Pernah tak anda ingin ke luar negara atas faktor kerja atau bercuti dan apabila tiba di imigresen, diberitahu tidak dapat meneruskan perjalanan?

Banyak sebenarnya sebab yang membolehkan anda dihalang ke luar negara. Tetapi jika anda pernah membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaik-baiknya segerakan membuat bayaran pinjaman yang anda buat ketika anda belajar dahulu. Sebabnya? Semakin ramai individu yang ‘sangkut’ di imigresen dan mempunyai rekod CCRIS yang tidak cantik gara-gara gagal membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.

Jadi bagaimana peminjam PTPTN hendak hadapi perkara ini? Hanya ada satu cara sahaja penyelesaian bagi semua peminjam PTPTN iaitu menjadi peminjam yang baik aka good paymaster. Jadi di sini ada 5 perkara yang anda perlu tahu dan faham jika anda salah seorang peminjam PTPTN.

1. Penyenaraian dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS)
1-pt

Ramai sebenarnya yang keliru tentang CCRIS ini. Ada yang kata kalau nama ada di dalam CCRIS, anda seorang penghutang tegar. CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam tetapi CCRIS hanya berperanan sebagai rujukan rekod kredit serta menggalakkan pengurusan kewangan di kalangan peminjam. Laporan CCRIS adalah menunjukkan laporan tabiat kita membayar hutang.

Kalau anda membuat pinjaman PTPTN, nama anda akan berada dalam sistem CCRIS. Jadi bagaimana cara untuk anda mempunyai rekod CCRIS yang cantik? Jawapannya ialah dengan membuat bayaran balik yang juga cantik. Jadi kalau bayaran balik anda cantik, rekod CCRIS anda pun akan berkeadaan baik. Jika tabiat membayar pinjaman anda tidak cantik, anda akan menghadapi masalah untuk membuat pinjaman bank untuk perkara lain seperti pinjaman perumahan atau kenderaan.

BACA : Bayar PTPTN Setiap Bulan, Masih Kena CCRIS lagi. Ini Jawapan Untuk Anda

2. Penangguhan

Secara budi bicara, anda boleh membuat penangguhan untuk bayaran balik pinjaman PTPTN anda. Penangguhan adalah untuk peminjam yang melanjutkan pengajian atau masih belum bekerja.

Dan bagi yang sudah tamat belajar, anda diberi tempoh penangguhan selama 2 tahun sebelum anda perlu membayar kembali pinjaman anda. Dalam masa 2 tahun, takkanlah anda tidak akan mendapat pekerjaan kan? Tetapi buat apa mahu tangguh lama-lama. Lagi lama anda tangguh, lagi ‘berat’ untuk anda membayar balik pinjaman anda nanti.

BACA : Terkejut Dengan Tunggakan, Lelaki Ini Dedah Cara Beliau Urus Pinjaman PTPTN

3. Senarai hitam Imigresen
3-pt

Rasanya ramai yang sangkut di sini. Sebelum anda mahu ke luar negara, adalah lebih baik untuk anda buat semakan secara online di sini. Jika anda mempunyai halangan untuk ke luar negara, besar kemungkinan disebabkan anda tidak membuat bayaran pinjaman PTPTN anda.

Jadi apa yang perlu peminjam buat jika nama disenarai hitam? Peminjam perlu selesaikan tunggakan atau membuat rundingan dengan PTPTN sekurang-kurangnya 7 hari sebelum perjalanan ke luar negara. Bila semuanya sudah okay, barulah senang hati untuk anda ke luar negara.

4. Kos pentadbiran/ujrah

Rasanya masih ramai yang tidak tahu-menahu berkenaan kos pentadbiran ini. Mulai 1 Jun 2008, pinjaman PTPTN hanya melibatkan Ujrah atau upah pada kadar 1% setahun (Sebelum ini 3% setahun).

Apa yang peminjam perlu tahu, 1% ini bukan untuk PTPTN mengaut keuntungan dari pada peminjam. Ianya lebih kepada PTPTN untuk menampung kos upah pengurusan dan pentadbiran setiap akaun pinjaman.

Tambahan pula, PTPTN tidak lagi menerima geran kerajaan dan membuat pinjaman daripada institusi kewangan. PTPTN telah dikenakan faedah pinjaman antara 5%-7%. Peminjam pula tidak dikenakan sebarang bayaran daripada faedah tersebut. Dalam erti kata lain faedah tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN dan bukan peminjam.

Jika anda hendak menukar pinjaman konvensional kepada pinjaman Ujrah, memerlukan peminjam menandatangani dokumen tawaran yang baharu dan tidak boleh dilakukan secara automatik. Sebabnya ia melibatkan dua konsep pinjaman yang berbeza iaitu konvensional dan patuh syariah.

5. Saluran Bayaran balik
5-pt

Rasanya sekarang ini sangat mudah untuk membuat pembayaran pinjaman PTPTN anda. Kalau secara manual, anda boleh membuat pembayaran di Kaunter PTPTN, Kaunter Ejen PTPTN atau secara potongan gaji.

Anda tidak mahu buat secara ini? Tiada masalah kerana anda juga boleh buat bayaran secara online di Perbankan internet/ internet banking, myPay, jompay dan FPX melalui portal rasmi PTPTN. PTPTN kini menyediakan banyak saluran untuk memudahkan anda membuat bayaran balik pinjaman.

Sebenarnya mungkin ramai yang mengeluh pendapatan yang diterima tidak mampu untuk membayar balik pinjaman yang dibuat dengan PTPTN. Tetapi jika anda tidak mula membayar, sampai bila-bila pun hutang pinjaman anda itu akan tertunggak.

Sebarang permasalah, silalah ke laman rasmi PTPTN di sini atau terus ke mana-mana cawangan PTPTN atau hubungi je Careline 03 – 2193 3000. Pegawai di PTPTN would be happy to assist you. Biasa dengar pepatah ini; sikit-sikit lama-lama jadi bukit? Begitulah juga dalam situasi ini. Apabila anda bebas hutang pinjaman PTPTN ini, satu beban besar sudah hilang dari bahu anda dan anda pun akan lebih gembira. Percayalah.