Nota Editor: Tips ini adalah bahagian keenam tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesarkan dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian dua, bahagian tiga, bahagian empat dan bahagian lima. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy atas kesudian mereka berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami dari semasa ke semasa.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 6: “It’s Never Too Late To Be A PROFAZZ”

Assalamu’alaikum wbt.

1. Dalam diari kehidupan seorang Muslim tidak seharusnya ada perkataan ‘KALAU’. Tidak juga harus ada perasaan menyesali takdir, menyalahkan Allah, menyalahkan orang lain hatta menyalahkan diri sendiri.

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Ta’ala ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alayhi wasallam bersabda:

“Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan masing-masing ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah dalam menuntut apa yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali kamu bersikap lemah. Apabila engkau ditimpa suatu kegagalan, janganlah engkau berkata: “Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini atau begitu. Akan tetapi katakanlah : “Qaddarallahu wamaa Syaa’a Fa’ala”. (Ini telah ditakdirkan oleh Allah dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya ucapan “Seandainya” akan membuka (pintu) perbuatan Syaitan”. (Hadis Riwayat Muslim)

2. Begitu juga, di dalam setiap tindak tanduk dan perlakuan kita, jangan sesekali kita merasakan bahawa kita telah tiada peluang untuk memperbaiki diri dan keluarga walaupun awalnya kita telah tersilap langkah. Ditakdirkan di awal kehidupan kita tergolong dalam kategori alpa dan lalai, tidak semestikan tiada ruang dan peluang untuk kita berpatah balik, memperbetul keadaan dan menebus dosa. Allah tidak pernah menafikan hak kita untuk bertaubat dan mensucikan diri. Allah suka pada hambanya yang merayu dan meminta kepadaNya. Oleh itu jangan khuatir, lemah semangat dan berputus asa untuk sentiasa berdoa kepada Allah.

Allah S.W.T. berfirman: “…Dan jika engkau dekat pada-Ku sejengkal, maka Aku akan dekat padamu sehasta, dan jika engkau dekat pada-Ku sehasta, maka Aku akan dekat padamu sedepa, Dan jika engkau datang pada-Ku dengan berjalan, maka aku akan datang padamu dengan berlari kecil”.(Hadis Riwayat Bukhari)

3. Di dalam penulisan kali ini saya ingin memperlihatkan bahawa tiada istilah lewat dalam usaha untuk membentuk anak menjadi seorang Professional Huffaz atau PROFAZZ. Memang benar, ada di kalangan ibubapa yang telah merancang kehidupan anak-anak mereka semenjak dari kecil. Mereka menghantar anak-anak belajar tahfidz seawal 5-6 tahun untuk berguru dengan ustaz-ustaz di pondok. Kebanyakan yang mengambil pendekatan begini berhasrat anak-anak mereka menjadi ulama’ dan memperdalami ilmu agama. Mereka bangga anak-anak bakal bergelar ustaz atau ustazah. Kebaikan yang boleh diperolehi dari pendekatan sebegini ialah anak-anak tadi akan terdidik dalam lingkungan orang-orang soleh dan akan banyak mengisi masa di masjid-masjid dan terlibat dalam aktiviti keagamaan.

4. Di satu ekstrim pula, ibubapa yang mengutamakan pembelajaran di sekolah biasa inginkan anak-anak berjaya daripada segi akademik. Perancangannya adalah agar anak-anak mereka memperolehi kejayaan gilang gemilang di dalam pelajaran dan memasuki universiti atau kolej yang diminati. Rata-rata mereka akan memilih bidang yang popular seperti kejuruteraan, senibina, undang-undang, kedoktoran dll yang menjanjikan kerjaya yang terjamin. Apa yang penting ibubapa ghairah untuk anak-anak bersaing dalam dunia kerjaya dan korporat serta mendapat imbuhan gaji yang lumayan. Antara kebaikannya ialah masyarakat dapat menyediakan generasi pelapis yang akan membantu membangunkan negara daripada sudut ekonomi dan pentadbiran.

