Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) mendapat sambutan menggalakkan dari semua rakyat Malaysia, semalam. Orang ramai yang hadir pada jam 9 pagi tidak melepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengunjung, Nur Shahirah Atieka Kalam ‘Elmi, 28, berkata, program AKM ternyata membuka ruang untuk masyarakat mendapat maklumat mengenai kejayaan dan pencapaian dilaksanakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tambahnya lagi, pameran daripada kementerian dan agensi berkaitan kerajaan memudahkan pengunjung mendapat maklumat yang lebih menyeluruh.

HYPE
Jualan Meningkat 5 Kali Ganda, Kiddocare Puas Hati Guna Perkhidmatan REV Ad Manager
Baca lagi →

“Program AKM baik untuk rakyat mendapatkan maklumat dan berinteraksi secara langsung dengan kementerian dan agensi. Saya juga boleh dapatkan maklumat terkini mengenai kejayaan yang sudah dicapai kerajaan khususnya selepas pasca pandemik COVID-19. Program ini juga berpotensi dilanjutkan pada masa akan datang dan diperluaskan ke negeri lain untuk mereka yang tidak berkesempatan untuk hadir tahun ini,” katanya ketika ditemui di KLCC, semalam.

Lebih 100 ruang pameran daripada kementerian, agensi dan syarikat swasta mengambil bahagian sehingga Ahad ini. Manakala kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) paling mendapat sambutan sejak jam 9 pagi, di mana kebanyakan pengunjung mengambil peluang untuk menikmati diskaun saman yang disediakan sempena program AKM.

Bagi peniaga, Noor Azman Md Noor, 50, dia berterima kasih kerana kerajaan menawarkan 80 peratus pengurangan saman bermula semalam. Walaupun perlu beratur lebih dua jam namun dia berpuas hati kerana selesai membayar tunggakan saman.

“Tawaran pengurangan saman ini memang dinantikan dan tempoh pembayaran ini diharap dapat dilanjutkan supaya lebih ramai berpeluang menyelesaikan tunggakan,” katanya.

Bagi Pengerusi Pameran Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Menteri) Mohd Ikhmal Abu Bakar berkata, program AKM memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut mengenai agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Menurutnya, sepanjang program AKM diadakan, pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut agensi di bawah tanggungjawab Menteri Tugas-Tugas Khas.

“JPA juga menawarkan perkhidmatan memperbaharui kad pesara yang hanya boleh siap dalam tempoh lima minit. Pegawai dan kakitangan bertugas juga sentiasa bersedia berkongsi maklumat lanjut setiap agensi kepada pengunjung,” katanya.

Sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia beri jaminan bakal mengikut SOP COVID-19. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia Beri Jaminan Bakal Mengikut SOP COVID-19

Perdana Menteri Bakal Bentang Kad Laporan Kabinet Sempena Sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

Konsep Keluarga Malaysia Beri Keyakinan Kepada Rakyat Pilih Kerajaan Yang Lebih Stabil