Dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilakukan sejak semalam, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah menahan 18 individu disyaki pekebun haram durian Musang King yang menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.

Difahamkan para pekebun terbabit telah menceroboh lalu menanam tanaman durian Musang King secara haram di kawasan seluas kira-kira 101 hektar yang terletak di lokasi hutan simpan tersebut.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memaklumkan bahawa pihaknya berdepan provokasi melampau daripada pekebun haram termasuk meletakkan halangan bagi menutup laluan keluar dan masuk kenderaan untuk ke kawasan tersebut.

Petugas jabatan ini juga pernah dihalang oleh pekebun haram daripada menjalankan tugas mereka di kawasan ini. Sehinggalah tularnya satu video di media sosial yang memaparkan insiden provokasi yang mendakwa pekebun haram menengking dan mencaci petugas yang menjalankan operasi memusnahkan tanaman haram durian Musang King di kawasan hutan simpan ini.

“Oleh itu, beberapa laporan polis dan rakaman video diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

“Hari ini (semalam) sahaja, Jabatan Perhutanan Negeri Pahan berjaya menahan 18 orang disyaki pekebun haram yang memasuki kawasan HSK tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau kepada anggota kami,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Kesemua 18 pekebun haram telah dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan ditahan reman bagi membantu siasatan yang selanjutnya serta membincangkan tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara.

“Barang serta kenderaan yang dibawa oleh pekebun ini ke dalam kawasan HSK juga akan disita,” tulis kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King yang mula meluruhkan buahnya di Hutan Simpan Batu Talam sudahpun mula dijalankan sejak kelmarin sehingga 2 Ogos ini. Operasi ini turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kertas siasatan tatatertib dibuka susulan tular video polis disyaki minta ‘duit kopi’. Jangan lupa klik pautan di bawah ini untuk membacanya.

Tular Video Polis Disyaki Minta ‘Duit Kopi’, Kertas Siasatan Tatatertib Dibuka

Tular Gambar Kayu Balak Saiz ‘Luar Biasa’, Jabatan Perhutanan Pahang Tampil Jelaskan Perkara Sebenar

 

Pelanggan Terkejut ‘Abang GrabFood’ Hantar Makanan Naik McLaren 720S