Siri perintah kawalan pergerakan yang berlangsung secara bergilir-gilir sejak Mac lalu di negara kita sedikit sebanyak telah mengubah norma kehidupan seharian . Daripada waktu bekerja sehinggalah waktu pengoperasian premis-premis perniagaan, sebahagian besarnya telah mengalami perubahan waktu operasi mereka.

Walaupun ada ketikanya kita boleh membuat persediaan awal membeli bekalan makanan atu keperluan yang diperlukan mengikut waktu yang telah disarankan namun ada ketikanya berlaku kes-kes kecemasan yang tidak dapat dielakkan di mana kita memerlukan untuk ke premis perniagaan atau kedai-kedai ini walaupun telah melepasi waktu yang dibenarkan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Seperti yang berlaku kepada seorang lelaki dari Negeri Sembilan ini apabila beliau terpaksa keluar pada sekitar jam 1 pagi bagi mendapatkan bekalan susu formula buat anaknya yang berusia satu hari kerana isterinya kekurangan susu badan.

Beliau kemudiannya difahamkan menuju ke salah satu kedai serbaneka 24 jam sebelum menyedari kedai berkenaan telah ditutup berikutan had operasi premis perniagaan ketika ini yang tidak membenarkan kedai dibuka berterusan 24 jam.

Sejurus selepas kejadian berkenaan, dia kemudiannya telah terserempak dan ditahan anggota polis yang ketika itu sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas mendengar penjelasan daripada beliau, anggota-anggota polis berkenaan kemudiannya telah melakukan sesuatu yang tidak dijangka demi membantu lelaki tersebut.

“Setelah mendengar dan memahami situasi lelaki tersebut, anggota MPV NS 96 telah mempelawa lelaki tersebut ke taman perumahan IPD Kuala Pilah untuk diberikan susu formula bayi kepadanya secara percuma,” kongsi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.

Selepas menerima bantuan daripada pihak polis, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Encik Zul Hilmy berkongsikan mengenai kejadian yang dilaluinya sambil mengucapkan terima kasih kepada anggota polis yang telah membantunya di Facebook.

“[…] Saya ditahan, dan dua orang pegawai, Tuan Dini dan Tuan Fikri yang sedang bertugas mengajak saya ke kuarters PDRM Kuala Pilah untuk memberi susu.

“Tuan Dini memberikan saya sekotak susu, saya mengucapkan terima kasih kerana membantu saya,” kongsinya mengenai kejadian berkenaan.

Tindakan kedua-dua anggota polis berkenaan turut menerima ucapan terima kasih dan pujian daripada netizen kerana telah membantu keluarga berkenaan.

“Terima kasih kepada anggota cawanga IPD Kuala Pilah yang amat bertimbang rasa dan ikhlas membantu adik ipar saya yang kekalutan mencari susu formula.

“Pengalaman beliau pertama kali menimang cahaya mata. Jasa baik pihak PDRM membantu dalam kesukaran masa PKP akan menjadi kenangan keluarga kami sentiasa, Terima Kasih,” tulis seorang netizen yang difahamkan merupakan ahli keluarga kepada lelaki berkenaan.

“Tahniah anggota polis Kuala Pilah anda telah menggunakan budi bicara yang perlu ada pada setiap kakitangan kerajaan dan orang awam,” tambah seorang lagi netizen.

Baca juga kisah gadis ini yang dibantu polis ketika melalui sekatan jalan raya baru-baru ini walaupun beliau pada awalnya ‘cuak’ dan takut melalui pautan di bawah. 

Cuak Ditahan Ketika Sekatan Jalan Raya, Gadis Ini Kongsi ‘Plot Twist’ Dibantu Polis

Hubungi Jurubahasa Isyarat Bantu OKU Buat ‘Report’, Tindakan Polis Ini Dipuji Netizen

‘Pak Cik Ladja’ Jadi Penyelamat, Kejar Polis Minta Bantuan Makanan Untuk Seluruh Kampung