Nota Editor: Tips ini adalah bahagian kesembilan tentang bagaimana seorang ibu, Puan Siti Nadzrah Sheh Omar mampu membesarkan dan mendidik 5 orang anak lelaki beliau sehingga memiliki kerjaya profesional (seorang peguam, dua orang doktor, seorang pengurus dan seorang jurulatih motivasi), dan dalam masa yang sama berjaya menjadi penghafaz Al-Quran dan pengajar agama. Anda boleh membaca semula latar belakang 5 adik-beradik ini dan tips dalam bahagian pertama dan sambungan tips dalam bahagian dua, bahagian tiga, bahagian empat, bahagian lima, bahagian enam, bahagian tujuh dan bahagian lapan. Pihak Vocket mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Oasis Training & Consultancy atas kesudian mereka berkongsi penulisan ini di laman web kami. Ikuti lagi tips daripada mereka di laman web kami dari semasa ke semasa.

PERKONGSIAN IBU PROFAZZ | Siri 9: “Doa Seorang Sedikit”

profazz-09-03
FB Profazz

Assalamu’alaikum w.b.t.

1. Saya adalah salah seorang pengasas ‘Pusat Jagaan & Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah’. Dalam mengurus dan mentadbir pusat jagaan ini saya dapati banyak kes di mana terdapat pertelagahan di antara adik beradik. Anak-anak tidak mencapai kesepakatan dalam hal-hal yang membabitkan giliran penjagaan ibu mereka, urusan kewangan dan lainnya sehingga membuatkan suasana keluarga tidak harmoni. Kadang-kadang ibu yang uzur itu tidak cerewet, tidak menyusahkan, mudah untuk dijaga dan begitu membahagiakan, namun di kalangan anak-anak masih lagi merasakan ibu mereka sebagai beban yang berat untuk dipikul.

2. Dalam membangun sebuah keluarga ‘Profesional Huffaz’ atau PROFAZZ, saya mendidik anak-anak sejak dari kecil untuk prihatin dan ambil peduli tentang hal ehwal ibu bapa dan hal ehwal kesemua adik beradik yang lain. Keluarga adalah anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai kepada kita. Saya teringat dan bersetuju dengan kata-kata, “Family means no one gets left behind or forgotten”. Setiap peristiwa gembira, peristiwa sedih, khabar indah atau duka, kejayaan dan masalah semuanya harus dikecapi dan dikongsi bersama. Dengan kata lain kita rela untuk bersusah dan bersenang bersama.

profazz-09-02
FB Profazz

3. Saya pernah mengenengahkan teori tentang kesamarataan pakaian dalam kalangan anak-anak. Saya dapati bahawa kesan daripada usaha melayani anak-anak sama rata telah membibitkan perasaan kasih sayang dan caring di antara mereka. Si abang akan menjaga si adik walau di mana saja mereka berada. Si adik pula akan berkongsi banyak cerita dan kisah-kisah di sekolah dengan abang-abangnya. Saya perhatikan ini jarang berlaku pada anak-anak rakan saya dan mereka juga hairan mengapa ada jurang ketara di antara abang dan adik terlebih-lebih lagi jika sesama lelaki. Pernah di sekolah guru menceritakan kepada saya betapa anak sulung saya sanggup tidak makan dahulu kerana menunggu adik-adik untuk sama-sama makan berjemaah dalam talam semasa waktu rehat tengahari. Tersentuh hati saya mendengar komen daripada guru tersebut.

4. Apabila tiba Hari Raya selalunya kami akan memilih konsep, style dan tema warna yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Walaupun kami pergi membeli-belah bersama-sama, tetapi pemilihan pakaian adalah berpandukan senarai yang telah dipersetujui. Berlaku pada satu tahun, anak-anak dibekalkan beberapa ratus ringgit setiap seorang dan diberikan kelonggaran untuk memilih sendiri pakaian yang mereka sukai. Apabila tiba di pusat membeli-belah, kami hadkan jangkauan keluasan yang boleh mereka pergi untuk memilih baju kegemaran, yang mana akhirnya, apabila tiba masa pembayaran didapati baju-baju yang dipilih oleh mereka adalah lebih kurang sama. Apa yang jelas, ‘tarik tali’ di antara ibu dan anak tidak akan terlepas sepenuhnya malah sehingga ke hari ini anak-anak masih lagi di dalam pemerhatian dan bimbingan saya.

