Apabila kita membicarakan tentang jodoh, ia sebenarnya sesuatu yang sungguh merumitkan. Bagi mereka yang berstatus bujang pula, bertanyakan hal ini mungkin boleh jadi sangat sensitif. Ternyata masalah jodoh ini sudah berlaku sejak berabad-abad dahulu lagi. Baik dari zaman kuno sehinggalah ke era digital hari ini.

Terlanjur memetik topik jodoh, kali ini saya kongsikan satu kisah unik yang berkaitan dengannya. Di Jerman, terdapat sebatang pokok yang terkenal dipanggil dengan nama Pokok Jodoh atau Bridegroom’s Oak. Uniknya tentang pokok ini, ia adalah satu-satunya pokok di Jerman yang memiliki alamat dan peti surat sendiri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seperti rumah, pejabat atau kilang, pokok ini juga mempunyai alamat rasmi. Alamat lengkap pokok ini adalah Brautigamseiche, Dodauer Forst, 23701 Eutin. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh mengirim surat kepada pokok ini.

Setiap hari, pokok ini menerima lebih kurang 5 hingga 6 pucuk surat sehari. Bukan sahaja dari Jerman, malah dari serata dunia. Selain daripada surat mengirimkan isi hati, ada juga yang mengirimkan doanya di sini. Oh, uniknya dunia. Sesiapa sahaja boleh mengambil dan membalas surat di sini. Gara-gara itu, khabarnya sudah ramai orang bertemu jodoh. Jadi tidak hairanlah kenapa ia digelar pokok jodoh.

Asal-usul tradisi ini bermula pada abad ke-19. Al-kisahnya, pada zaman dahulu ada seorang gadis bernama Ohrt yang sudah jatuh cinta kepada anak seorang pembuat kek iaitu Schutte-Felsche. Namun ayahnya tidak merestui hubungan mereka. Sejak itu mereka secara diam-diam saling berbalas surat pada lubang yang terdapat di pokok Bridegroom’s Oak. Dipendekkan cerita, akhirnya ayah Ohrt merestui hubungan mereka sehinggalah mereka dikahwinkan di bawah pokok tersebut pada tanggal 2 Jun 1891.

Cerita ini kemudianya telah tersebar dari mulut ke mulut dan sejak itu ramai orang mula menulis surat dan mengirimkan ke pokok itu. Pada tahun 1927, pihak pos Jerman mula memberikan alamat rasmi kepada Pokok Bridegroom’s Oak sampaikan sesiapa sahaja boleh menghantar surat kepadanya.

Pengajaran daripada cerita ini ialah, oleh kerana dari mulut ke mulut orang yang berkehendak akan sesuatu sanggup mengikuti atau membuat apa sahaja tanpa usul periksa yang munasabah. Hahaha, ok, yang itu saya bergurau sahaja.

Buat anda yang bakal travel ke Jerman, berkunjung ke pokok legenda ini pastinya menarik. Sebelum ini saya ingatkan hanya manusia sahaja terima surat cinta, tetapi pokok pun dapat. Kalau anda langsung tidak pernah terima apa-apa surat, atau mesej cinta, sila malu dengan pokok ini.