Tatkala ramai yang mengenali beliau melalui rancangan di kaca TV dan video-video yang dimainkan di media sosial, mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya penceramah terkenal Ebit Lew adalah merupakan anak didik kepada penceramah motivasi terkenal Fadzilah Kamsah.

Perkara itu diceritakan sendiri oleh Ebit melalui satu hantaran yang dibuat di Facebook pada malam semalam yang menceritakan mengenai kisah awal perjalanannya bermula sebagai seorang penceramah dan perniagaan yang dimilikinya sehingga hari ini.

“Saya mula kerja dengan Dato Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Hanim. Sebagai trainer atau motivator. Program korporat team building selama 4 tahun.

“Selepas itu saya mula buat sendiri. Syukur syarikat minyak dan kapal buat team building dengan saya.

“Syarikat kerajaan ada buat program untuk seluruh kementerian,” kongsinya yang kini turut mempunyai beberapa program yang dikendalikan sendiri syarikatnya seperti Keluarga Sunnah dan Prokids.

Hantaran itu dibuat beberapa hari selepas namanya menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia- terutamanya selepas dipanggil ke Bukit Aman oleh pihak polis selepas difahamkan terdapat aduan yang dibuat terhadapnya dan aktiviti sedekah yang dilakukan ketika PKP ini.

Sebelum ini, ada sesetengah ahli masyarakat terutama mereka yang berada di media sosial sentiasa membuat spekulasi mengenai sumber pendapatan pendakwah tersebut yang aktif bersedekah di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, malah ada juga pendapat yang mengatakan penceramah itu cuba menunjuk-nunjuk dengan mempamerkan setiap aktiviti sedekah dan menggunakan kereta mewah dalam kehidupan seharian.

Miliki perniagaan sendiri

“Ramai tanya saya soalan bukan-bukan. Saya bekerja dan berniaga dah lebih 10 tahun,” jelas Ebit dalam hantaran yang dibuat di Facebook pada semalam.

Bercerita mengenai perniagaannya, Ebit berkata dia sehingga kini sudah memiliki tiga restoran yang dikenali dengan Paramount Coffee House dan berada dalam perancangan untuk dibuka di seluruh negara.

“Sebenarnya dah plan nak buka seluruh Malaysia. Dan nak buka di luar negara. Belum sempat jer,” tambahnya.

Selain perniagaan kedai makan, Ebit juga menjelaskan beliau turut menjalankan perniagaan butik pakaian serta menulis buku selain mendapat bayaran tambahan daripada Youtube dan Facebook.

“Saya tulis sembilan buku. Semua buku laris. Buku yang dah lapan tahun tulis masih laris sampai sekarang.

“Tambahan lain Youtube dan Facebook. Rupanya mereka bayar banyak juga kerana mereka tumpang iklan dekat sana,”kongsinya.

Bukan sahaja aktif di platform atas talian, Ebit juga menjelaskan dia turut memiliki dua program tv sejak dua tahun lalu yang dikenali sebagai Door To Door Ebit Lew di Astro Oasis dan A Bit With Ebit di Al-Hijrah.

Selain aktif bekerja dengan orang lain, Ebit turut menjelaskan dia mempunyai staf tetap sendiri seramai 55 orang dan hampir 40 orang sukarelawan yang berkhidmat dengannya yang turut diberi bayaran.

Jadi kepada anda yang sebelum ini tertanya-tanya bagaimana ustaz Ebit Lew boleh menjadi penceramah dan dermawan terkenal seperti yang dialami sekarang, mungkin hantaran yang dibuat beliau dapat menjawab persoalan yang timbul selepas ini.

Semoga Ustaz Ebit Lew dapat terus menjalankan kerja-kerja amal yang dilakukannya seperti sebelum ini apabila tamatnya PKP nanti. Malah netizen juga sebelum ini sudah memberikan sokongan padu buat ustaz selepas dikatakan ada aduan dibuat terhadapnya.

Klik pautan di bawah untuk membaca perkongsian kami sebelum ini mengenai isu tersebut.

Walau Dinasihat Tidak Teruskan Bantuan, Ebit Lew Tetap Terima Sokongan ‘Padu’ Netizen

Seorang Ustaz Bercerita Kisah Sebenar Keluhan Seorang Anak. Anda Akan Bertanya Adakah Aku Ibu Bapa Yang Baik