Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop sebentar tadi telah membuat pengumuman rasmi berkenaan punca kematian remaja dari Ireland, Nora Anne Quoirin.

Berdasarkan laporan Harian Metro, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap Nora Anne mendapati punca kematian adalah disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Nora dilaporkan telah meninggal dunia dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui pada jam 1.57 tengah hari kelmarin.

“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi yang memakan masa 10 jam semalam mendapati Nora Anne mati dalam masa dua ke tiga hari sebelum ditemui. Punca kematian adalah disebabkan kebocoran usus kerana tiada makanan dalam tempoh panjang dan stress (tekanan) yang berpanjangan,” terang Datuk Mohamad Mat Yusop kepada Harian Metro.

Datuk Mohamad Mat Yusop turut mengesahkan tiada luka lain atau kesan jenayah pada mayat Nora Anne selain calar pada kaki serta tiada kesan dirogol.

Bedah siasat dikendalikan Pakar Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dri Siew Sheue Feng dan Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang bermula pada 11.45 pagi semalam dan tamat pada jam 9.00 malam semalam. Mereka turut dibantu pakar dari Jabatan Kimia dan Forensik Petaling Jaya.

Nora merupakan anak paling tua pasangan suami isteri Sebastien dan Meabh Quoirin yang telah dilaporkan hilang sejak 10 hari yang lalu.