Baru-baru ini, gaun hasil rekaan pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini pernah terpalit kontroversi apabila gaun yang menampakkan bahu tersebut telah digayakan oleh pelakon berhijab, Natasha Hudson.

Gaun yang sama rupanya pernah dipakai oleh Pavitra, seorang personaliti masakan YouTube ketika sesi fotografi majalah online Pepatung tahun lalu. Namun apa yang menariknya, bahagian bahu yang terdedah tersebut telah ditutup atas permintaan Pavitra sendiri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Kisah tersebut dikongsikan di akaun Instagram rasmi Rizman Ruzaini. Berdasarkan perkongsian yang dibuat, gaya itu difahamkan telah dipersetujui oleh penata gaya yang ada di set penggambaran pada ketika itu dan permintaan Pavitra tersebut turut juga dipersetujui oleh semua pihak.

“Meninjau semula betapa elegannya Pavitra ketika memperagakan Rizman Ruzaini untuk sampul hadapan majalah Pepatung beberapa bulan yang lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini merupakan kali terakhir busana tersebut dipinjamkan buat sesi promosi sebelum ia dijual,

“Ingin berkongsi kisah menarik tentang Pavitra. Gaun ini dipinjam untuk sesi penggambaran untuk majalah Pepatung dan seorang penata gaya turut juga dibawa untuk memantau sesi fotografi itu,

“Malangnya, gaun tersebut terlalu terdedah untuk Pavitra (sebelah bahagian bahu terdedah dan hanya ditutupi dengan fabrik tulle yang see-through dan ditambah lipatan berlisu) dan hal ini membuatkan Pavitra kurang selesa,

“Dia kemudiannya meminta agar bahunya ditutup dengan sempurna. Menghormati permintaan Pavitra, penata gaya telah menggayakan gaun tersebut mengikut keselesaannya,” dedah Rizman Ruzaini.

Jelas pereka fesyen tersebut itu lagi, pihaknya turut bersetuju kerana gaun tersebut tidak diubah sepenuhnya dan gayaannya masih mengikut rekaan asal gaun itu.

Tambah pereka fesyen itu, meskipun Pavitra bukanlah selebriti gred A, pihaknya masih lagi gembira untuk bekerjasama dengannya dan berbangga apabila seseorang individu itu menggayakan rekaan mereka dengan penuh elegan dan punyai kelas tersendiri.

Terdahulu, pelakon Natasha Hudson telah menimbulkan kontroversi selepas menggayakan gaun yang menampakkan bahu tersebut di salah sebuah majlis pelancaran produk kecantikan.

Tindakan beliau telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat dan juga pereka fesyen itu yang merupakan pemilik asal gaun tersebut.

Kecewa dengan tindakan Rizman Ruzaini, Natasha tampil menyatakan pendiriannya dan beranggapan kenyataan pereka fesyen itu berbaur peribadi dan berat sebelah kerana beliau bukanlah selebriti gred A.

Pelakon tersebut turut juga meminta Rizman Ruzaini untuk tampil membuat permohonan maaf dan menghormati beliau sebagai pembeli.

Baca perkongsian penuh mengenai gaun kontroversial ini melalui pautan di bawah.

Rizman Ruzaini Jelaskan Baju Digayakan Natasha Hudson Bukan Direka Untuk Wanita Berhijab