Sejak daripada kecil kita diajar setiap gurauan atau jenaka yang dilakukan itu mesti ada batasnya, dan jika ia keterlaluan maka adalah lebih baik untuk dihentikan sahaja daripada menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Tetapi entah apa yang difikirkan oleh akaun Instagram yang menggunakan nama bukan_bangjago yang dilihat membuat gurauan dengan tujuan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam hantaran-hantaran yang dibuat di akaun berkenaan, beliau (atau mereka) dilihat menyunting gambar-gambar YDPA sejak beberapa bulan yang lalu untuk dijadikan jenaka sekaligus telah mencetuskan kemarahan netizen Malaysia.

Perkara itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen tetapi turut mendapat perhatian Permaisuri Agong yang menyatakan kemurkaan baginda melalui satu hantaran yang dibuat di Instagram pada semalam.

Melalui hantaran yang dimuat naik pada semalam, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsikan gambar YDPA yang telah disunting dan meminta agar mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

“Gara-gara orang tiada kerja , buat cari dosa je kan!

“Kepada Allah berserah! SILA AMBIL TINDAKAN,” tulis baginda di Instagram airtangan_tunkuazizah.

Baginda dalam hantaran tersebut turut memaklumkan telah menunjukkan kepada YDPA mengenai gambar yang dibuat dengan tujuan menghina berkenaan dan berseloroh ‘anda kelihatan sangat comel dan seksi’.

Selepas beberapa jam isu berkenaan menjadi bualan netizen, pihak polis pada malam semalam seperti dilaporkan Utusan Malaysia difahamkan sedang menyiasat akaun Instagram berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memberitahu pihaknya menyiasat pemilik akaun Instagram @bukan_bangjago selepas menerima laporan polis terhadap pemilik akaun tersebut.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak polis tidak akan berkompromi dengan perkara berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mengancam ketenteraman serta keselamatan awam.

Baca juga perkembangan semasa yang pernah kami kongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah. 

‘Hacker’ Dari Malaysia Mengaku Serang 300 VPN Korporat Indonesia

7 Tahun Dalam Rundingan, Perjanjian HSR Kuala Lumpur – Singapura Telah Ditamatkan Secara Rasmi

Dakwa Guna Buruh Paksa, AS Larang Import Minyak Sawit Malaysia