Amerika Syarikat telah mengerahkan dua kapal perang ke Laut China Selatan, lapor Angkatan Laut AS semalam. Kapal perang itu dikatakan berada dekat dengan kawasan yang menjadi pertikaian di antara China dan Malaysia.

Minggu lalu, Haiyang Dizhi 8, kapal milik China dilihat melakukan tinjauan berdekatan dengan kapal eksplorasi yang dikendalikan oleh syarikat minyak Malaysia, Petronas. Situasi sama juga terjadi beberapa bulan yang lalu di Vietnam.

Kehadiran dua kapal perang AS ini adalah bagi mendesak kerajaan China untuk menghentikan tingkah laku ‘buli’ di perairan yang dipertikaikan. AS turut menyatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada keprihatinan mereka dengan tindakan provokatif yang dilakukan Beijing terhadap sumber minyak dan gas di sana.

Jabatan Negara AS turut memaklumkan bahawa China telah mengambil kesempatan di tengah-tengah situasi pademik COVID-19 untuk menekan negara luar.

Kapal perang jenis USS America dan USS Bunker Hill telah dikerahkan untuk beroperasi di Laut China Selatan, kata jurucakap Komando Indo-Pasifik AS, Nicole Schwegman semalam.

“Melalui operasi berterusan kami di Laut China Selatan, kami berusaha … untuk mempromosikan kebebasan pelayaran dan penerbangan serta prinsip-prinsip antarabangsa yang menyokong keselamatan dan kemakmuran bagi Indo-Pasifik,” kata Schwegman kepada Reuters .

“AS menyokong usaha sekutu dan rakan kami untuk menentukan kepentingan ekonomi mereka sendiri.”

Laksamana Muda Fred Kacher, komandan USS America Expeditionary Strike Group, memberitahu Reuters bahawa pasukannya sudah berhubung dengan tentera laut China di Laut China Selatan minggu ini.

“Interaksi kami masih selamat dan profesional dengan pihak mereka,” kata Kacher dalam wawancara telefon dari USS America.

Schwegman tidak menyatakan lokasi sebenar kapal perang itu berada namun beberapa sumber keselamatan menyatakan bahawa mereka berada dekat dengan Haiyang Dizhi 8 dan kapal latihan Capella Barat yang dikendalikan oleh Petronas.

Kawasan ini menjadi rebutan di antara Malaysia, Vietnam dan juga China.

Dalam masa yang sama, China dilaporkan telah menafikan tindakan mereka membuli Malaysia atau Vietnam, dengan menyatakan bahawa Haiyang Dizhi 8 hanya melakukan aktiviti biasa.

“Konfrontasi di laut yang anda sebutkan tidak terjadi,” kata Kementerian Luar Negeri ketika ditanya oleh Reuters pada Isnin lalu.

Situasi ini terjadi ketika China sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan diplomasi dengan negara-negara luar sejak penularan wabak COVID-19. Beijing telah menyumbang pelbagai peralatan perubatan dan bantuan ke negara-negara Asia Tenggara.

Terdahulu, China telah menghantar sepasukan pakar perubatan ke Malaysia bagi membantu Putrajaya menangani wabak COVID-19 yang telah menyerang lebih 5,000 orang di sini.

Untuk bacaan lanjut mengenai pertikaian Laut China Selatan di antara Malaysia dan China, klik pautan di bawah.

Bagaimana Negara China Menceroboh Malaysia Secara Diam

Respon Malaysia Terhadap Pencerobohan China Di Laut China Selatan

Pencerobohan China Dan Provokasi US Di Laut China Selatan

Sumber