Tiada kata-kata yang boleh diungkapkan untuk bercerita tentang betapa ‘enaknya’ Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 Tahun Dewa 19 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil semalam.

Ternyata setiap penonton yang hadir pulang dengan senyuman dan memori yang tidak dapat dilupakan. Mana tidaknya, penonton disajikan dengan persembahan 35 lagu oleh Dewa 19 dan setiap satu lagu dinyanyikan dengan penuh energy!

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Bersembang dengan sebahagian penonton yang hadir, ada yang sanggup terbang dari Sabah semata-mata untuk menonton konsert ini dan pulang pada hari berikutnya. Mereka sanggup hadir dari jauh untuk melihat sendiri artis pujaan bersama lima vokalis hebat Ahmad Dhani, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Marcello Tahitoe (Ello).

35 lagu dibahagikan kepada kelima-lima penyanyi dan setiap mereka menerima ‘sesi’ mereka yang tersendiri. Gandingan Ello dan Virzha sebagai pembuka majlis tersangat mantap dan mendengar suara mereka berdua secara live, barulah anda akan faham mengapa Dewa 19 memilih Ello dan Virzha untuk mengisi kekosongan vokalis Dewa 19 yang sebelum ini diterajui Once Mekel.

Virzha pula mempunyai kelebihan vokal yang tersendiri dan sedap apabila membawa lagu-lagu yang dinanyikan Once Mekel. Ahmad Dhani sendiri pernah berkata Ello mirip Ari Lasso dan Virzha mirip Once ketika menyanyikan lagu-lagu Dewa 19.

Paling menarik pada penulis adalah ketika sesi Ello ini adalah apabila mereka membuat kejutan untuk membuat cover lagu yang pernah dipopularkan George Michael, Careless Whisper. Menurut Ello, ini merupakan lagu kesukaan setiap ahli Dewa 19 dan khas untuk konsert ulang tahun ini, mereka buat keputusan untuk menyanyikannya.

Once menerima sorakan paling gemuruh ketika tiba giliran beliau. Majoriti lagu-lagu ‘top hits’ dinyanyikan oleh Once antaranya Arjuna, Pupus dan Roman Picisan. “Tanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih Malaysia,” katanya ringkas usai menyanyikan salah satu lagu popularnya bersama Dewa19, Roman Picisan.

Ari Lasso muncul selepas Once dan moment ketika lagu Elang dinyanyikan tersangatlah syahdu. Antara lagu hits lain dinyanyikan sepanjang konsert ini pastinya Larut, Sedang Ingin Bercinta dan Roman Picisan, Satu dan Separuh Nafas.

Umur para peminat yang hadir juga pelbagai dan bagi yang masih muda, mereka mungkin tidak mendengar katalog lagu hebat Dewa 19 yang lain seperti Juliette, Cukup Siti Nurbaya, Restoe Bumi, Sayap Sayap Patah dan beberapa lagi. Tetapi di konsert ini mereka mendapat pendedahan dan akan tahu lebih banyak lagu sedap daripada Dewa 19 yang boleh dilayan.

Apa yang hanya penonton yang hadir sahaja dapat lihat adalah visual yang dipersembahkan bagi setiap lagu. Kesemua 35 lagu mempunyai visualnya yang tersendiri dan paling penulis ingati adalah ketika lagu Pupus. Visual yang ditayangkan adalah gambar pergelangan tangan; simbolik ‘bertepuk sebelah tangan’ yang merupakan bait lirik lagu Pupus.

Bantuan visual dan lampu sepanjang konsert menambah elemen ‘mahal’ kepada konsert Dewa 19 ini. Anda ibarat melihat konsert artis dari Amerika Syarikat atau Eropah dengan segala persediaan dan bantuan visual ini.

Sound system pula? Tersangat mantap dan jelas setiap bunyi yang keluar. Petikan gitar dan solo Andra Ramadan jelas, slapping bass Yuke Sampurna keluar bulat dan paluan padu dram oleh Agung Yudha diadun dengan baik sekali. Kemunculan Tyo Nugros di posisi dram untuk beberapa lagu turut mengubat kerinduan peminat terhadapnya.

Penulis merasakan ini merupakan salah satu konsert terbaik yang pernah berlangsung di Malaysia. Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk tiket tersangat-sangat berbaloi. Tahniah buat pihak penganjur, Icon Entertainment kerana menjayakan konsert ini dengan penuh gemilang.

Perjalanan jauh peminat terbayar dengan senyuman dan ada yang ‘tidak puas’ dan mahu repeat menonton persembahan Dewa 19 yang akan berlangsung pada hari ini. Itulah dia penangan Dewa 19. Dewa 19 turut akan menjanjikan persembahan dengan kadar energy yang sama pada hari ini. Enjoy!

P/S: Sekiranya anda mahu ke Axiata Arena, anda dinasihatkan untuk menaiki LRT kerana perlawanan final Piala FA antara Terengganu FC & Johor Darul Ta’zim turut akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Jadi rancang perjalanan anda!