Jack Sparrow & Co kembali untuk siri ke-5 franchise filem Pirates Of The Caribbean ini! Filem Pirates yang sebelum ini, Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides mencatat kutipan lebih USD1 billion; menunjukkan keupayaan siri ini untuk menarik peminat setianya untuk ke pawagam.

Saya sendiri pun sudah tidak berapa ingat dengan jalan cerita setiap tajuk dalam siri ini kerana ianya sama sahaja; Jack Sparrow bersama rakan dan krewnya menumpaskan musuh. Cuma anda kena ingat dalam At World’s End, Will Turner (Orlando Bloom) telah menjadi kapten baharu untuk kapal lagenda Flying Dutchman yang dahulunya milik Davy Jones.

Jadi apa peranan Will Turner dalam filem ini? Mari kita mula dengan sedikit sinopsis cerita ini. Anak kepada Will Turner, Henry (Brenton Thwaites) ingin memusnahkan sumpahan Flying Dutchman bapanya. Tetapi ia bukannya sesuatu yang mudah kerana Henry perlu mencari Poseidon’s Trident yang kini tersorok di tengah lautan untuk memusnahkan sumpahan tersebut. Beliau meminta tolong dari Jack Sparrow Carina Smyth (Kaya Scodelario) yang merupakan pakar membaca peta dan bintang untuk mencari Poseidon’s Trident ini.

Ianya bukan perkara yang mudah kerana mereka bakal dihalang oleh Kapitan Salazar (Javier Bardem) yang turut sama mencari Poseidon’s Trident ini. Adakah filem ini boleh memecahkan kutipan USD1 billion yang dibuat On Stranger Tides sebelum ini?

1. Duo baru Henry dan Carina

Inilah dua wajah baru yang akan meneruskan legasi Pirates Of The Caribbean. Menariknya chemistry mereka berdua di dalam filem ini sangat baik. Mereka memang pengganti yang tepat untuk watak Will dan Elizabeth (Keira Knightley). Ianya satu langkah yang bijak diambil Disney kerana jika memasukkan muka baru, mereka boleh tarik golongan yang lebih muda pula untuk menjadi peminat franchise ini. Senang cerita mereka ini adalah pasangan Will dan Elizabeth versi baharu.

2. Aksi dari mula hingga tamat

Cerita Salazar’s Revenge (atau Dead Man Tell No Tales) ini memang padat dengan aksi! Dan character development untuk watak baru Henry dan Carina juga teratur dan tidak mengambil masa terlalu lama. Sepanjang 2 jam lebih filem ini, rasanya tiada masa kot untuk bosan. Sebab ketika tidak ada aksi, adalah dialog-dialog lucu dari setiap watak. Memang fun!

3. Kapitan Salazar

Javier Bardem memang terbaik dalam filem ini! Javier dahulu pernah jadi penjahat dalam filem James Bond. Filem yang mana itu anda cari sendiri. Dalam banyak-banyak watak antagonis dalam siri Pirates Caribbean, saya sangat suka Salazar selepas Davy Jones. Memang jahat betul beliau dalam filem ini. Kapitan Salazar ini ada sejarah lama dengan Jack Sparrow. Jack Sparrow yang menyebabkan Salazar terkena sumpahan berpuluh tahun lamanya.

4. Johnny Depp kembali

Selepas At World’s End, filem-filem yang dilakonkan Johnny Depp seperti tidak begitu mendapat sambutan. Beliau terlalu menyerlah dengan watak Jack Sparrow sehingga menenggelamkan watak beliau dalam filem-filem yang lain. Mortdecai dan The Lone Ranger antara contoh filem yang cuba menggunakan The Depp Factor tetapi gagal.

Melihat persembahan Johnny semalam, nampaknya beliau memang ditakdirkan untuk jadi Jack Sparrow. Inilah filem yang akan mengembalikan kepercayaan pengarah filem Hollywood kepada Johnny Depp; memberitahu kepada semua yang beliau masih tidak hilang touch.

Dalam Salazar’s Revenge, perangai sambil lewa Jack Sparrow tetap ada dan pastinya akan geram dengan Jack dalam filem ini nanti. Owh, dari filem ini, anda akan tahu sejarah awal Jack Sparrow bagaimana beliau boleh menjadi kapten di usia muda.

Secara keseluruhan, saya agak berpuas hati dengan filem ini walaupun sedikit kecewa kerana watak Jack Sparrow agak kurang kick dalam filem ini. Mungkin faktor usia, Depp tidak dapat perform seperti dahulu. Ini pada pandangan saya. Tetapi kalau tak ada Jack Sparrow, bukan Pirates Caribbean lah namanya.

Sebagai tambahan, jalan ceritanya sama sahaja seperti filem Pirates yang sebelum-sebelum ini. Tiada elemen yang akan mengejutkan anda dan jalan ceritanya pun predictable. Jadi saya beri rating 7.5/10 untuk filem ini. Tiada perancangan lagi dari Disney akan ada Pirates Caribbean yang ke-6 atau pun tidak. Jika tidak ada, Salazar’s Revenge adalah penutup yang baik untuk siri ini. Nak tahu mengapa? Kenalah tengok filem ini di pawagam. Till we meet again, Jack Sparrow!