Apabila membaca komen-komen daripada followers anti-scammers, yang juga sahabat-sahabat saya, seperti Khairul Ezuwan dan Afyan Mat Rawi tentang kenapakah seolah-olah tiadanya tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap skim-skim scam pelaburan mahupun hartanah, saya rasa terpanggil untuk memberi komen dan pandangan saya tentang perkara tersebut.

Pandangan saya ini adalah berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian ringkas saya dari sudut perundangan tentang kenapakah seolah-olah tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap scammers tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Daripada kajian ringkas dan pemerhatian saya, sebenarnya tindakan ada diambil oleh pihak berkuasa terhadap skim-skim scam tersebut.

Misalnya Bank Negara sendiri di dalam laman web mereka telah menyenaraikan hampir 200 syarikat dan skim-skim pelaburan yang tidak sah dan meragukan.

Penyenaraian ini adalah bertujuan untuk memastikan agar orang awam lebih berhati-hati dan dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan skim-skim yang meragukan tersebut.

Penulis, Salkukhairi
Penulis, Salkukhairi

Bukan itu sahaja, daripada pemerhatian saya, memang terdapat beberapa kes yang telah disiasat oleh pihak Bank Negara atas dakwaan menerima atau mengambil deposit haram dan beberapa dakwaan lain di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989.

Cuma memang saya akui, daripada tindakan yang diambil oleh Pihak Berkuasa tersebut, ianya hanya mewakili sejumlah kecil sahaja daripada kes-kes scam yang dilaporkan atau diheboh-hebohkan di media massa dan internet.

Bahkan walapun setelah pihak-pihak yang telah terkena dengan skim-skim tersebut membuat pengakuan terang-terangan bahawa mereka adalah mangsa kepada skim-skim tersebut sekalipun, seolah-olah tidak banyak langkah penyelesaian yang diambil oleh pihak berkuasa khususnya untuk membela pihak-pihak yang menjadi mangsa tersebut atau membawa scammers tersebut kemuka pengadilan.

Sebenarnya, saya tidak menyalahkan Pihak Berkuasa sepenuhnya dalam hal ini. Cuma saya berpendapat, masalah ini mungkin berlaku disebabkan oleh beberapa faktor:

1. Undang-undang yang ada di Negara kita berkenaan dengan skim-skim scam ini masih tidak establish sepenuhnya.

Kita belum ada satu undang-undang khusus untuk membenteras mahupun mendakwa pelaku-pelaku skim-skim scam tersebut, tanpa mengira apakah jenis dan method scam yang mereka lakukan.

Perkara ini mungkin juga berpunca daripada percanggahan dari segi bidangkuasa pihak-pihak berkuasa yang terbabit mahupun percanggahan dari segi prinsip undang-undang itu sendiri.

Misalnya, bidangkuasa yang ada pada pihak polis dan pihak Bank Negara sendiri mungkin tidak sama.

Ini kerana apabila berlaku sesuatu kes penipuan melibatkan skim-skim tersebut, laporan biasanya akan dibuat kepada pihak polis.

Pihak polis akan membuat siasatan terperinci atas laporan tersebut dan akan mengenalpasti dibawah peruntukan undang-undang mana satu kah kes tersebut akan disiasat dan didakwa.

Jika ianya bukan dibawah bidang kuasa pihak polis untuk membuat siasatan terperinci, kes mungkin akan dirujuk kepda pihak-pihak berkuasa lain seperti Bank Negara, SPRM dan lain-lain.

Dan apabila kes tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa yang lain, mereka pula akan memperhalusi sama ada laporan tersebut termasuk dalam bidang kuasa peruntukan undang-undang yang di peruntukkan kepada mereka atau sebaliknya.

Sebagai orang awam, kita mungkin merasakan pelik dan bertanya, kenapa tidak bolehkah diseragamkan terus tindakan yang boleh diambil, memandangkan kesemua agensi-agensi penguatkuasaan tersebut adalah di bawah Kerajaan.

Memang betul, dari segi teorinya, saya sendiripun akan bertanggapan begitu. Tetapi dari segi praktikalnya, ianya tidak semudah yang disangkakan.

Apabila tiadanya satu peruntukan undang-undang khusus dan seragam yang akan mengikat semua agensi-agensi penguatkuasaan yang terbabit berkaitan dengan kes-kes scam ini, proses penyeragaman dalam urusan penguatkuasaan dan tindakan-tindakan perundangan yang boleh diambil juga sudah pasti akan terjejas.

2. Percanggahan dari segi prinsip perlaksanaan undang-undang juga boleh menyebabkan tindakan mungkin sukar diambil terhadap kes-kes scam ini.

Misalnya percanggahan antara prinsip undang-undang jenayah dan prinsip undang-undang sivil.

Kes-kes yang melibatkan scam ini kadang-kadang agak sukar untuk kita klasifikasikan sama ada ianya adalah kes jenayah ataupun kes sivil.

Misalnya banyak keadaan saya dapati, skim-skim scam ini mempunyai satu perjanjian bertulis diantara syarikat perlaksana dan ahli-ahli yang terlibat. Bahkan yang lebih mengejutkan lagi, perjanjian-perjanjian bertulis tersebut disediakan oleh peguam mereka sendiri.

Bukan itu sahaja, dari segi teori undang-undang kontraknya, skim tersebut mungkin mematuhi elemen-elemen kontrak yang menjadikan ianya satu kontrak sivil yang nampak sah, seperti adanya dua pihak yang berkontrak, adanya balasan dan kedua-dua mempunyai niat untuk mengikat antara satu sama lain sebagai satu ikatan kontrak.

