Memang jadi impian bagi mereka yang tidak boleh berjalan memiliki alat yang boleh mempertingkatkan kualiti hidup. Alat itu mungkin boleh bantu pergerakan yang terhad atau mengaktifkan otot dan saraf anggota badan yang lemah.

Harga alat sebegitu bukanlah murah. Harganya boleh mencecah ratusan hingga jutaan ringgit. Bagi orang sakit, itu bukanlah penghalang kerana nikmat sihat itu lebih besar ertinya. Malah, pergantungan paling tinggi hanya pada Allah menjadi pegangan utama.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada yang masih sihat, janganlah dipandang enteng akan nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh-Nya buat kita semua. Sayang seribu kali sayang apabila tak dihargai pemberian itu dengan perbuatan dan perkara yang sia-sia.

Berbalik kepada kisah orang sakit yang mahu berusaha kembali sihat, usaha suami isteri ini mengingatkan saya kepada keluarga dan diri saya sendiri. Kami berusaha mencari alternatif agar kesihatan bertambah baik, memudahkan cara penjagaan diri, memahami kondisi penyakit yang dialami dan lain-lain lagi.

Muhammad Idzwan Othman atau lebih mesra dipanggil Abang Wan telah dijaga dengan baik oleh isteri, Raudzah Arippin (Kak Uda) dan keluarga sejak dia mengalami serangan strok. Kisah hidup mereka menjadi tauladan dan inspirasi buat pengikut media sosial mereka dan juga di Vocket.

wan 2

Abang Wan selalu meluangkan masa mencari info-info penting berkaitan keadaan dirinya. Terbaru, dia mencari tentang bionic leg atau kaki bionik lantaran anaknya, Ammar selalu mengajak dia bermain bersama membuatkan dia mahu cepat sembuh agar dapat bermain semula dengan anaknya itu.

Akhirnya Kak Uda memuatnaik status di Facebook yang menggembirakan buat Abang Wan.

Memenuhi Impian Suami: The Bionic Leg

Pagi-pagi ini saya ke Hospital Tawakal, berbincang dengan pihak Rehab di sana tentang kaki bionik yang menjadi idaman suami saya itu.

Satu penjelasan penting yang saya mahu tahu ialah bagaimana kondisi pesakit yang boleh menggunakan kaki bionik itu untuk latihan fisioterapi.

Apabila saya menerangkan tahap pemulihan suami saya sekarang terutama bahagian kaki kirinya yang lemah itu, Tuan Joachim itu berkata, “That’s it! Cukup kakinya sudah boleh bergerak begitu. Memang dia boleh cuba gunakan bionic leg.”

Kemudian beliau menerangkan saya tentang penggunaan kaki bionik itu dan bagaimana ia boleh membantu pesakit strok seperti suami saya berjalan semula.

Terus terang, saya cuma tahu tentang ini hanya dari penerangan suami saya. Termasuklah hal ‘neuroplasticity’ yang diceritakannya kepada saya.

Sejak beberapa minggu ini suami saya sungguh sibuk di atas katilnya itu, melayari pelbagai laman web tentang alat bantuan sokongan dan rawatan untuk pesakit strok seperti dia.

Bukan itu sahaja. Dia sendiri hubungi doktor sana sini untuk dapatkan penjelasan lanjut.

Saya sendiri pun tidak sangka kaki bionik itu ada di Malaysia. Itupun suami saya yang e-mel ke CEO AlterG di US yang mengeluarkan produk itu di USA. Mereka yang memberikan maklumat lanjut.

Kaki Bionik Dan Abang Wan

Gambar: alterg.com
Gambar: alterg.com

Secara teorinya, Abang Wan sesuai menggunakan kaki bionik yang ada di Hospital KPJ Tawakal. Pastinya ia satu berita yang mengujakan buat Abang Wan setelah menyelidiki tentangnya sebelum ini.

Menurut laman web AlterG, di Malaysia, kaki bionik yang menggabungkan teknologi robotik dan sensori untuk meniru pergerakan manusia ini boleh didapati di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital KPJ Tawakal.

Kos penggunaan alat ini bergantung kepada pihak hospital dan proses pemulihan juga bergantung kepada otak untuk proses neuroplasticity, iaitu proses otak rewire around the damage area. Ini bermakna ia bergantung pada tahap kerosakan saraf pesakit untuk pulih.

Oleh kerana saya merasakan kaki bionik ini menarik, saya lakukan satu temubual secara online dengan Abang Wan dan Kak Uda bagi menjawab beberapa soalan bagi melengkapkan kisah kaki bionik ini.

1. Apakah yang mendorong Abang Wan mencari tentang peralatan ini?

Kerana anak saya, Ammar. Dia selalu ajak saya bermain. Jadi dia menjadi inspirasi saya. Saya mahu sembuh segera supaya dapat bermain semula dengan dia.

2. Dimanakah/bagaimanakah Abang Wan tahu tentang bionic leg?

Mula-mula saya jumpa bionic leg untuk orang yang putus kaki. Dari situ saya tahu mengenai Prof Hugh Herr yg reka alat itu. Prof Hugh Herr mengalami kecacatan kaki. Kakinya dipotong kerana frost bite.

Dari situ pula saya jumpa satu video di Youtube tentang bionic leg untuk pesakit strok. Saya dapat maklumat, Mr Charles Remsberg yang mereka bionic leg ini.

Rekaannya yang mula-mula ialah Tibian Bionic Leg. Kemudian syarikat AlterG ambil dia sebagai CEO dan mengeluarkan bionic leg yang ada sekarang.

Saya dapat banyak maklumat tentang bionic leg ini dari Head of Sales (International) AlterG. Kami berhubung melalui E-mel.

3. Apakah perasaan Abang Wan apabila tahu keberadaan bionic leg di Malaysia?

Saya sangat teruja. Saya rasa ada harapan yang besar. Saya bersemangat dan teruskan usaha untuk mencari di mana alat ini di Malaysia.

4. Apakah target jangka pendek dan jangka panjang Abang Wan dengan bionic leg?

Jangka pendek: Saya mahu rasa kembali berdiri dan berjalan dengan bantuan bionic leg ini.

Jangka panjang: Saya mahu boleh berjalan sendiri kembali seperti dahulu. Saya tahu alat ini boleh membantu kerana sudah ‘study’ dan faham mekanismanya dan bagaimana ia berfungsi membantu pemulihan pesakit strok untuk berjalan.

5. Bilakah Abang Wan akan menggunakan bionic leg?

Tarikh belum ditetapkan lagi. Tetapi akan diusahakan dalam tempoh terdekat.

Nantikan percubaan pertama Abang Wan dengan kaki bionik! Stay tune!Kak Uda

Moga kaki bionik ini beri sinar baru dalam proses pemulihan Abang Wan, sekaligus boleh dapat berjalan kembali dan bermain bersama Ammar.

Apa yang penting, tidak putus asa untuk kembali sembuh dan berusaha sehabis terbaik untuk berjalan kembali walaupun dah pegang title OKU. Itulah antara harapan besar bagi mereka yang terlantar seharian di katil.

Info ini juga berguna buat pesakit-pesakit strok dan saraf yang lain. Mungkin anda boleh kongsikan artikel ini bersama mereka yang memerlukannya.