Semasa acara memandu Perodua Myvi 2022 bersama pihak media di Johor Bahru baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin berkata syarikat itu kini sedang mengkaji idea mengeksport kereta Perodua terpakai.

Ini membolehkan setiap pelanggan Perodua dapat menukar kereta lama mereka dengan model terbaharu dengan lebih mudah. Buat masa ini, syarikat tempatan ini mempunyai program yang dikenali sebagai Perodua’s Pre-Owned Vehicles (POV) yang dilancarkan pada 2017 lalu.

Melalui program tersebut, Perodua hanya menjual kereta-kereta yang telah melalui pemeriksaan dan proses baik pulih. Pembeli dijamin dengan mileage sebenar dan waranti lanjutan sehingga 18 bulan apabila membeli kereta terpakai daripada POV.

Sumber Gambar: Laman Web Perodua

Memetik perkongsian Paultan.org, Datuk Zainal Abidin menyatakan POV menawarkan harga yang berpatutan dan mereka yang ingin membeli kereta Perodua baharu sangat dialu-alukan untuk menukar kenderaan semasa mereka.

Oleh kerana POV hanya boleh menerima jumlah terhad kereta terpakai dan syarikat perlu menguruskan pelupusan tukar beli dalam skala yang besar, maka timbullah idea untuk mengeksport kereta terpakai itu.

“Saya akan umumkan pada Januari atau bulan berikutnya. Berdasarkan rancangan jangka panjang untuk kereta-kereta terpakai di Malaysia, salah satu strategi kami ialah melihat pilihan sama ada kami boleh mengeksport kereta terpakai ini ke negara lain yang memerlukan kereta,” terang Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua itu.

Tambah Datuk Zainal Abidin lagi, Perodua mempunyai satu pasukan sedang mengkaji salah satu negara yang tidak dapat umumkan buat masa sekarang.

Pasukan tersebut sedang membuat kajian dan pihak Perodua telah menghantar beberapa buah kereta ke negara tersebut untuk membuat tinjauan pasaran, penerimaan harga dan faktor-faktor yang lain sebelum mereka dapat membuat keputusan terakhir.

Dalam masa 9 hari sahaja, Perodua berjaya mendapatkan tempahan lebih daripada 4,000 unit sejurus pengumuman model Myvi 2022 dibuat. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Perodua Lancar Myvi Baharu, Terima 4,303 Tempahan Dalam Masa 9 Hari

Perodua Ativa Dilancarkan Secara Rasmi, Harga Bermula RM61,500

 

Sumber