membuat apa yang mereka suka dan sesi pembelajaran agak fleksibel. Ini termasuk tiada beg yang berat, tiada homework yang banyak, tiada drilling oleh guru yang terpaksa mencapai target prestasi yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan pelajar mempunyai rutin harian yang berubah-ubah.

12. Di penulisan akan datang saya akan berkongsi pengalaman bagaimana anak-anak dapat terus tegar dalam landasan yang benar walau di mana mereka berada. Akhir kata, ingin saya kongsikan doa yang sering saya tiupkan ke wajah anak-anak agar hati mereka lembut:

للَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاء وَهُوَ الْقَوِيُّ العَزِيزُ.

“Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

(Asy-Syura 42: 19)

BACA:  Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 3)

BACA Lagi: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 5)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram