“Saya seorang lepasan SPM yang minat berbisnes. Perlukah saya menyambung belajar ke universiti?”

Zaman sekarang adalah zaman yang sangat berbeza. Ilmu berada di mana-mana. Celik mata sahaja kita boleh menimba ilmu melalui internet. Buka laptop, dengan ilmu yang betul, kita sudah boleh mula berniaga dengan modal minima. Zaman sekarang bukannya seperti zaman dahulu yang terbatas dengan ruang lingkup orang-orang di sekeliling kita sahaja. Zaman sekarang adalah zaman ilmu dan zaman membuat pilihan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Saya seorang lepasan SPM yang minat berbisnes. Perlukah saya menyambung belajar ke universiti?”

Soalan ini mula ditanya kerana dengan adanya ilmu berbisnes yang boleh didapati melalui pendidikan tidak formal. Soalan ini mula ditanya kerana ramai mendapati ilmu bisnes boleh didapati melalui pengalaman berbisnes, menghadiri kelas, membaca buku, dan berkawan-kawan dengan orang yang sudah berjaya dalam bisnes.

Ikuti ulasan kami di bawah.

KENAPA ANDA PATUT SAMBUNG BELAJAR?

1. Budaya Ilmu

Ilmu itu bukan sekadar membaca buku, membuat latihan dan pergi periksa. Budaya ilmu itu adalah menghalusi ilmu yang dipelajari dan menyematnya dalam hati. Budaya ilmu itu termasuk bertanya, menghadam, berdiskusi, menambah baik, dan sentiasa memberi nilai. Proses budaya ilmu ini adalah proses mematangkan diri dan mengajar proses berfikir secara professional dan rasional yang boleh diterapkan di dalam kehidupan selepas universiti. Budaya ilmu juga bermakna mencari dan menambah baik ilmu tanpa henti.

2. Bukan Sekadar Belajar

Aktiviti ko-kurikulum terbukti berkesan membina sahsiah seorang pelajar. Aktiviti ko-kurikulum seperti perancangan acara (event) contohnya, menuntut seseorang pelajar itu untuk membina karakter, mengasah bakat kepimpinan, menguruskan masa, mengurus organisasi, berjumpa dan bekerjasama dengan orang yang baru dikenali, membuat presentation, mempertajamkan softskill dan memastikan KPI tercapai. Kesemua ini boleh menjadi pengalaman dan persediaan awal untuk menjadi seorang usahawan.

3. Just Do It!

Dengan adanya internet, tiada yang menghalang anda dari mula berbisnes ketika belajar. Zaman muda ialah zaman terbaik untuk mula berbisnes kerana ketika ini risiko anda kecil. Tiada hutang kereta, tiada hutang rumah dan tiada anak – jadi anda boleh fokus belajar dan berniaga pada masa yang sama. Sekiranya anda tergolek dog sekalipun, anda boleh bingkas bangun dan mula semula. Cuma anda perlu ingat untuk cari ilmu bisnes dan memulakan bisnes dengan duit sendiri (bukan hutang) dengan amaun modal yang anda sanggup bakar sekiranya berlaku kerugian.

4. Membina Pasukan

Universiti adalah tempatnya anak-anak muda berbakat besar dan bersemangat waja berkumpul. Daripada beribu-ribu pelajar yang sedang belajar di kampus anda, akan ada yang mempunyai cita-cita berbisnes sama seperti anda. Temukan skill berbeza 4 atau 5 orang anak-anak muda yang bercita-cita tinggi ini dan mulakan bisnes pertama anda. Cari mentor yang sudah lama berbisnes dan berjaya dalam bisnes mereka untuk membimbing anda mencapai kejayaan.

5. Harga Berkawan-kawan

Berkawan-kawan adalah perkara biasa dan normal dalam kehidupan seharian kita di kampus. Tanpa disedari berkawan-kawan, atau network yang dibina ini bakal menjadi sangat berharga selepas 10 tahun graduasi. Ketika ini rakan anda yang dulunya anda usik dengan panggilan Botak mungkin sudah menjadi seorang CEO di sebuah syarikat multi nasional. Rakan-rakan lain pula mungkin menjadi menteri, pegawai tinggi di jabatan kerajaan, ataupun menjadi pemilik syarikat yang membekalkan barangan kepada syarikat anda!

6. Siapa Ada Channel, Dialah Raja Duit

Di dalam sebuah universiti yang besar, akan ada beberapa buah kantin dan kedai runcit. Katakan kita menjalankan bisnes pengedaran roti B2B (bisnes-to-bisnes), kantin-kantin dan kedai-kedai runcit ini adalah tempat yang kita boleh dekati untuk meletakkan roti-roti kita. Mereka inilah yang akan menjadi channel untuk perniagaan kita. Contoh lain, kita mungkin minat untuk mengedarkan nasi lemak kepada pelajar-pelajar untuk jualan tengah malam. Dengan jumlah pelajar yang ramai tidur lewat dan kelaparan, berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menghabiskan 10 bungkus nasi? Rakan-rakan kita ini bukan sahaja akan menjadi pelanggan kita sekarang, mereka juga mungkin jadi pelanggan kita pada masa akan datang.

7. Bidang Professional

Tidak semua bidang ilmu kita boleh belajar dari orang bisnes atau internet. Bidang professional seperti doktor dan peguam mengkehendaki pengamalnya untuk menamatkan pelajaran pada tempoh tertentu dengan aras ilmu yang tertentu. Bisnes firma guaman, klinik dan perundingan kaunseling professional adalah antara bidang bisnes yang memerlukan sijil professional yang diiktiraf.

Apa yang anda harus faham?

Untuk berjaya dalam bidang bisnes, kita selalu perlu berinovasi dan memberi nilai. Walaupun setelah tamat pengajian di universiti, kita harus mengamalkan budaya ilmu sepanjang hayat kita. Bisnes tidak mewajibkan seseorang itu mempunyai ijazah, tetapi bisnes itu mewajibkan seseorang itu mempunyai budaya ilmu.

DON’T STOP LEARNING!

Anda boleh belajar lebih lanjut tentang bisnes di SekolahBisnes.net

Like page The Vocket di Facebook