Tengah isi form darah, aku lihat pesakit yang baru masuk tadi tiba-tiba landing atas katil macam orang nak landing atas katil hotel.

Dalam hati, “Dia ni masuk sebab apa? Nampak comfortable je siap landing dengan dua tangan diampu di bawah kepala.”

Tak berapa lama, aku pun pergi ke arah pesakit tadi.

“Encik masuk sebab apa?”

Dia terkebil-kebil tengok aku. Pantas seorang wanita tua di sebelahnya bersuara.

“Maaf doktor. Anak saya ni OKU. Jadi dia tak faham.”

“Oh yeke.”

Aku perhatikan semula anaknya. Barulah aku nampak anak itu sedikit berbeza.

“Hmm okay. Anak datang sebab apa?”

“Makcik nampak dia asyik tercungap-cungap… Kaki pun dah naik bengkak ni,” sambil tunjuk pada kakinya.

Dia adalah seorang pesakit umur 40-an yang ada kelemahan/kegagalan fungsi jantung (congestive cardiac failure).

Minumannya diterhadkan kepada 500ml sehari. Jika lebih, air akan mula memenuhi ruang paru-paru dan luar-luar sel di kaki ke atas hingga akan menyukarkan pernafasannya.

“Minum kawal tak?” Aku cuba tanya. Sebab kebiasaannya pesakit yang diminta terhadkan minuman datang dengan susah nafas adalah disebabkan mereka minum lebih dari yang disyaratkan.

Ibunya senyum. Geleng.

Susahla anak saya ni doktor… Dia tak faham. Saya terangkan pasal tak boleh minum pun, dia bukan faham dan minum juga. Petang-petang dia pergi bazar minta air ais kat orang, orang-orang kedai biasanya akan bagi je… Orang-orang setaman saya jugak, semua dah kenal anak saya ni.”

Aku lihat wajah ibu itu antara kecewa dan putus asa.

“Dah tiga kali masuk wad tahun ni. Bulan lepas sampai masuk ICU, tak sedarkan diri.”

Aku terkedu dah sekejap. Quite bad la, siap pernah intubate lagi. Pasti ini sukar untuk ibunya.

Lagi sukar bila si anak tak mampu memberitahu apa yang dia rasa. Jadi si ibu yang harus lebih peka terhadap perubahannya dan bertindak bila diperlukan.

Sepanjang treatment di zon itu, ibunya kerap dipanggil masuk untuk lihat keadaan anaknya. Memandangkan si anak tak mampu memberitahu apa-apa, kami gunakan sense si ibu utk melihat anaknya adakah tampak lebih baik atau sebaliknya. Kadang-kadang si ibu mampu juga berkomunikasi bahasa isyarat dengan anaknya.

Case apa?” tanya member.

Fluid overload,” jawab aku. Pendek.

“Tak compliance to ROF?”

“Ha ah. Tak compliance. Dia OKU. Tak faham pun pasal compliance. So akan minum je semua.”

Sepanjang Jaga Pesakit Ini Macam-Macam Perkara Ada Di Kepala

Biasanya bila pesakit masuk susah nafas disebabkan tak compliance dengan ROF (tak mematuhi had minuman yang ditetapkan hingga air memenuhi paru-paru), aku akan tanya kenapa tak compliance dan tak ikut had minuman?

Jawapan yang aku biasa dapat: Sebab tak tahan nak minum air. Sebab semua orang minum banyak. Sebab dahaga. Sebab degil. Ada juga yang hanya tersenyum simpul bila aku tanya.

Mereka ini aku hanya mampu nasihat sahaja, untuk patuhilah had air yang ditetapkan. Masing-masing dah besar dan mampu fikir baik buruk sesuatu perkara. Overload ini bukan benda main-main, boleh bawa mati.

Tapi pesakit OKU kali ini, aku tahu aku tak boleh salahkan dia. Apatah lagi mak dia yang dah tua. He don’t even understand what we talk to him, macam manalah dia nak faham apa itu restriction of fluid (had minum air) untuk dirinya.

