Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Indonesia tampil menjawab dakwaan kontroversi bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata dalam satu ucapan bahawa Kepulauan Riau milik Indonesia sepatutnya menjadi wilayah Malaysia, lapor CNBC Indonesia.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, Teuku Faizasyah berkata, wilayah Republik Indonesia ditentukan berdasarkan prinsip dan peruntukan undang-undang antarabangsa yang diguna pakai.

HYPE
Mudah Dan Memuaskan, REV Ad Manager Buka Peluang Bantu Promosi Perniagaan Tempatan
Baca lagi →

“Indonesia tidak melihat asas undang-undang dan alasan atas kenyataan Tun Mahathir itu,” katanya.

“Di tengah-tengah situasi dunia yang menghadapi pelbagai cabaran, seorang ahli politik kanan tidak seharusnya membuat kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan persahabatan,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Kepulauan Riau adalah wilayah negara Republik Indonesia. “Dan sampai bila-bila akan menjadi wilayah Republik Indonesia,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir hari ini telah mengeluarkan kenyataan balas di mana beliau mendakwa bahawa ucapan beliau telah ditafsirkan dengan tidak tepat, beliau bukanlah meminta Malaysia menuntut semula tanah yang bukan miliknya, tetapi lebih kepada untuk meminta Malaysia lebih bersyukur dengan apa yang kita sudah ada.

“Saya cuba menunjukkan bahawa kita begitu bimbang kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah mengenai bahagian yang lebih besar di Malaysia apabila ia diambil daripada kita.

“Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar. Kesilapan Kerajaan Johor menafikan batu itu milik Johor. Sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang.

“Kita seharusnya bersyukur kerana mahkamah dunia menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada kita. Mereka jauh lebih berharga daripada Pulau Batu Puteh – hanya bongkahan batu. Kita patut bersyukur kerana Indonesia tidak mempertikaikan anugerah tersebut. Sungguh, kami tidak bersyukur dengan keuntungan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Twitter rasmi miliknya.

Sebelum ini The Vocket melaporkan dakwaan kontroversi Mahathir di satu acara Aku Melayu: Survival Bermula yang bertajuk Melayu dan Kelangsungan Bangsa.

“Kita seharusnya menuntut bukan sahaja Pedra Branca, atau Pulau Batu Puteh, dikembalikan kepada kita, sebaliknya kita juga harus menuntut supaya Singapura dan kepulauan Riau dikembalikan kepada Malaysia sebagai tanah Melayu,” katanya.

Menurutnya, tanah Melayu dahulunya sangat luas terbentang dari Isthmus of Kra di selatan Thailand hingga ke Kepulauan Riau dan Singapura. Tetapi kini ia terhad di Semenanjung Tanah Melayu.

Perlu diingat bahawa pada tahun 2002, ICJ memutuskan Sipadan dan Ligitan adalah milik Malaysia dan bukan milik Indonesia. Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Pedra Branca adalah milik Singapura, manakala kedaulatan ke atas Middle Rocks yang berdekatan diserahkan kepada Malaysia.

Pada 2017, Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada ICJ untuk menyemak keputusan ini. Tetapi pada Mei 2018, selepas Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi, Malaysia mengumumkan bahawa ia menghentikan proses itu.

Tun Mahathir mahu Malaysia tuntut balik Singapura dan Kepulauan Riau. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Tun Mahathir Mahu Malaysia Tuntut Balik Singapura Dan Kepulauan Riau

Isu Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Di Malaysia Jadi Buah Mulut Rakyat Indonesia

‘Anda Lebih Layak Menang’ – Netizen Indonesia Ucap Tahniah Kepada Beregu Malaysia