Beliau berasal dari keluarga miskin di Pantai Remis, Perak. Kisah tentang kemiskinan dan penderitaan bukan satu cerita baru dalam hidupnya.

Berusia 45 tahun, Dr. Amiruddin Muhamed boleh memilih untuk duduk di kerusi empuk di Putrajaya atau memilih untuk menceburi bidang korporat yang menjanjikan pendapatan lumayan sesuai dengan latarbelakang akademiknya.

Namun segalanya berubah apabila pemilik Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Durham, United Kingdom itu dipanggil menghadap Sultan Nazrin Shah yang mahukan beliau ‘memberi balik’ atau menabur bakti di negeri kelahirannya, Perak.

Dr-Amiruddin-Muhamed-1

Dr-Amiruddin-Muhamed-2

“Saya ketika itu bertugas sebagai PTD di Kementerian Kewangan dan apabila diminta untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), saya berterus terang pada panel pemilihan yang saya mungkin tak layak kerana bukan dari latar belakang pengajian agama. Pada masa yang sama juga, saya bukan orang politik.

“Malah saya tanpa segan silu mengaku pada mereka termasuk pada Tuanku sendiri yang saya hanya hafal beberapa surah lazim,” katanya ketika aku menemuinya di pejabat beliau petang tadi.

Kenapa aku nak bercerita atau ‘mencungkil’ kisah lelaki ini?

Sepanjang mengikuti program bersama Zakat Perak, aku dapati beliau seperti ‘lipas kudung’ dan tak reti duduk diam. Walau berjawatan CEO, beliau tidak kekok untuk ‘turun padang’ dengan para pegawainya mencari orang-orang miskin terutama asnaf untuk dibantu.

Dr-Amiruddin-Muhamed-4

Dr-Amiruddin-Muhamed-5

Malah beliau sendiri yang memandu kereta jabatan masuk ke kampung-kampung di pedalaman termasuk perkampungan orang Asli untuk mengagihkan sumbangan dan bantuan zakat.

“Masa mula-mula masuk ke pejabat zakat ni saya dapati ramai pegawai saya berada di ‘zon selesa’. Habis waktu kerja pukul 5 petang lepas tu pulang dan ini bagi saya perlu diubah. Saya bagitahu mereka, kerja membantu orang miskin satu ibadah yang besar.”

“Sejak itu, adakalanya di tengah-tengah malam pun saya call pegawai saya terutama bila melibatkan kes-kes kecemasan seperti rumah terbakar dan sebagainya. Motto saya mudah, kamu kena cari dan bantu orang susah di Perak ini dan jangan sampai saya sendiri yang jumpa dulu!,” tegasnya.

Untuk itu Dr. Amiruddin menubuhkan Skuad Prihatin Asnaf yang bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja hampir setiap minggu mencari dan mendekati golongan asnaf dan fakir miskin, termasuk ibu-ibu tunggal yang amat memerlukan bantuan bagi menyara hidup keluarga mereka.

Beliau mengarahkan semua pegawainya agar tidak duduk di pejabat sebaliknya keluar ke segenap ceruk bandar, kampung dan desa untuk mencari golongan fakir dan asnaf ini.

Tambahnya kesan daripada itu, jumlah pemohon bantuan di Perak naik berkali-kali ganda!

“Tetapi saya tak bimbang… Bila kita tolong orang yang susah, Allah akan bantu kita dan ternyata ia betul. Kutipan kami terus meningkat termasuk dari pihak korporat, malah yang bukan Islam juga tampil bersama kami,” katanya.

Dr-Amiruddin-Muhamed-6

Dr-Amiruddin-Muhamed-7

Mengenai kritikan masyarakat terhadap institusi zakat, Dr. Amiruddin berkata, beliau tidak pernah menganggapnya satu bebanan malah membuatkannya terus bersemangat untuk bekerja seterusnya menjawab segala kritikan termasuk fitnah yang dilemparkan kepada pihaknya.

“Kita di pejabat juga sentiasa bersedia dengan wang tunai dan beras. Mereka yang susah boleh terus datang ke sini. Dalam erti kata lain, tiada orang Islam kat negeri Perak ni yang akan pergi ke gereja untuk mendapatkan bantuan. Tak perlu!,” katanya.

Bagi aku Dr. Amiruddin ibarat ‘wira yang tidak didendang’ khususnya bagi golongan miskin dan asnaf di negeri Perak ini. Nama dia mungkin kita tak pernah dengar. Wajahnya mungkin tak pernah kita tatap namun jasanya hanya Allah saja yang mampu membalasnya.

Salute!