Setelah beberapa bulan kita melihat gambar spyshot dan membaca teori teknikal dan khabar angin mengenai SUV terbaru Perodua, akhirnya Perodua D55L atau nama rasminya Perodua Ativa telah dilancarkan.

Perasmian Perodua Ativa telah dibuat oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin secara premiere digital di peroduadigitalpremiere.com dan juga Facebook Page rasmi Perodua pada pukul 8 malam semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Harga kompetetif dengan tawaran 3 varian

vocket-perodua-ativa-dilancarkan-7
Sumber Gambar: Paultan
vocket-perodua-ativa-dilancarkan-8
Sumber Gambar: Paultan

Perodua Ativa merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build yang ditawarkan dengan harga rasmi antara RM61,500 hingga RM72,000. Ia mengejutkan orang ramai kerana harga tersebut lebih rendah daripada yang telah diumumkan sebelum ini.

Terdapat tiga pilihan varian mengikut kesesuaian untuk diri anda. Model asas (X) dijual pada harga bermula RM61,500, manakala model pertengahan (H) bermula RM66,100 dan varian tertinggi sekali (AV) berharga RM72,200.*

*Harga ini sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti.

vocket-perodua-ativa-dilancarkan-6
Sumber Gambar: Facebook Page Perodua

“Harga Perodua Ativa yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95%, kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua. Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Lengkap teknologi dan sistem keselamatan terkini

vocket-perodua-ativa-dilancarkan-5
Sumber Gambar: Facebook Page Perodua

Kereta SUV baru ini merupakan kenderaan pengecas turbo pertama Perodua dan model pertama yang menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT). Ia juga menjadi model pertama Perodua yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard berkenaan.

Kesemua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan penggunaan bahan api sehingga 18.9 km/l, menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima buatan Perodua.

vocket-perodua-ativa-dilancarkan-4
Sumber Gambar: Facebook Page Perodua

Ketiga-tiga varian ini dilengkapi dengan teknologi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0. Jarang sekali sesebuah pengeluar kenderaan memberikan sistem terbaru pada semua varian-varian model kenderaan mereka. ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi sehingga 120km/j untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki.

Di samping itu, Perodua Ativa kini boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam. Ketiga-tiga varian ini juga dilengkapi enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention.

Untuk varian H dan AV, kedua-dua varian ini mempunyai Adaptive Driving Beam, paparan multi-info TFT tujuh-inci dan sistem infotainment skrin sesentuh sembilan-inci dengan pengecaman suara. Varian AV secara eksklusif mempunyai  Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Sasaran penghantaran bulanan

Sehingga kini Perodua telah menerima kira-kira 5,000 tempahan sejak tempahan dibuka pada 19hb Februari lalu. Perodua menyatakan penghantaran akan bermula hari ini (4hb Mac) dan menyasarkan untuk menghantar purata sebanyak 3,000 unit sebulan.

“Kami menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara – di mana garis panduan COVID-19 dipatuhi ketat demi kesihatan dan keselamatan semua – untuk melihat, merasai dan memandu uji Perodua Ativa sebelum pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti,” tambah beliau lagi.

Jika anda terlepas pelancaran Proton Ativa, anda boleh tonton video yang kami kongsikan di atas. Sekiranya anda mahu melihat Perodua Ativa versi yang ‘lebih garang’ dengan bodykit lengkap ‘Gear Up’, anda boleh lihat di sini.

Akhirnya kita dapat juga lihat model pengganti Perodua Kembara dan Perodua Nautica setelah sekian lamanya. Adakah Perodua Ativa ini bakal mendapat sambutan orang ramai sama seperti Perodua Myvi dan juga Proton X50?

Pada awal bulan Februari lalu, Perodua yakin dapat capai sasaran jualan sebanyak 240,000 unit kenderaan pada tahun ini.

Perodua Yakin Capai Sasaran Jualan 240,000 Unit Kereta Pada 2021

Tempahan Model Perodua D55L Kini Dibuka, Harga Ditawarkan Bermula Daripada RM62,500