Dr Jacknaim atau nama sebenarnya Dr Muhamad Na’im Bin Ab Razak merupakan antara penulis baru yang sedang melonjak naik dalam arena penulisan tanah air. Buah tangan beliau yang pertama iaitu PROgnosis semakin mendapat tempat di hati pembaca dan mampu memberi Inspirasi kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Apabila diminta untuk menggambarkan tentang dirinya, Dr Jacknaim mengatakan bahawa beliau adalah insan biasa yang cuba untuk menghasilkan kerja luar biasa. Graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari Universiti Sains Malaysia ini kini berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Yang Menjaga di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Lahad Datu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Prognosis-min

Hasil karya beliau banyak dipengaruhi dengan pengalaman seharian beliau bertugas sebagai Pegawai Perubatan dan juga penglibatan beliau bersama masyarakat melalui aktiviti bantuan kemanusiaan. Beliau telah mengikuti tidak kurang dari 20 misi kemanusiaan dan perubatan di Malaysia dan Indonesia. Pengalaman beliau menyaksikan kemiskinan dan akses perubatan yang sangat teruk terutamanya melibatkan masyarakat pedalaman cukup menginsafkan serta membuatkan air matanya mengalir laju. Tidak dapat beliau bayangkan, dalam usaha Malaysia mengejar status negara maju, beliau masih bertemu rakyat yang berlapar dan mengalami kebuluran. Ada yang mengutip sisa-sisa makanan dari tempat pembuangan sampah. Paling tragis, beliau berdepan dengan pesakit yang meninggal dunia akibat kebuluran dan cirit birit yang teruk. Kerana itu, beliau bertekad untuk melakukan misi kemanusiaan ke kawasan pedalaman secara konsisten biarpun mempunyai kekangan masa dan dana.

Sewaktu di kolej, beliau juga aktif dengan aktiviti yang melibatkan perbandingan agama dan menubuhkan Kelas Peradaban Nabawi. Ia bermatlamatkan untuk mewujudkan keharmonian antara agama disamping mengukuhkan akidah umat Islam. Guru-guru beliau terdiri dari tokoh dalam dan luar negara. Beliau pernah menggarap ilmu daripada Yusuf Estes, Zakir Naik, Nuruddin Lemu, Bashir Mundi, Shah Kirit Kalkulal Govidji, Lim Jooi Soon dan Engku Fauzi.

Bercita-cita untuk menjadi Pakar Perubatan Kecemasan & Trauma, Dr Jacknaim menyedari bahawa cita-cita tersebut masih jauh dari menjadi realiti. Beliau bagaimanapun optimis bahawa suatu hari nanti, beliau akan berdiri sebaris dengan Pakar Perubatan Kecemasan & Trauma yang terulung di dunia.

Fokus beliau sekarang adalah untuk membangunkan Pelan Tindakan Bencana di Zon Pantai Timur Sabah disamping meningkatkan mutu perkhidmatan Jabatan Kecemasan di tempat beliau bekerja. Beliau kini aktif menganjurkan bengkel-bengkel dan kursus berkenaan dengan wilderness emergency medicine dan disaster medicine untuk petugas perubatan di zon pantai timur sabah.

Selain itu, beliau juga aktif dalam berpersatuan. Antara persatuan yang disertainya adalah Malaysian Society on Toxinology (MST), Medical Practitioners Coalition Association of Malaysia (MPCAM), Malaysian Society on Hypertension, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan beliau juga merupakan Presiden Kelab Rekreasi dan Kebajikan Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Lahad Datu.

Apabila ditanya tentang buku PROgnosis, beliau menjelaskan bahawa buku tersebut merupakan suka-duka pengalamannya sewaktu menjadi Pelajar Perubatan. Beliau bermula sebagai seorang yang serba kekurangan dan banyak menemui kegagalan. Namun, beliau menggagahkan diri untuk terus menimba ilmu disamping membina ketahanan mental untuk terus menghadapi cabaran dalam belajar. Kegagalan bukan bererti jalan mati sesuatu usaha tetapi sebaliknya proses untuk mengenal potensi diri dan merangka strategi baru untuk berjaya. Usaha tersebut terbukti apabila beliau berjaya menamatkan pengajian beliau.

Atas prinsip yang sama, beliau percaya bahawa segala impian dan cita-cita beliau akan terlaksana. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk terus membina kepercayaan yang tinggi terhadap matlamat tersebut dan kemudiannya terus memulakan langkah bagi meraih mimpi tersebut tanpa ada rasa jemu, malas dan sifat berputus asa.

Selain itu, beliau juga telah menghasilkan 80 buah puisi, 20 buah cerpen dan dua lagi novel yang masih dalam proses penilaian manuskrip.