5. Di sini apa yang ingin saya jelaskan ialah bimbingan dan pengawalan oleh ibu bapa adalah suatu yang ‘wajib’ kerana semasa kecil anak-anak tidak tahu membezakan yang baik dan yang buruk. Sebab itulah Allah ciptakan ibu bapa untuk mengajar, memandu dan memimpin mereka ke jalan yang betul. Cuba bayangkan kalau anak-anak diberikan hak untuk membuat keputusan bagi diri mereka sendiri. Sudah tentu mereka akan hanya memilih apa yang menarik minat mereka sahaja tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang.

profazz-09-04
FB Profazz

6. Seperkara lagi yang sering saya lakukan ialah meraikan hari-hari istimewa seperti hari lahir dan sebagainya, mengingatkan anak-anak tentang tarikh-tarikh penting untuk acara keluarga seperti makan di luar, percutian bersama, pengambilan kad laporan sekolah, tarikh peperiksaan, tarikh keluar keputusan peperiksaan dan lain-lain lagi. Jadi masing-masing akan saling ingat mengingati di antara satu sama lain dan sentiasa mengemaskini perkembangan keluarga selain turut merancang bagaimana untuk menjayakannya bersama. Tujuan utama saya berbuat demikian ialah agar setiap anak memainkan peranan dalam memastikan keluarga bahagia dan saling mengambil berat, susah senang bersama. Tetapi yang jelas ia harus diterajui oleh si ibu itu sendiri terutamanya jika anak-anak kebanyakannya lelaki.

7. Ditakdirkan salah seorang anak saya menghadapi masalah, kesemua anak-anak lain akan melibatkan diri untuk mencari solusi dan membantu setakat kemampuan. Ini termasuklah bantuan dari sudut nasihat, tenaga dan kewangan. Kami juga menyediakan akaun bank yang dinamakan ‘Tabung Keluarga’ di mana dana terkumpul boleh digunakan oleh mereka yang memerlukan dan setiap ahli menyumbang mengikut kemampuan ke dalam tabung tersebut secara konsisten. Peratus sumbangan setiap orang mungkin berbeza mengikut tangga gaji masing-masing namun yang lebih penting mereka tidak berkira dan berlebih kurang.

8. Saya juga telah mengambil pendekatan menyemarakkan konsep berkongsi doa kepada semua anak-anak saya. Yang paling minima tetapi afdal mereka lakukan ialah tolong mendoakan untuk abang atau adik mereka yang mungkin sedang sakit, sedang menghadapi peperiksaan atau sedang dalam perjalanan. Keberkatan dalam doa secara berjamaah ini memang unik dan jarang dilakukan namun hasilnya insyaAllah kebersamaan dan ikatan yang kukuh di kalangan adik beradik. Ayat yang paling ‘common’ dan sering diucapkan untuk mengingatkan anak-anak saya ialah… “Tolong doakan sorang sikit ya”.

profazz-09-01
FB Profazz

9. Dari sini kita akan bermusyawarah, bersatu dan sepakat dalam isu-isu yang paling asas, jadi apabila timbul perkara yang lebih besar insyaAllah kesepakatan itu berterusan. Pernah satu ketika berlaku salah faham yang bakal menimbulkan pergeseran di kalangan sanak saudara, walaupun berita itu diumumkan hanya kepada si ibu tetapi ia tetap dirasai oleh semua anak-anak lantas masing-masing secara automatik berdoa seorang sedikit tanpa disuruh. Suatu yang kerap kali ditemukan di dalam keluarga PROFAZZ ialah anak-anak tidak banyak berahsia dengan ibu bapa, seakan kami mengetahui setiap apa yang berlaku kepada anak-anak dan perkembangan mereka dari sehari ke sehari walaupun mereka sudah berumahtangga dan beranak pinak.

10. Tidak terbatas kepada acara-acara santai dan bersifat sentimental, keprihatinan dalam kalangan adik beradik membawa kepada perancangan bersama kehidupan yang lebih besar seperti pemilihan kursus, kerjaya, latihan dan pemilihan tempat belajar dan tempat beramal. Kesemuanya melibatkan perbincangan seisi keluarga tidak terkecuali walaupun dia adalah si bongsu yang turut memberikan pandangan. Bahkan tercetusnya idea untuk membentuk PROFAZZ adalah hasil daripada kesepakatan adik beradik yang senada dan seirama dalam mencapai misi menyelamatkan umat yang semakin tenat di samping menjadi pakar rujuk dalam pembinaan jati diri dan sahsiah remaja.

11. Sebagai penutup, saya ingin memetik sepotong ayat daripada Surah Al-Hujurat dan sebuah hadith Rasulullah S.A.W sebagai peringatan tentang sejauh mana kepentingan dalam kesepakatan yang dituntut di antara sesama orang beriman.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(Al-Hujurat 49 : 10)

“Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya.” (Hadith Riwayat Bukhari)

BACA: Perkongsian Seorang Ibu Yang Melahirkan 5 Orang Anak Huffaz Dan Profesional (Bahagian 8)

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram