Perlumbaan bertaraf dunia MotoGP Mandalika 2022 telah menarik perhatian ramai orang. Jika sebelum ini tular mengenai penampilan pawang hujan yang ditugaskan untuk mengawal cuaca sepanjang acara itu berlangsung dan kini yang terbaharu pula adalah isu sampah yang dihasilkan oleh pengunjung yang hadir menonton acara tersebut.

Walaupun acara ini berlangsung dengan megahnya, namun dari sudut pandang alam sekitar ia adalah satu pembaziran yang tidak dapat dielakkan. Ini selepas sebuah akaun Twitter dengan nama @waste4change mendakwa bahawa sampah yang dikumpulkan dalam masa satu hari acara MotoGP Mandalika mencecah sehingga 26 tan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Dengan begitu ramai pengunjung yang datang, malah ia turut menghasilkan banyak sampah yang bertaburan di gerai-gerai,” tulis akaun itu sambil menunjukkan gambar yang dimuat naik, kelihatan pelbagai sampah bertaburan dari botol plastik hingga ke kotak makanan yang dibuang atau disembunyikan di bawah tempat duduk penonton.

“Bukan sahaja bertaburan di atas lantai, sampah botol minuman juga ditinggalkan di dalam bekas cawan yang terletak di setiap tempat duduk penonton. Di tempat duduk itu juga tiada tong sampah,” tambah akaun itu.

Selain @waste4change, akaun Twitter seorang kakitangan pembersihan MotoGP Mandalika turut tular, di mana beliau mengadu mengenai sampah yang bertaburan di kawasan tempat duduk.

“Memang penat jadi janitor di MotoGP Mandalika, penonton meninggalkan perkara yang pelik,” kata akaun Twitter @muhammad_getar, seorang petugas kebersihan di MotoGP Mandalika yang mengambil beberapa gambar sampah yang ditinggalkan penonton seperti pembalut makanan, baju hujan pakai buang, tisu, dan sebagainya.

Bagi Detik Health, sikap membuang sampah di merata tempat yang berlaku di acara MotoGP Mandalika 2022 adalah hasil daripada sikap malas seseorang untuk membuang sisa sampah. Ia adalah tabiat buruk yang tidak boleh hilang bagi kebanyakan orang.

Tambah laporan itu lagi, keadaan sekeliling seseorang sebenarnya boleh memainkan peranan dalam keputusannya untuk membuang sampah. Ringkasnya, jika sesuatu kawasan itu diselenggara dengan baik, dan bebas daripada sampah, maka orang ramai kurang berkemungkinan membuang sampah. Sebaliknya, jika sesuatu tempat mempunyai banyak sampah dan akses yang kurang kepada tong sampah, orang ramai cenderung untuk membuang sampah.

Penganjur MotoGP Indonesia habiskan RM30,000 untuk bayar khidmat bomoh ‘tolak hujan’. Rujuk pautan di bawah untuk membaca.

Penganjur MotoGP Indonesia Habiskan RM30,000 Untuk Bayar Khidmat Bomoh ‘Tolak Hujan’

Presiden Indonesia Umum Pengunjung MotoGP Mandalika Tidak Perlu Buat Ujian PCR-Antigen

Tular Insiden ‘Gatal Tangan’ Usik Motosikal, Ini Respon Ducati Kepada Netizen Indonesia