Kadar sewa tinggi, pematuhan standard tidak masuk akal dan sikap ‘pilih bulu’ adalah di antara faktor di sebalik kesukaran peniaga Bumiputera untuk bertapak di pusat beli-belah negara ini.

Faktor sedemikian didakwa masih berleluasa dalam aspek pengurusan premis pusat beli-belah, walaupun pelbagai produk, khususnya bagi sektor makanan dan minuman (F&B) yang diusahakan peniaga Bumiputera setaraf jenama antarabangsa lain.

Pemilik Johor Muar Bariani House, Fallah Ishak, berkata peruntukan kuota Bumiputera untuk membolehkan mereka menembusi pasaran perniagaan di lokasi strategik sudah lama diperjuangkan.

Jelasnya, ia antara pemangkin kejayaan peniaga Bumiputera untuk membina empayar dan asas perniagaan, memandangkan lokasi strategik memberi kelebihan dari segi memacu reputasi dalam kalangan pengguna atau pembeli.

“Semuanya berbalik kepada peluang untuk diketengahkan dan diketahui ramai, tetapi jika peniaga Bumiputera disisihkan daripada manfaat sebegini, maka memang sukar bagi mereka meningkatkan daya saing.

“Banyak pusat beli-belah di ibu kota yang menjadi ‘lubuk’ kunjungan pelancong asing dan tempatan, justeru peniaga Bumiputera dapat gunakan ini sebagai batu loncatan.

“Apabila produk atau perkhidmatan F&B mereka diketahui ramai, ke mana sahaja rangkaian kedai sama diwujudkan, ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna dan pembeli.” katanya.

Menurutnya, langkah memperuntukkan kuota Bumiputera sebenarnya berupaya memberi kesan rantaian atau ‘domino’ yang akhirnya meningkatkan daya saing mereka supaya setaraf peniaga daripada kelompok masyarakat lain dan pelbagai jenama.

Pernah mempunyai rangkaian kedai di sebuah pusat beli-belah ternama di ibu kota sebelum ditutup berikutan COVID-19, Fallah mencadangkan supaya kerajaan memperuntukkan kuota sekurang-kurangnya 20 peratus kepada peniaga Bumiputera.

Katanya, penetapan kadar sewa, standard produk dan saringan kelayakan perniagaan pula perlu bersandarkan acuan berbeza.

“Untuk bertapak dalam dunia perniagaan, jalan terbaik ialah dengan bermula pada skala kecil, justeru saiz lot kedai yang berpatutan kepada peniaga Bumiputera adalah mencukupi.

“Sekiranya perniagaan mereka bertambah maju, mereka boleh dinaik taraf dengan peruntukan lot kedai lebih luas, malah di peringkat ini, sebarang perancangan untuk mengembangkan perniagaan lazimnya amat memberi pulangan.

“Ini kerana reputasi mereka dalam kalangan pengguna dan pembeli sudah ada, hasil daripada pendedahan awal menerusi peruntukan kuota Bumiputera.

“Usah ada sikap ‘pilih bulu’ kerana ia hanya merencatkan peluang peniaga Bumiputera untuk melebarkan sayap mereka dalam dunia perniagaan,” katanya.

Sementara itu, baca luahan perasaan peniaga yang terkesan kerana COVID-19 pada pautan di bawah. 

Netizen ‘Luah Perasaan’ Tentang Perniagaan Mereka Yang Terkesan Kerana COVID-19

AirAsia Tawar Bantu Peniaga Tempatan Sediakan Platform Dalam Talian Secara Percuma

Sebagai Tanda Sokongan, SmartHeart ‘Belanja’ Parasol Kepada Peniaga Kecil