5. Pada pandangan saya, yang paling ideal ialah kita cuba menghasilkan sekelompok anak-anak muda yang dapat mengimbangi kedua ekstrim ini, yakni cemerlang dari segi akademiknya dan di masa yang sama seorang huffaz. Saya telah pun mencubanya dengan kaedah tersendiri yang Alhamdulillah berjaya memberikan hasil yang baik. Enggan mengambil risiko menyesal di kemudian hari, saya benar-benar merancang setiap percaturan hidup anak-anak dari segala sudut; sekolah mana yang dipilih, siapa kawan-kawan mereka, siapa guru mereka, dengan siapa mereka keluar dan apa aktiviti harian mereka. Ibubapa yang inginkan anak-anak menjadi produk terbaik harus menerima hakikat bahawa sesungguhnya tiada jalan pintas, tiada istilah sekadar ‘Quality Time’ bersama anak-anak, tiada unsur desakan dan paksaan. Semuanya berlaku secara sepenuh masa, terancang dan terkawal.

6. Kaedah yang saya gunapakai ialah pertamanya saya memilih untuk menghantar anak-anak belajar di sekolah beraliran agama supaya mereka terbiasa dengan biah yang soleh. Ibubapa perlu tanamkan semangat dan bangunkan jati diri yang kukuh di sanubari anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh rakan dan persekitaran. Sekolah pula memainkan peranan memperkukuh keperibadian anak-anak tadi untuk terus mantap dalam pendirian, mempunyai aqidah yang tepat dan arah hidup yang jelas. Sepanjang persekolahan sehingga ke usia 15 tahun, di samping mempelajari subjek-subjek akademik, anak-anak saya juga belajar kemahiran hidup, belajar ‘soft & hard skills’, bermasyarakat dan terlibat dalam aktiviti kejiranan dan masjid. Jadi bila mereka mulai menghafaz al-Quran di usia 16 tahun, mereka telah pun matang dan dapat aplikasikan pemahaman isi-isi al-Quran ke dalam kehidupan seharian.

7. Oleh sebab itulah penting anak-anak menghafaz al-Quran berserta terjemahan di kala usia yang tidak terlalu kecil. Kalau pun mereka telah menghafal semasa kecil, mereka harus cuba memahami maksud kandungan ayat-ayat al-Quran tersebut di kemudian hari. Hafazan boleh berbentuk kaedah melalui ‘long-term memory’, melalui hati atau sekadar di bibir. Perbezaan teknik hafazan ini dapat menentukan sama ada ia akan bersifat sementara atau kekal, dan sama ada ia sebati dalam diri pembawanya atau hanya bersifat superficial. Sebolehnya kita tidak mahu huffaz yang hanya pada nama sahaja sedangkan peribadi, akhlaq dan kehidupan sehariannya seperti orang biasa. Kita mahukan seramai mungkin huffaz profesional yang memahami tuntutan dari anugerah istimewa sebagai pembawa al-Quran. Pernyataan bahawa berdosa bagi seorang al-hafiz untuk lupa ayat-ayat yang pernah dihafalnya, sesungguhnya menyakinkan lagi alasan mengapa al-Quran harus sentiasa ada dalam diri.

8. Saya yakin ramai ibubapa di luar sana berkongsi aspirasi inginkan anak-anak mereka menjadi Profesional Huffaz. Tetapi di masa yang sama, ramai ibu-ibu yang terpaksa bekerjaya kerana tuntutan hidup. Keperluan untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga adakalanya begitu meruncing sehingga tidak adil untuk membiarkan sang suami memikulnya seorang. Untuk ibu-ibu seperti ini, ‘La Tahzan’, janganlah bersedih kerana sekiranya telah terpasang niat untuk melihat anak-anak menjadi Huffaz, insyaAllah Allah S.W.T. akan lorongkan jalannya. Saya bersama rakan-rakan pengasas di Pusat Kecemerlangan Ummah (PACU) sentiasa berdiskusi mencari solusi bagaimana menyediakan alternatif kepada ibubapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mengikuti sesi hafazan al-Quran tanpa perlu si ibu berhenti bekerja dan tanpa menggadai pembelajaran anak-anak di sekolah biasa.

9. Initiatif pertama yang telah kami laksanakan ialah Program Raudhatul Huffaz (RH). Raudhatul Huffaz adalah program 3 jam seminggu dalam kumpulan kecil 5-7 orang dengan bimbingan seorang tenaga pengajar yang akan menyemak hafazan juzuk 30 dan juz-juz lain di dalam al-Quran. Anak-anak akan diajar dan disemak secara ‘one-to-one’ kaedah yang betul untuk mengambil wudu’ dan amali yang lain. Amat menggusarkan apabila kami dapati ada anak-anak yang tidak tau mengucap syahadah. Dalam program ini terdapat juga hafazan 50 hadith, pembelajaran tajwid, fardhu ain dan slot mengenali tokoh-tokoh Islam yang terkenal, juga pendedahan tentang isu-isu umat Islam sejagat. Objektifnya adalah untuk menyubur dan menyemarakkan budaya menghafaz al-Quran di kalangan generasi muda serta membentuk pemimpin akan datang yang mengalir al-Quran di dalam dirinya. Uniknya Raudhatul Huffaz ialah anak-anak akan menulis al-Quran mereka sendiri.

