Restorannya, ‘Eat Pie @ Damansara’, terletak di Damansara Perdana. Orang kata tempat lepak artis-artis.

Ketika saya dan rakan sampai, kami disambut oleh pemiliknya yang mudah senyum, berwajah mesra, dan segala-gala tentang bahasa tubuhnya adalah cerita tentang keramahan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Kau nak makan apa?”

Saya pula hanya meneliti menu di atas meja, ada pizza dan seangkatan dengannya. Tidak pasti mahu memilih apa. Saya pandang rakan di sebelah, dan nampak dia juga ragu-ragu. Saya bukan akrab dengan makanan begitu. Tetapi kalau sudah ada di depan mata, telan tetap telan.

“Kopi dan pizza.” Pilihan yang selamat.

Dia menuju ke dapur membuatkan kopi dan pembantunya terus menguruskan pizza. Selepas dua minit, kopi sampai, dan sementara menunggu pizza siap dibakar, saya mula bertanya,

“Apa kata-kata yang abang pegang, untuk buka restoran ini?”

Wajahnya mula serius.

“Kau asal Sarawak kan? Jadi apa kata-kata motivasi Sarawak yang glamer?”

“Agik idup agik ngelaban?” Saya meneka.

“Ya!” Dia menoleh pula pada rakan saya, dan kata, “Asal Perlis kan? Orang sana biasanya kata apa?”

Rakan saya diam.

“Biaq pi!” katanya.

Kami ketawa.

Itulah prinsip yang dia pegang semasa membuka restoran ini, yang sebenarnya baru dua minggu beroperasi. Tetapi yang pasti, untuk memegang prinsip sebegitu dalam dunia bisnes adalah sangat bahaya.

Risiko untuk ‘ditembak’, ‘dibom’ adalah sangat tinggi. Perniagaan itu sendiri, bukan sekadar tentang persaingan dengan orang lain, tetapi persaingan dengan diri sendiri. Persaingan antara keinginan dan keperluan. Persaingan antara sikap ‘take for granted’ dan berhati-hati. Persaingan veto dan SOP. Yang mana semua itu tidak nampak, dan garisnya halus sekali.

Sehinggalah saya diberitahu, selama ini dia memang sudah mengusahakan pembuatan makanan sejuk di rumah, dan sebelum itu, dia punya pengalaman bertahun-tahun berkuli dalam sektor makanan.

“Kita perlu yakin dengan apa yang kita buat. Jangan ragu-ragu!”

Saya angguk. Ya, keyakinan dia bersebab. Dia sudah tahu segala selok belok tentang industri itu. Walaupun restorannya baru dua minggu tetapi perjalanan menuju ke situ, bertahun-tahun.

Itu sesuatu yang ramai usahawan baru gagal hayati. Ramai yang mahu hidup dengan wang yang penuh di akaun bank, tetapi tidak ramai yang mahu melalui proses ke arah itu. Proses untuk memenuhkan akaun pengalaman. Proses bagi memenuhkan akaun jaringan rakan dan budi.

Pada ketika akaun-akaun pengalaman sudah banyak, hanya pada ketika itulah, prinsip agi idup agi ngelaban tidak akan jadi sia-sia.

Selepas itu, pizza yang masih panas sampai di atas meja, dengan telur mata di tengah-tengahnya. Saya kembali terkagum-kagum.