Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan pembubaran parlimen ke-14 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Dalam sidang media tergempar yang berlangsung jam 3 petang tadi, Ismail Sabri berkata pembubaran ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Penetapan tarikh penamaan calon dan hari mengundi adalah tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Ketika ini, mandat dipulangkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang teguh,” kata Ismail Sabri.

Semalam, Ismail Sabri dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, dipercayai untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen. Kunjungan itu bagaimanapun tidak diketahui media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom, mulai hari ini hingga 16 Oktober.