Ketika penunjuk perasaan berarak menentang undang-undang keselamatan negara yang dikuatkuasakan pada hari Rabu, polis telah bertindak menahan seorang lelaki kerana menyanyi lagu ‘long live Liverpool’, di mana polis menuduhnya dengan kesalahan cubaan menghasut kemerdekaan Hong Kong.

Menurut laporan media, kejadian berlaku ketika polis sedang memeriksa sekumpulan penunjuk perasaan di luar stesen MTR Causeway Bay. Di mana seorang lelaki dari seberang jalan tiba-tiba berteriak ‘long live Liverpool’.

Polis kemudian meluru ke arah lelaki itu – yang mengenakan baju jersi Liverpool. Pihak polis kemudiannya menyeret lelaki tersebut dan melakukan pemeriksaan ke atas dirinya. Setelah tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan, lelaki tersebut dibebaskan.

Lelaki itu memberitahu sebuah media bahawa polis menuduhnya dengan cubaan menghasut kemerdekaan Hong Kong. Dia mengatakan bahawa dia telah menjadi peminat Liverpool selama 30 tahun dan sangat gembira kerana pasukan itu telah memenangi Liga Perdana Inggeris sehingga dia ‘terasa terdorong’ untuk menyanyikan lagu itu.

Untuk rekod, penunjuk perasaan telah kembali memenuhi jalan-jalan di sekitar Hong Kong pada hari Rabu petang. Polis juga dilaporkan telah melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi meleraikan penunjuk perasaan yang menyekat jalan raya dan merosakkan struktur penghalang yang dibina oleh polis.

Selama berbulan-bulan, jalan raya di Hong Kong tenang disebabkan wabak COVID-19. Namun, disebabkan sikap tergesa-gesa mahu menguatkuasakan undang-undang keselamatan nasional telah memicu ribuan rakyat Hong Kong turun ke jalan raya bagi menunjukkan protes pada ulang tahun ke-23 kembalinya Hong Kong ke China.

Terdahulu, Liverpool telah mengakhiri penantian selama 30 tahun untuk memenangi Liga Perdana Inggeris apabila dinobatkan juara pada minggu lalu. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Bagaimana ‘The Laptop Guys’ Bantu Liverpool Tamatkan Penantian 30 Tahun