Kami melepasi stesen Batang Kali, dua stesen lagi baru tiba ke Tanjong Malim.

“Nampak jalan raya kecil tidak jauh dari laluan keretapi?”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tanya lelaki bernama Vijay sambil menunjukkan jalan raya yang dimaksudkan.

Lengang, tidak ada kenderaan lalu-lalang dan deretan rumah kampung berdindingkan papan seolah-olah memberitahu, ‘Kami sudah lama di sini’.

Kata Vijay, ‘Dahulu, perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa sehingga enam jam. Inilah jalan raya utama. Kami tiba lewat bukan disebabkan keadaan jalan, tetapi banyak gerai-gerai jualan sepanjang perjalanan’. Cerita beliau sambil membetulkan topi cowboy nya.

Tidak hairanlah jika ramai yang tiba di Kuala Lumpur akan membawa segala macam buah, sayur dan makanan. Orang-orang kampung akan keluar membawa hasil tanaman mereka ke tepi jalan.

Vijay gembira menceritakan episod-episod pada masa dahulu. Beliau melihat ke luar dan menarik semula peristiwa-peristiwa yang membuat hati bahagia.

‘Keretapi berhenti, maka berpusu-pusu anak kecil, lelaki dewasa dan kaum perempuan membawa nasi lemak, kuih-muih dan cerek kopi bersama gelas. Jual beli melalui setiap tingkap” ceritanya lagi.

Lelaki yang lahir pada tahun 1959 mula belajar jauh dari keluarga pada usia belasan tahun. Selesai sahaja peperiksaan menengah pada siang hari, terus Vijay mengambil tiket keretapi dan menuju ke Melaka pada waktu malam.

Selepas itu beliau memanjangkan langkah dari satu tempat ke satu tempat. Pelbagai pekerjaan dilakukan dan sehingga pada satu hari beliau memberanikan diri keluar dari tanah air.

Siapakah lelaki duduk berhadapan saya pada ketika ini?

Beliau seorang aktor.

‘Ya, saya tahu penampilan saya mencurigakan. Malah apabila polis melihat saya yang kurus, berseluar jean dan tulisan t-shirt Satan’s Children pun sudah membuat saya ditahan dan disyaki penagih dadah.

Satan’s Children merupakan filem lakonan saya sebagai watak utama. Carilah di Vimeo,’ sambung Vijay sambil membetulkan kedudukan beliau.

Vijay Shanmugam atau lebih mudah dijejaki di Google dengan nama Vj Kesh menapak dalam seni persembahan di Australia dan Amerika berpuluh tahun lamanya.

Membina pengalaman baharu pada zaman muda sehingga usia menjangkau 57 tahun, beberapa pesanan emas dilontarkan dan dirangkaikan semula sebagai prinsip hidup.

1. Kau berhenti membaca, kau terkandas.

Pesan beliau, ‘Mahu terokai dunia, sediakan isi dalam kepala secukupnya. Baca dan baca. Ketakutan dapat dikawal kerana kita sudah tahu. Membaca dan engkau tak boleh berhenti. Mendengar muzik dan menonton filem pun membantu.’

2. Jangan sibuk mahu cari gaduh, sambutlah dengan humor.

‘Saya tiba ke Australia pada tahun-tahun di mana sukar kita melihat wajah orang Asia. Pada waktu itu, saya bekerja di lombong arang batu. Sudahlah saya berkulit gelap dan kerja itu memberi kesan secara langsung. Apabila berada di tempat yang dikelilingi majoriti orang putih disambut pula dengan ayat ‘This f***** black s****‘.

Saya boleh sahaja melawan, tetapi itu kebodohan. Saya tukarkan provokasi sebagai humor dan dapat melintasi prejudis mereka, cerita Vijay.

Humor, senjata yang mengalihkan serius menjadi santai. Inilah senjata yang meredakan marah, benci dan ketegangan jauh-jauh.

3. Berhenti membandingkan apa yang kau tahu dan orang lain tahu.

Perkara yang kita tahu dan orang lain tahu berbeza walaupun bercakap mengenai topik yang sama. Perbezaan itu hidup kerana diberi kebebasan dalam demokrasi.

Berhenti bertembung kepala dengan semua orang, ada ruang kita berkata-kata, ada masa kita menerima dan ada waktu berdiam diri. Mengapa mahu ubah dunia dengan menyerang orang lain dengan kata-kata?

4. Diri merupakan modal yang menghidupkan hari-hari esok.

‘Jambang ini merupakan aset yang menguatkan karakter saya dalam persembahan. Ada waktu apabila saya duduk di tempat awam, bertembung dengan pengarah filem yang mencari wajah yang memenuhi karakter yang dicarinya. Saya pernah diberikan watak orang asal Australia.’ Kata Vijay merujuk kepada persembahan pentas di The Boston Court Theatre Pasadena.

Suara beliau digunakan untuk salah satu kempen pengiklanan laman web pelancongan. Wajah beliau juga digunakan sebagai hiasan kulit album yang dimuat naik dalam Apple Music.

Instagram beliau seolah-olah resume bergerak yang menunjukkan sisi terbaik bakat beliau. Setiap satu foto bercerita dan mewakili diri beliau di hadapan lensa.

5. Berhenti menjadi orang yang pentingkan diri sendiri. Bercerita dan berkongsi.

Kata Vijay, ‘Saya tidak tahu apa yang akan saudara lakukan dengan perkara yang saya ceritakan ini. Saya akan bercerita dan memberitahu apa yang saya sedia maklum. Menjadi orang yang pentingkan diri sendiri tidak menggerakkan saya.’

Lelaki bertopi cowboy dan memakai but kulit berwarna coklat menuju ke Batu Gajah, mahu menemui ibu di sana. Beliau berkira-kira memujuk sama ada ibu mahu ikut sama pulang bersama beliau duduk di luar negara.