Jika sebelum ini mereka sering tampil dengan setem edisi khas dan kolaborasi bersama jenama popular, Pos Malaysia pada semalam melancarkan buku nota mereka sendiri dengan rekaan ikonik peti surat mereka yang berwarna merah.

Buku nota yang dikeluarkan Pos Malaysia itu diiklankan sejak semalam di akaun Facebook mereka dan mula dibuka untuk jualan di laman eziMall.com dengan harga jualan RM69 seunit.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hadir dengan rekaan kulit keras  yang menyerupai peti surat Pos Malaysia yang biasanya kelihatan di tepi-tepi jalan, kulit buku tersebut juga lengkap dengan logo dan perkataan serta garisan yang dicetak timbul ataupun embossed bagi menampakkan ciri eksklusifnya.

Bukan sahaja luarannya yang tampil unik, buku nota tersebut juga didatangkan dengan ciri khas di bahagian dalam seperti penanda buku ataupun bookmark yang mengambil inspirasi daripada rekaan sampul surat klasik- berserta setem pertama yang dikeluarkan di negara ini.

Bagaimanapun, buat anda yang berkira-kira atau berhasrat untuk memiliki salah satu buku nota dengan rekaan yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia ini anda mungkin terpaksa menunggu sedikit masa lagi.

Ini kerana semakan pertama kali yang dibuat di laman eziMall berakhir dengan berita sedih apabila ianya sudah disenaraikan sebagai ‘Sold Out’ ataupun habis terjual buat masa ini.

Semakan kedua kami selepas itu menggunakan pautan yang dibekalkan di hantaran Facebook Pos Malaysia itu juga sekali lagi menemui jalan buntu apabila mendapati ia tidak lagi tersedia untuk dibeli dan tidak disenaraikan dalam produk yang ditawarkan mereka.

Walaupun dijual dengan harga yang sedikit tinggi, namun ia seperti tidak menghalang orang ramai daripada mendapatkannya dengan kadar segera sama ada untuk dijadikan koleksi ataupun kegunaan harian.

Jadi jika anda tidak mahu terlepas untuk mendapatkan buku nota penuh ikonik ini, nampak gayanya anda perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini oleh Pos Malaysia atau anda juga boleh menyemak laman eziMall menerusi pautan yang diberikan mereka dengan kerap.

Pos Malaysia sebelum ini juga ada mengeluarkan setem edisi khas yang berkolaborasi bersama studio terkenal dunia seperti Marvel dan Warner Bros . Baca lebih lanjut mengenainya di pautan di bawah. 

Pos Malaysia Perkenalkan Koleksi Setem Marvel Edisi Terhad

Pos Malaysia Bakal Perkenalkan Koleksi Setem Batman Edisi Terhad

Pos Malaysia Lancarkan Setem Sempena Bulan Kelahiran Tun Mahathir