“Sorry, sir. Your connecting flight booking is not in our database.”

2010. Setelah cuti musim panas tamat, aku pilih untuk menaiki penerbangan MAS(kini MAB) untuk pulang ke Ukraine. Penerbangan tersebut akan transit di Bangkok selama 5 jam sebelum meneruskan penerbangan ke Ukraine.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Malangnya sewaktu di Bangkok, aku tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Ukraine kerana tiket penerbangan sambungan aku tiada dalam rekod.

Lebih malang lagi pesawat yang sepatutnya aku naiki itu telah penuh dan penerbangan gantian yang diberi adalah 7 hari lagi.

Takkan aku nak tunggu seminggu di Bangkok? Itu terlalu lama, jadi aku ambil keputusan untuk beli tiket baru. Nasib tak menyebelahi aku.

Tiada syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan ke Ukraine dalam masa terdekat. Akhirnya aku nekad untuk ke bandaraya Bangkok untuk gunakan khidmat ejen pelancongan. Manalah tahu mereka boleh tolong.

Sebelum hari terang, aku sudah ambil teksi meninggalkan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan tiba di bandaraya Bangkok pada jam 7 pagi.

Pemandu teksi yang aku naiki menyarankan agar aku melawat Lupini’s Park sementara menunggu agensi pelancongan dibuka kerana katanya disana ramai orang. Lebih selamat. Aku turuti sahaja.

Ketika aku sampai di Lumpini Park, ia dipenuhi warga Bangkok yang sedang beriadah.

Namun begitu, perkara yang paling menarik perhatian aku waktu itu adalah sebuah warung pak tongko(juga dikenali sebagai Chakoi) yang berada di pinggir taman rekreasi tersebut.

Aku beli 6 batang pak tongko dan segelas air soya panas. Kebulur bukan main.

Sedang seronok aku melahap pak tongko yang dicicah kaya pandan, kedengaran pengumuman dibuat di corong pembesar suara kemudian diikuti dengan alunan muzik.

Tergamam aku lihat apa yang berlaku selepas itu. Sesuatu yang aku tak pernah lihat di Malaysia.

Dunia seolah-olah berhenti.

Pakcik makcik yang bersenam, pemuda pemudi yang berjogging, kanak-kanak berbasikal, pekerja-pekerja yang bergegas ke tempat kerja semuanya menghentikan aktiviti mereka dan berdiri tegak. Penjual pak tongko tadi pun berdiri segak di belakang warung bergeraknya.

Hanya aku seorang sedang duduk di bangku dengan pak tongko berada di depan muka, menanti untuk disuapkan ke dalam mulut. Terpegun.

Seusai lagu tersebut tamat, mereka semua kembali meneruskan aktiviti masing-masing. Pak tongko disumbatkan ke dalam mulut dan aku bingkas bangun mendapatkan penjual pak tongko lantas bertanya tentang fenomena tadi kepadanya.

“Phleng Chat Thai. 8 AM. 6 PM,” ujarnya ringkas.

Walaupun berkomunikasi macam ayam dan itik, aku difahamkan bahawa Phleng Chat Thai atau Lagu Kebangsaan Thai akan diputarkan setiap hari pada jam 8 pagi dan 6 petang di corong-corong pembesar suara di tempat-tempat awam.

Ia berkumandang di taman-taman rekreasi, stesen keretapi bawah tanah, bangunan kerajaan, sekolah-sekolah, malah di stesen-stesen radio dan televisyen tempatan.

Selepas penat berborak, aku pergi ke agensi pelancongan untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Ukraine.

Penerbangan paling awal ke Ukraine adalah pada keesokan harinya tapi harga tiketnya sangat mahal. Bolehlah. Lebih baik daripada terkandas selama 7 hari.

Memandangkan aku ada 24 jam untuk dibazirkan, aku pun ronda-ronda di sekitar bandar raya Bangkok.

Aku bukan nak tipu, pada masa itu aku tak sabar nak tunggu pukul 6 petang. Dia punya teruja nak tunggu pukul 6 petang itu, macam tunggu waktu berbuka di bulan Ramadan.

Jam 6 petang, aku berada di sebuah pasar malam dan apabila Phleng Chat Thai berkumandang, aku seperti rakyat Thai yang lain, berdiri tegak menghormati lagu tersebut.

Mataku bergenang, entah kenapa. Mungkin kerana bahang bara patriotisme yang selama ini suam-suam kuku tiba-tiba marak menyala.

Sesungguhnya, ada perkara yang kita perlu pelajari daripada satu-satunya tamadun di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah ini.

Pada tahun 2014, kita pernah cuba memainkan Negaraku di pawagam-pawagam seluruh negara sepanjang bulan kemerdekaan tahun itu. Ia telah mendapat reaksi bercampur daripada rakyat.

Ada yang spontan berdiri, ada yang teragak-agak, ada yang malu-malu, ada yang tertawa, ada yang merungut, dan ada pula seorang ahli politik yang mengutuk penguatkuasaan itu.

Alangkah baiknya jika Negaraku dihormati oleh kita seperti mana Phleng Chat Thai dihormati oleh rakyat Thai.

Aku tak dapat bawa 30 juta rakyat Malaysia ke Thailand untuk menyaksikan fenomena yang aku amati di Bangkok. Aku cuma mampu menulis status ini untuk memberitahu kalian tentangnya. Mohon kongsikan agar ia menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia.

Selamat Hari Malaysia!

Sumber video Pleng Chat Thai dimainkan jam 6pm: