Sekitar Jumaat lalu, seorang lelaki di Kota Bharu, Kelantan, berusia 49 tahun dilaporkan maut setelah kereta dipandunya meletup lalu terputus dua dipercayai dipanah petir dan kesan letupan mercun ‘bola’ yang dibawa di dalam keretanya.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 5.30 petang di Persimpangan Kampung Sireh. Susulan kemalangan tersebut, tular satu dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp yang mengatakan kereta tersebut dibom menggunakan ‘dron’ (kenderaan udara tanpa pemandu) dan bukannya disebabkan letupan mercun atau dipanah petir, memetik laporan Bernama menerusi laporan Free Malaysia Today.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat menafikan dakwaan palsu berkenaan dan berkata punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan pihak Unit Bom Bukit Aman dan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.

“Bukan disebabkan serangan letupan bom. Berdasarkan maklumat awal, saksi kejadian mengatakan kereta mangsa mula mengeluarkan asap di bahagian bonet sebelum ia meletup.

“Kes masih dalam siasatan dan hasil pemeriksaan akan diketahui dalam masa terdekat setelah kedua-dua unit pasukan yang terlibat selesai melakukan siasatan,” katanya kepada pemberita Astro Awani selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas (COVID-19) di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan jalan di lokasi kejadian terpaksa ditutup sepanjang siasatan dijalankan dan meminta penduduk setempat menggunakan jalan alternatif Jalan Persekutuan Kuala Krai yang menghubungkan Kota Bharu untuk terus ke Wakaf Che Yeh, Telipot dan Wakaf Siku.

“Manakala mereka yang berkerja di lokasi kejadian perlu memaklumkan kepada anggota yang bertugas terlebih dahulu untuk ditapis sebelum dibenarkan menggunakan jalan tersebut,” jelasnya lagi.

Tun M bidas dakyah ‘Mak Teh’ yang mendakwa vaksin itu racun dan punca kematian. Klik pautan di bawah untuk membaca. 

Tun M Bidas Dakyah ‘Mak Teh’ Yang Dakwa Vaksin Itu Racun Dan Sebabkan Kematian

Sindiket ‘Meat Cartel’: Empat Pegawai Kerajaan, Pemilik Syarikat Didakwa Atas Tuduhan Rasuah

Hanya Dituduh Langgar SOP PKPB, Neelofa Dan Suami Tidak Didakwa Rentas Negeri