Hari ini aku ke MARA. Bahagian Kawalan Kredit.

Tujuan aku ke sini tidak lain tidak bukan adalah memohon pengurangan bayaran pinjaman (seperti yang diarahkan) dan kalau mampu, aku berhasrat untuk melangsaikan baki yang tinggal.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Aku, walau macam mana buruk pun skandal 1MDB yang telah menjejaskan imej kerajaan, akan tetap bersyukur dengan agensi kerajaan ini yang telah merealisasikan impian aku untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Yelah, aku mungkin mendapat tempat di Manchester School of Architecture secara merit (padahal memang ada kuota untuk pelajar asing sebab inilah sumber pendapatan universiti UK).

Tetapi kalau bukan adanya agensi yang membantu seorang Melayu seperti aku ni, jangan haraplah aku akan ada sumber kewangan untuk membiayai kos pengajian aku selama 2 tahun di sana.

Bukan sedikit. Jumlahnya adalah RM323,389. Tiga Ratus Dua Puluh Tiga Ribu beb. Boleh beli sebiji rumah di sini kot. (Sempat pula aku promosi Hartabumi) hahaha.

Jadi kau bayangkan, agensi kerajaan ini telah keluarkan wang sebanyak itu hanya untuk memastikan seorang Melayu seperti aku belajar bagi pandai. Lepas tu bila aku dapat surat bayaran balik, takkan aku nak buat dek je kan?

Oleh itu aku pun pergilah ke sana.

Lepas tinggalkan IC di bawah, aku naik ke tingkat 3. Keluar sahaja dari pintu lif, aku ke kanan dan lihat ramai betul orang sebaya aku di situ.

“Ni jenis macam aku la ni kena datang sini untuk mohon pengurangan.”- fikir aku dalam hati.

Aku ambil nombor di mesin dan duduk. Terus aku main h/p baca isu parti BERSATU Tun M.

Tapi aku curi-curi dengar juga ada sekumpulan pelajar (pasal mereka lebih muda dari aku) yang sedang berbincang dengan pegawai MARA tentang status permohonan pinjaman mereka.

Aku senyum. Macam inilah pengalaman aku tiga tahun yang lalu. Baru kau tahu. Rasakan. Haha.

Tak lama kemudian, ada pula seorang budak siap datang dengan emaknya bertanyakan mengenai bila permohonan pinjaman MARA ke luar negara akan dibuka. Tak boleh blah, datang bawak mak. Ingat ambil report-card ke?

Pegawai di situ dengan senyum menjawab ‘Puan, pinjaman tersebut masih belum dibuka. Kami sedang mengutamakan pinjaman pelajar tempatan.’ Pegawai itu pun terus pandang sekumpulan pelajar tadi.

Aduh, aku silap rupanya. Sangkaan aku meleset. Budak-budak ni bukan macam aku yang dapat tawaran pinjaman ke luar negara. Sebaliknya, mereka pelajar tempatan.

Tunggu punya tunggu punya tunggu – jam dah 1.10. Aku fikir ini mesti aku kena tunggu sampai jam 2 ni sebab lunch hour.

Tapi tup tup nombor giliran aku dipanggil. Maka aku ke kaunter 2, disapa mesra oleh Puan Zaiton. Aku hulurkan surat dari MARA dan juga borang permohonan pengurangan.

“Oh, adik ni pinjaman master. Kalau macam ini dapat pengurangan sebanyak 80%. Jadi bayaran balik adalah RM 64,677.83. Adik nak bayar ansuran atau lump-sum?” Tanya Puan Zaiton.

Belum sempat aku nak jawab, Puan Zaiton terus tambah, “Kalau ansuran, ikut sahaja jadual itu. RM100 sebulan selama setahun, kemudian RM150 sebulan untuk tiga tahun dan seterusnyalah. Ansuran ini tak ada faedah. Apa yang adik pinjam, itulah yang adik bayar.”

Aku terdiam. Mak aih. Dahlah pinjaman ni dapat diskaun melampau (80% = RM258,711!), tak ada faedah pulak tu. Bayar bulanan pula bermula dengan RM100 sebulan. Ini lagi Islamik dari Islamic Finance! Haha.

Cumanya aku akan habis bayar tahun 2036 la.

“Kalau adik bayar lump-sum, MARA bagi diskaun lagi 20% daripada baki tu. So jumlahnya dah jadi RM 51,742.”

“Eh Puan, banyak betul MARA beri diskaun. Betul-betul ‘celebrate’ ulang tahun ke 50 ni.” Aku cuba bergurau.

“Taklah dik. Dana kita sekarang ni terhad. Kita dah hentikan pinjaman ke luar negara. Kita fokus yang dalam negara. Itupun yang belajar di institusi milik MARA. Tak semua juga yang dapat. Bergantung pada dana yang kita kutip dari hutang adik-adik inilah.”

Masa aku dengar ni terus aku bayangkan muka Jho Low dan isu skandal MARA Inc (entiti MARA lain) beli hartanah mahal. Geram betul aku.

Tapi aku fikir, aku marah-marah pun bukannya sekumpulan pelajar tadi akan dapat pinjaman dari MARA. Nak harap DoJ rampas dan pulang balik aset-aset itupun ambik masa bertahun. Sedangkan, hidup perlu diteruskan. Budak-budak tadi perlu makan dan belajar.

Telahan aku tepat. Puan Zaitun pun ceritakan bagaimana ada kes pelajar yang terpaksa berhenti belajar sebabkan tak berjaya dapatkan bantuan pelajaran dari MARA. Sedih weyh bila tahu ada kes begini.

Kalau budak tu tak dapat sambung belajar ke luar negara, aku tak heran pun. Ini budak yang baru nak belajar kot.

Haih. Aku conteng-conteng dan tekan kalkulator di kaunter itu.

Memikirkan aku ada sedikit simpanan hasil kerja-kerja ‘consultation on public policies’ lebih kurang setahun ini dan bakal ada untung sedikit hasil pelaburan hartanah, maka aku pun berkata pada Puan Zaitun:

“Puan, saya nak bayar lump-sum lah. Alang-alang ada diskaun ni kan.” (Aku cakap ni pun dengan perlahan sebab aku masa ni 50-50 juga. haha)

“Okey. Adik balik nanti buka http://insentif50.mara.gov.my/ dan masukkan permohonan nak bayar ‘lump-sum’. Once dah dapat kelulusan dan penyata baru, adik boleh buat bank-draft datang sini untuk pembayaran.”

Jadi, itulah kisah aku pada hari ini yang ingin dikongsikan.

Aku faham tak semua boleh bayar lump-sum. Tapi kau janganlah tipu kata tak boleh bayar langsung bulan-bulan.

Ini ada aku tengok tadi nak setelkan tunggakan yang dah 2 tahun tapi handphone di tangan pakai iPhone. Dahlah tak bayar ansuran, buatkan penjamin dia kena senarai hitam dari MARA lagi tu.

Tak patut, tak patut.

MARA ni punyalah nak bantu orang macam kau, tapi kau sendiri tak nak bantu MARA untuk bantu orang lain.

Untuk pengetahuan, jumlah tunggakan hutang pinjaman MARA ada lebih kurang RM600 juta. Kalau kos seorang pelajar RM30,000, tak ke dah 20 ribu pelajar dapat dibantu?

Betul tak?

Oleh itu, bayarlah hutang MARA (dan PTPTN) anda sekarang walau ansuran.