Memungkinkan yang mustahil. Ya, Pokemon GO telah berjaya menyebabkan ramai individu yang sebelum ini hanya terperap di rumah, untuk keluar dari kediaman mereka dan meneroka dunia. Ini termasuk individu daripada golongan OKU.

Pokemon GO yang berkonsepkan permainan realiti berperantara (augmented reality) ini memerlukan seorang pemain mengembara persekitarannya untuk memburu Pokemon. Sukar untuk dipercayai, tetapi Pokemon GO telah berjaya memberi mereka (OKU) satu tujuan dan dorongan untuk keluar rumah!

Bapa kepada seorang pesakit OKU saya memberitahu, pada hari pertama Pokemon GO dilancarkan di Malaysia, anaknya telah memohon untuk dibawa keluar ke taman rekreasi.

Seperti kebanyakan OKU remaja lain, sebelum ini anaknya yang berkerusi roda itu hanya gemar bermain permainan video di rumah dan sentiasa menolak pelawaan ibubapanya jika diajak keluar.

Saya lihat ia suatu yang positif.

Pokemon Go di Malaysia.
Pokemon Go di Malaysia.

Namun begitu, saya bimbang positiviti itu hanya berada di situ kerana pereka Pokemon GO tidak mengambil kira faktor kebolehcapaian ketika pembinaannya.

Antara masalah pemain OKU adalah:

1. Kebolehcapaian

Sesetengah PokeStop dan PokeGym berada di kawasan yang mempunyai kebolehcapaian (accessibility) yang agak lemah seperti di kawasan tanpa susur pejalan kaki dan di binaan bertingkat tanpa tanjakan (ramp). Kawasan ini tidak boleh diakses oleh pengguna kerusi roda.

2. Mekanisme Penetasan Telur (Egg Hatching)

Untuk membolehkan sesuatu Pokemon menetas, pemain perlu berjalan sejumlah jarak. Jarak yang ditetapkan ini relevan bagi individu berupaya, tetapi tidak berapa sesuai bagi individu dengan mobiliti terhad.

Kekangan-kekangan ini menghadkan kemajuan pemain OKU dalam permainan Pokemon GO. Kebiasaannya OKU melupakan keterbatasan mereka melalui permainan video, tetapi dalam Pokemon GO, keterbatasan mereka diterjemah juga ke dalam dunia virtual. Situasi ini agak menghampakan mereka.

Pihak Niantic selaku pereka permainan Pokemon GO perlu mulakan ikhtiar untuk menambahbaik mekanik permainan ini agar ia lebih mesra pemain OKU.

Antara cadangan penambahbaikan:

1. Menambah lebih banyak PokeStop dan PokeGym di kawasan yang mempunyai kebolehcapaian yang baik. Benarkan pemain tag lokasi yang ada kemudahan OKU. Ini akan mempromosi lokasi tersebut pada pemain OKU lain.

2. Mengadakan mekanisme lain untuk mekanik penetasan telur Pokemon seperti pengiraan pergerakan tangan. Sekurang-kurangnya jika tak boleh berjalan, ada aktiviti lain yang OKU mampu lakukan untuk menetaskan telur Pokemon mereka.

3. Membenarkan kembara virtual untuk sebahagian daripada permainan tanpa menjejaskan konsep teras Pokemon GO.
Pokemon lebih daripada sekadar permainan, ia sudah dianggap sebagai satu budaya. Versi-versi membenarkan OKU dengan keterbatasan pergerakan untuk “mengembara”, jadi GO perlu meneruskan tradisi itu.

Nota: Jika anda cadangan untuk menambahbaik mekanik Pokemon GO agar lebih mesra OKU, boleh suarakan di bahagian komentar.

Artikel ini ditulis oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, seorang Pegawai Perubatan Rehabilitasi, juga merupakan Advokator Sokongan OKU.