Power Rangers antara filem yang saya nantikan untuk ditonton pada tahun 2017 ini, dan saya pasti ramai dikalangan peminat Power Rangers yang sudah dewasa turut menantikan filem ini dengan harapan dapat mengimbau zaman nostalgia kanak-kanak dahulu.

Semalam selesai sudah misi menonton Power Rangers, apa yang boleh saya katakan filem ini memang sebuah filem yang cool, tetapi sayang sekali ia bukanlah seperti apa yang saya harapkan. Mengapa saya kata begitu?

Ok, sebelum itu kita ikuti sedikit sinopsis tentang filem Power Rangers 2017 ini. Filem ini mengisahkan tentang bagaimana Power Rangers terbentuk bermula memperkenalkan setiap dari anggota pasukanya yang terdiri dari anak-anak muda iaitu Jason (Dacre Montgomery), Kimberly (Naomi Scott), Billy (RJ Cyler), Zack (Ludi Lin), dan Trini (Becky G.).

Ringkasnya, mereka ini semua bertemu tanpa sengaja di satu tempat perlombongan emas. Dan dari situ lah mereka menjumpai batu peninggalan Zordon, iaitu batu dengan kuasa hebat yang menjadikan mereka semua pahlawan yang akan menjaga bumi. Pada masa yang sama, Rita Repulsa (Elizabeth Banks) juga hidup semula setelah ditemui secara tidak sengaja oleh para nelayan atau lebih tepat adalah ayah kepada Jason iaitu Sam (David Denman). Maka di sini lah babak-babak aksi bermula.

Baik, cukup sampai di sini. Kalau nak tahu lebih lanjut saya syorkan anda tonton sendiri di pawagam.

Jika dari segi aksi dan jalan cerita, saya tidak nafikan filem ini juga tidak kurang hebatnya. Tetapi apa yang mengecawakan saya adalah pada penampilan kostum, memang banyak sungguh lari daripada yang asal. Saya seolah-olah menonton filem lain yang diadaptasi dari Power Rangers! Atau mungkin hanya perasaan saya seorang.

Cara mereka bertukar jadi Power Rangers juga sangat lain daripada yang asal. Kali ini nampak lebih rumit dan melibatkan hati dan perasaan. Aduh! Bukan itu sahaja, kustom yang dipakai Rita Repulsa juga nampak janggal. Tetiba sahaja tampil dengan pakaian hijau dengan bawa tongkat emas. Tok bomoh siam punya pakaian lagi lawa.

Watak paling mesra, robot Alpha 5 yang baharu memang nampak lagi menarik. Tetapi mendukacitakan sebab Alpha 5 kali ini kurang sebut ‘ayayayay’ sedangkan suara itulah yang paling melekat dalam jiwa Power Rangers saya ketika kecil dahulu.

Satu-satunya yang buat filem Power Rangers kali ini nampak power mungkin adalah disebabkan penampilan Zord atau robot binatang yang digunakan mereka ketika bertempur melawan penjahat. Reka bentuk Zord yang baharu ini nampak lebih garang dan canggih, tetapi sekali lagi meragukan apabila kesemua 5 Zord bergabung menjadi Megazord.

Seperti yang dijangka, penampilan Megazord kali ini memang lain sungguh. Dari segi reka bentuk nampak sudah garang tetapi sayang, karakter milik Magazord kali ini nampak kurang ganas dan kurang cerdik. Mungkin percubaan memasukkan unsur humor yang tak menjadi. Hah!

Untuk Soundtrack Anthem Go Go Power Rangers juga tidak seperti diharapkan. Mungkin Lionsgate terlepas pandang perkara ini. Mana tidaknya, detik ini lah yang menjadi kenangan manis semasa kecil apabila melihat tim Power Rangers dengan semangatnya melawan penjahat diiring dengan nyanyian ‘Go Go Power Rangers’.

Pada saya, keseluruhan filem ini saya berikan 5/10 biji Vocket sahaja. Ini bukan filem yang teruk, masih lagi boleh dikatakan filem yang best. Cuma jika anda berharap untuk bernostalgia, maaf saya kata filem Power Rangers baharu ini kurang memuaskan. Power Rangers baharu yang jauh berbeza dan mungkin tidak dikenali generasi 90-an.

Apa pun pandangan anda menurut mata anda, kita layan dulu lagu ni.