Seorang individu bergelar ‘Datuk’ telah ditahan oleh pihak polis selepas menyamar sebagai pegawai kanan polis untuk menipu seorang peniaga sebanyak RM60,000 – wang yang sepatutnya digunakan untuk menjelaskan hutang along.

Pada 2017, lelaki berusia 40 tahun itu sebelum ini telah meminjam sebanyak RM200,000 daripada seorang along sebagai modal perniagaan dan perlu menjelaskan pembayaran balik sebanyak RM1,500 sebulan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Namun disebabkan wabak COVID-19 yang menyerang dan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, perniagaan mangsa dikatakan terjejas dan telah gagal membuat bayaran balik sehingga dia diugut dan diganggu oleh along terbabit.

Mangsa kemudiannya berkenalan dengan seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai kanan polis di Bukit Aman. Setelah mendengar cerita mangsa, ‘Datuk’ menawarkan diri untuk membantu.

Dia dikatakan telah menghubungi along terbabit dan berbincang kononnya akan menyelesaikan hutang mangsa. Sejurus selepas itu, along terbabit menghubungi mangsa dan memberitahu segala urusan pembayaran balik mesti melalui ‘Datuk’.

“Mangsa yang percaya dikatakan menyerahkan wang RM60,000 kepada suspek untuk dibayar kepada along terbabit sebagai melangsaikan hutang,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dalam satu kenyataan semalam.

Mangsa yang rasa ditipu telah membuat laporan polis pada 4 Oktober lalu dan mendakwa wang itu dilesapkan suspek yang disyaki bersekongkol dengan along terbabit.

Hasil siasatan

Hasil siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, menahan seorang lelaki berusia 36 tahun disyaki along, di Cheras pada Isnin lalu.

Hasil soal siasat, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun bergelar ‘Datuk’ ketika dia sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Cheras, Jumaat lalu.

Suspek pertama direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952. Manakala suspek kedua, ‘Datuk’ direman direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

“Semakan mendapati suspek kedua pula pernah memilik syarikat keselamatan dan gelaran ‘Datuk’ yang digunakan adalah sah,” katanya.

Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Disyaki Terlibat ‘Macau Scam’, Datuk Seri Bertindak Melarikan Diri Kini Diburu Polis