10. Inisiatif kedua yang berjaya dihasilkan ialah Projek Tuisyen Ummah (PRO-Tu). PRO-Tu adalah ‘Projek Tuisyen Sains dan Matematik’ untuk pelajar-pelajar sekolah menengah rendah yang dapat memberi nilai tambah pembelajaran melalui pembangunan jati diri Muslim sejati. Saya dan rakan-rakan jadikan ia istimewa dengan menyediakan tenaga pengajar yang terlatih, belajar dalam kumpulan kecil 5-7 orang, modul yang eksklusif, sesi pembelajaran santai dengan menggunakan ‘whiteboard’ kecil dan konsep mentor mentee. Apa yang menarik, dalam pembelajaran selama 3 jam 2 kali seminggu ini ada sesi rehat selama 10 minit yang akan terisi dengan penanaman fikrah yang jelas, pengenalan tokoh-tokoh Islam serta penciptaan ‘fun moments’ dengan tenaga pengajar. Apabila bonding tercipta antara anak-anak dengan tenaga pengajar, insyaAllah mudah untuk mentor menerapkan nilai-nilai mulia dan membentuk anak-anak tersebut menjadi insan gemilang. Anak-anak lelaki yang biasanya jemu ke sekolah dan malas membuat latih tubi akan mendapati pendekatan ini menarik dan berusaha untuk mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan.

Projek Tuisyen Ummah bukan sekadar tuisyen biasa. Anak-anak juga diajar mengaitkan Matematik dan Sains dari sudut Islam contohnya seperti dalam surah Al-Fathir ayat 27:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ

“Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.”

11. Pada musim cuti sekolah kami gabungkan kedua-dua Kelas Raudhatul Huffaz (RH) dan Projek Tuisyen Ummah (PRO-Tu) dalam satu program unik yang dinamakan ‘Kem i-Backyard Science Huffaz’ di mana anak-anak dibawa meneroka eksperimen luar yang mendedahkan mereka kepada pemahaman Islam daripada sudut Sains. Objektifnya adalah agar anak-anak tadabbur alam dan memahami Rububiah Allah melalui pemerhatian flora dan fauna, menerapkan rasa minat terhadap Sains melalui eksperimen-eksperimen mudah dan memupuk rasa bersyukur pada Allah dengan anugerah alam sekitar. Anak-anak juga berpeluang mengenali tokoh-tokoh saintis Islam yang telah digelapkan oleh sejarah Barat dan jangan terkejut jika anak-anak anda berjaya menyebut dan mengenali nama-nama tokoh Islam seperti Ibn Sina, al-Jazari, al-Khawarizmi dan Ibn-Haytam – pencipta asal kamera.

12. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Terserah kepada ibubapa untuk memilih kelas tuisyen, kelas hafazan dan program cuti sekolah yang terbaik untuk anak-anak. Kadangkala program dengan kos yang mahal tidak semestinya menjanjikan hasil yang baik. Yang murah pula tidak semestinya tidak berkualiti. Apa yang penting ialah ibubapa memilih program-program yang dapat membentuk fikrah, menaikkan jati diri dan merangsang minat belajar di kalangan anak-anak mereka. Pilihan terletak di tangan anda. Di akhir kata, ingin saya ulangi sekali lagi, orang yang paling ideal untuk melahirkan Profesional Huffaz ialah di kalangan ibu-ibu suri rumah atau ibu-ibu bekerjaya dari rumah yang mempunyai masa, perhatian dan fokus terhadap pendidikan anak-anak. TETAPI tidak terkecuali bagi ibu-ibu bekerjaya, ada alternatif yang boleh dicari untuk menggambil alih peranan tersebut agar masih belum terlewat bagi mereka menghasilkan Profesional Huffaz di kalangan anak-anak mereka. Bi Taufiq Wannajah… All the best, Allahu Akbar.

Ketahui lebih lanjut tentang program-program di atas di sini.

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 5)

BACA Lagi: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 7)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram