“Jaga isteri, jaga anak, jaga rumah,” itu pesan pakcik Tambirajh, 59, kepada aku sambil pekena mi pagi ini.

Macam biasa aku kongsi meja dengan orang yang tidak dikenali dan mulakan sembang.

Dia layan dan bila dah rancak, baru keluar butir kata-kata emas.

Tinggal di Sungai Tua, Batu Caves dan kini kerja di Ampang, beliau pada waktu muda pernah bekerja di kuari dan kemudiannya mendapat kerja sebagai pemandu.

Maka bermulalah siri nasihat beliau kepada aku…

1. Kena ada rumah sendiri

“Nombor satu dalam hidup, kena ada rumah sendiri,” kata beliau.

Aku pula sebagai penganut tegar fahaman ‘sewa ajalah’ lempar soalan – Kenapa nak sangat kena beli?

Jelas beliau. Kalau menyewa, biar puluh tahun pun rumah itu tetap milik orang. Kalau tak bayar sewa, akan dihalau juga.

It was a fair answer, jadi aku angguk aja.

Tambahnya, di rumah itulah jadi asas untuk kita jaga keluarga, kesihatan diri dan dapat sedikit manfaat.

Di tepi-tepi rumah, beliau nasihatkan menanam. Tanam ubi, tanam pisang.

“Ubi boleh makan, pisang pun boleh makan,” tambah beliau.

Bertani juga, kata beliau, adalah satu cara yang amat baik untuk pastikan badan bergerak, berpeluh dan sihat.

2. Jangan hutang orang

“Nombor dua, jangan hutang orang.”

Masa ini aku sedang mengunyah mihun sup, hampir tersedak.

ali-02

Kalau ikut otak aku, zaman sekarang ni nak beli rumah mestilah nak kena hutang bank.

Buat pakcik Tambirajh, hutanglah yang menjadi akar masalah kepada manusia. Hati jadi tak tenang, tidur pun tak lena.

Paling tak seronok, tambah beliau, “Kita hutang orang, hari-hari dia kejar kita. Macam mana nak hidup tenang?”

Justeru aku faham, secara prinsip kita memang kena elakkan berhutang.

Cuma pada hemat aku, selagi hutang yang diambil itu terkawal pengurusannya, masih boleh. Yang penting jangan sampai dikejar-kejar.

3. Kawan, kena pilih

“Kawan, kena pilih. Kalau ada kawan tapi tak guna punya kawan, tak perlu kawan.”

Bab ini aku setuju sangat. Memilih lingkungan yang baik amat perlu dalam proses pembinaan diri dan merencana kejayaan masa hadapan.

4. Bermula awal

“Bangun awal, keluar pergi kerja awal.”

Sebagai penunggang motorsikal, umur warga emas pula tu, jumlah kenderaan yang banyak memang merisaukan.

Hari-hari beliau ulang-alik dari Sungai Tua ke Ampang Park. Congak aku, makan masa sejam juga tu.

Jadual beliau akan bermula pukul 5 pagi. Bangun tidur, siap untuk ke tempat kerja.

“Lewat sikit, nanti kereta banyak. Semua orang mau jaga diri sahaja, bawa laju,” itulah yang jadi kerisauan warga emas ini.

5. Jaga keluarga

“Yang penting, jaga keluarga kita.”

Bapa kepada dua anak (dan 4 kali isteri keguguran) ini kata, keluarga adalah tanggung jawab besar yang diberi kepada kita (rujuk kepada para bapa).

Justeru amanah ini perlu dilaksanakan sebaiknya, dan dalam masa sama tanggung jawab kepada masyarakat jangan diabaikan.

Menguruskan ini, kata beliau, “Makan, pakai anak isteri kena jaga. Kalau ada orang sakit, ada kematian kita pergi ziarah, kemudian balik semula ke keluarga.”

6. Syukur

Menyentuh tentang harta, kata beliau beliau sudah syukur dengan apa yang ada.

“Masa saya umur satu tahun sudah dibawa ayah pindah ke Brickfields kerja dengan railway (kini KTM) kemudian duduk di setinggan Batu Caves.”

“Sekarang saya sudah ada isteri, dua anak, satu rumah, satu motor, satu kereta, saya sudah cukup. Hanya sekarang nak jaga kesihatan, jaga isteri, jaga anak,” kata beliau sambil pandang tepat ke mata aku, tangannya menadah tangan ke langit.

7. Tak perlu banyak makan

“Makan tak perlu banyak pun tak apa. Yang penting benda-benda perlu cukup, hutang orang pun tak perlu.”

Pada aku, ini adalah nasihat paling utama antara semua nasihat.

Kalau aku tak silap, ada satu ungkapan mengatakan ‘pemimpin yang baik adalah yang menjaga perutnya’.

Kau orang jangan ingat ‘perut’ itu hanya merujuk kepada organ pencernaan makanan atau gelembung di bawah dada aja weh.

Menurut mentor aku, ‘perut’ itu adalah lambang nafsu materialisma manusia. Besar perut bererti besarlah kemahuan duniawinya dan cinta terhadap harta.

Jadi bila pakcik Tambirajh sebut tentang mengawal makan, beliau sebenarnya orang yang konsisten berkorban dan mengorbankan kehendak diri demi mencapai matlamat utama beliau untuk memberi yang terbaik kepada keluarga.

Umur 59 tahun masih gigih ulang-alik naik motor kapchai dari Sungai Tua ke tempat kerja di Ampang Park, pada aku satu kerja yang gila.

Di mata orang makan gaji kerajaan macam aku ni, patut umur ini dia dah duduk rumah, rehat-rehat aja kot.

Penutup

Kami selesai makan pada waktu yang sama. Dia dengan Mi Kari, aku dengan Mihun Sup.

Aku minta izin ambil gambar, aku beritahu dia aku nak letak nasihat beliau di Internet, dia setuju. Lagi ramai yang dapat manfaat, lagi dia suka.

Beliau kata, nanti dia boleh suruh anak dia tengokkan dalam Internet.

Cuma dalam terkocoh-kocoh aku tadi, aku lupa nak ambil nombor telefon dia, mahupun anak dia.

Jadi aku nak minta tolong para pembaca yang tinggal di Sungai Tua, Batu Caves dan para pembaca berbangsa India mana tahu ada yang saudara mara beliau.

Tolong sampaikan post ini kepada beliau, ya.

Ali Imran,

Presiden Persatuan Persaudaraan Di Medan Selera Sambil Pekena Mi Sedunia