Baru kena intubate pun bukannya dia ingat dan boleh belajar dari kesilapan, kata orang tua-tua.

Should I blame him?
No.

Memang tak. Sebab dia bukan orang yang faham. Maka bila dia melakukan kesalahan, its out of his mind capacity. Di luar dari kemampuan mindanya untuk berfikir baik dan buruk sesuatu perkara.

Kalau dalam psychiatry, ada law yang membahaskan tentang ini. Di mana ada certain benda, manusia yang kekurangan dari segi mentalnya tak mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk membuat sesuatu keputusan.

Macam pesakit aku ini, dia tak mampu untuk membuat keputusan untuk dirinya. Thus he decided the wrong thing for himself. Because it is out of his mind capacity. Dia tak mampu pun nak menilai baik dan buruk sesutu perkara.

Tapi kita? Yang sihat dan waras. Ada akal, ada fikiran. Ada wahyu Tuhan. Tapi seringkali dalam hidup, kita masih gagal untuk memilih sesuatu untuk kemaslahatan agama. Kita masih memilih dunia, nafsu dan perasaan semata tanpa kita menyedarinya.

Walaupun diberi akal, diberi Allah al quran sebagai panduan, kita masih membuat keputusan yang salah dan mendatangkan kemurkaan. Segala jenis keputusan dalam hidup, Kita gagal.

Lihat Abu Bakar yang telah membelanjakan keseluruhan hartanya untuk Islam, tanpa sedikit pun ragu-ragu, apa yang akan tinggal buat anak dan isterinya?

Bila ditanya, beliau lantas menjawab: “Aku tinggalkan buat mereka Allah dan rasulnya.”

Lihat Mus’ab yang telah meninggalkan segala kekayaan, dipulau keluarga dan dibiarkan kepapaan, hanya kerana dia memilih Allah dan rasulnya. Hingga semasa kematiannya, kain kafan (satu-satunya harta yang dia ada) tidak cukup pun untuk menutupi keseluruhan tubuhnya.

Dilihat rugi? Tidak, kerana dia telah menempah firdausi.

Lihat Shuhaib yang telah mengorbankan seluruh harta dan kekayaannya semasa berhijrah, hingga Rasulullah berkata beruntunglah daganganmu Shuhaib. Hingga turunlah ayat yg mengangkat pengorbanannya di langit,

‘Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya’. (2:207)

Hanya beberapa cebis dari kisah-kisah manusia yang dipimpin wahyu dalam keputusannya. Mereka juga seperti kita. Ada akal, ada al quran, maka inilah yang memimpin mereka untuk membuat sesuatu keputusan, mengalahkan nafsu dan perasaan keduniaan.

Mereka memilih Allah dan rasulNya. Lantas meninggalkan segala-galanya tentang dunia. Di dunia mungkin mereka tampak rugi. Pada mata manusia mereka kelihatan tak berfikir panjang untuk kemaslahatan duniawi.

Namun di sisi Allah merekalah yg tinggi. Inilah nilai iman, dan jiwa yang dipimpin wahyu dan al quran. Akal dan wahyu diturunkan untuk kita melawan fitrah nafsu dan perasaan, kerana kita hidup berTuhan.

Wahyulah yang akan datang untuk meyakinkan kita bahawa pada saat yang kita dilihat rugi sekalipun di mata dunia, kita tak pernah rugi di akhirat jika itu adalah satu keputusan untuk agama, Allah dan rasulNya.

If we choose the wrong thing for ourselves pada saat kita mampu berfikir dan diberikan al quran untuk menilai, siapa lagi yang patut kita salahkan jika bukan diri kita?

Tepuk dada tanyalah diri. Apakah keputusan-keputusan yang kita telah ambil dan yang bakal diambil dalam hidup adalah keputusan kita sahaja atau keputusan yang kita pilih setelah mengambil kira Allah, rasulNya dan agama?

Alalahuhadi.
Kami sesungguhnya fakir,
Maka bimbinglah kami ya Allah.
030717