Mungkin kita akan berkata, kontrak yang menyalahi undang-undang adalah tidak sah sejak dari awal, tetapi bagaimakah kita hendak katakan kontrak tersebut melanggar undang-undang sedangkan sebagaimana yang saya nyatakan di atas tadi, tiada satu undang-undang khusus yang memperincikan secara perundangan yang ianya adalah satu bentuk scam dan menyalahi undang-undang.

Maka apabila ini berlaku, sudah pasti pihak berkuasa mungkin kekurangan jurisdiction (bidang kuasa) untuk mengambil tindakan sewajarnya, memandangkan kes-kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes sivil sahaja.

Ini kerana kebanyakan pihak berkuasa hanya mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa sesuatu kes yang bersifat jenayah sahaja.

Jika ianya diklasifikasikan sebagai kes sivil, maka pihak-pihak yang merasa tidak berpuas hati dengan kontrak tersebut, hanya boleh memfailkan tindakan sivil sahaja terhadap syarikat-syarikat pelaksana skim-skim scam ini dan individu-indivudu dibelakangnya.

Kalaupun kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes jenayah, siasatan perlu dilakukan dengan terperinci dan bukti perlu dianalisis dengan cermat sebelum pendakwaan boleh dibuat.

Ini kerana beban pembuktian dalam kes jenayah memerlukan pembuktian melampaui keraguan yang munasabah. Ertinya jika terdapat keraguan atau pertikaian pada kes tersebut walaupun sedikit maka kes tersebut akan ditolak oleh mahkamah.

Selain daripada itu, untuk mengambil tindakan sivil pula, mangsa-mangsa terpaksa melantik peguam dan mereka terpaksa mengeluarkan kos guaman untuk memfailkan tindakan tersebut.

Tindakan sivil tersebut bukanlah satu jaminan penuh yang mereka akan dapat semula hak-hak atau wang yang mereka telah keluarkan.

Silap haribulan, kalaupun mereka berjaya mendapat perintah mahkamah, ianya sekadar perintah atas kertas semata-mata dan bakal berhadapan dengan masalah untuk dikuatkuasakan.

Yang pasti, mangsa-mangsa yang terlibat terpaksa kelurkan kos untuk mendapatkan balik sesuatu yang belum pasti.

3. Pelaksana skim-skim scam ini pun bukannya orang biasa.

Ada sesetengah mereka terdiri daripada golongan intelek.

Mereka sendiri mengkaji loopholes (kelompongan) yang ada dalam undang-undang negara kita berkaitan dengan skim yang mereka ingin laksanakan. Tak dapat buat dari sudut ini mereka buat dari sudut lain pula.

Otak mereka sentiasa ligat mencari peluang atas kelompongan yang ada pada undang-undang negara kita.

Bahkan lebih mengejutkan mereka sendiri ada panel peguam mereka. Panel peguam ini akan menasihati mereka apa yang boleh dan apa yang tak boleh mereka buat.

Dan kelompongan-kelompongan dalam undang-undang tadi akan dimanupulasi oleh mereka sepenuhnya untuk mempekenalkan skim-skim scam yang menarik perhatian orang awam.

4. Masalah penguatkuasaan juga mungkin jadi rumit dan sukar diambil apabila mangsa-mangsa skim scam tersebut sendiri tidak memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

Atau mereka juga mungkin malu untuk tampil kedepan mengambil tindakan perundangan terhadap pelaksana skim-skim tersebut.

Mereka juga mungkin bimbang diugut atau dicabar semula oleh individu-individu tertentu disebalik skim tersebut jika mereka memulakan tindakan perundangan terhadap mereka.

Oleh yang demikian, mereka hanya mendiamkan diri dan redho sahaja dengan apa yang berlaku. Jika tiadanya kerjasama yang diberikan oleh mangsa-mangsa terbabit bagaimanakah tindakan boleh diambil terhadap scammers tadi.

Maka saya berpendapat, langkah pencegahan dan tindakan mengelakkan diri daripada terlibat dengan skim-skim scam yang meragukan ini adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Pengusaha-pengusaha skim-skim scam ini berani aktif kerana mereka tahu masyarakat kita mudah sangat “kena kencing”.

Nampak imej Islam sikit mula cepat cair dan terpengaruh, nampak orang tunjuk duit berkepuk dan kereta-kereta mewah terus ketar seluruh badan, sanggup berhutang piutang untuk ikutkan kehendak-kehendak scammers.

Nampak artis glamer jadi duta produk-produk mereka terus rasa teruja hendak join.

Pendek kata langkah-langkah memberi kesedaran dari segi perundangan dan kesan-kesan kewangan yang timbul daripada masalah skim-skim scam ini harus dipertingkatkan.

Jadi saya fikir, jika kita hendak masalah ini di atasi, sama-samalah kita sendiri memainkan peranan menyedarkan orang-orang disekeliling kita supaya tidak terjebak dengan skim-skim scam tersebut.

Kita jangan terlalu mengharapkan pihak berkuasa untuk melindungi kita.

Sebaliknya kekuatan dalaman kita sendiri di samping ilmu dan kesedaran yang tinggi mampu mengelakkan diri kita daripada terjerumus dengan skim-skim tersebut.

Justeru, HartaGuam sendiri sentiasa komited memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat dari segi perundangan hartanah khususnya agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan skim-skim hartanah yang meragukan dan memberi kefahaman kepada masyarakat agar mengikut amalan guaman hartanah sebenar dalam setiap urusniaga hartanah yang dimasuki untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan penyelewengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Salkukhairi Abd Sukor adalah peguam dan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

BACA: Ditipu Scammer Berkali-Kali, Lelaki Ini Buat Kerja ‘Kotor’ Untuk Terus Hidup